Tuesday, November 3, 2015

Tradisi jual biskut dalam balang



Tradisi jual biskut dalam balang
Eng Tek masih mengamalkan peniagaan cara lama
PULAU TIKUS - Tradisi menjual biskut di dalam balang masih lagi diteruskan seorang peniaga warga emas ini walaupun zaman sudah semakin moden.

Pemilik kedai Ban Joo Lee Biscuits, Neoh Eng Tek, 65 berkata, peniagaan itu dimulakan sejak 1964 dan kedainya merupakan yang tertua di Pulau Tikus.

Menurutnya, tidak dinafikan dia terpaksa bersaing dengan puluhan kafe dan restoran lain yang menjual pelbagai jenis pencuci mulut yang kelihatan cantik.

“Bagi saya itu adalah adat berniaga, saya masih mempunyai pelanggan tetap dan ada di antara pelancong yang melalui kawasan ini seronok melihat biskut dijual cara lama,” katanya.

Kesemua biskut yang dijual ini dikira menggunakan sistem timbangan setiap satu dengan harga yang berbeza.

Ia sama seperti konsep biskut dalam tin yang dijual di kebanyakan pasar malam sekitar kawasan pulau negeri ini.

Mempunyai pelbagai pelanggan termasuk dari Melayu dan India, kedai biskut lama ini turut dikunjungi pelancong asing.

Eng Tek berkata, pada asalnya rumah kedai itu dibeli bapanya untuk pelaburan, kemudiannya dibangunkan menjadi kedai oleh adik beradiknya, sebelum ini mereka begitu dikenali dengan perniagaan belacan.

Menurutnya, walaupun sudah menjalankan perniagaan begitu lama dia tidak menaikkan harga sesuka hati.

“Pada saya dalam berniaga kejujuran amat penting, walaupun berdepan dengan zaman yang mencabar dan banyak kafe lebih menarik, saya akan tetap teruskan perniagaan ini,” katanya.

Sementara itu pelanggan tetap, Sharifah Raudhah Syed Hassan berkata, dia sering  ke kedai berkenaan untuk membeli pelbagai jenis biskut.

“Kalau zaman dahulu orang memang dah biasa beli biskut dalam tin atau balang, sekarang memang susah hendak jumpa.

“Memang sudah terbiasa, dan paling penting biskut di sini murah dan anak-anak saya pun amat sukakannya,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: