
Sebuah bot diletakkan dalam keadaan berjaga-jaga untuk memindahkan mangsa secepat mungkin jika berlaku banjir.
GUA MUSANG - Kejadian banjir besar tahun lalu yang menyebabkan air sungai melimpahi tebing secara mengejut hingga beratus rumah dihanyutkan arus deras memberi kesan besar kepada penduduk terlibat.
Mengambil iktibar kejadian itu, kebanyakan penduduk khususnya mereka yang tinggal di Kampung Batu Papan, sepakat membuat persiapan awal bagi menghadapi kemungkinan banjir tahun ini, yang tidak dapat diramal sama ada lebih besar atau sebaliknya.
Dalam pada itu, lebih 5,000 penduduk dari beberapa kampung yang berada di kawasan rendah dan terdedah kepada risiko banjir, seperti berlaku akhir tahun lalu hingga mengakibatkan ramai terperangkap.
Antara kampung terlibat ialah Kampung Kundur, Nerang, Kerinting, Kampung Baru, Kampung Tiong, Kampung Lembaga, Batu Dua, Kuala Nerus, Limau Kasturi dan Bertam Lama.
Bagaimanapun, tinjauan mendapati kebanyakan penduduk membuat persiapan awal antaranya menyediakan bot, membina rumah penempatan banjir dan menyimpan barangan di tempat lebih selamat.
Pengerusi JKKKP Batu Papan, Tarmizi Ismail berkata, kejadian banjir tahun lalu yang menenggelamkan 185 daripada 230 rumah di kampung berkenaan, menyebabkan kebanyakan penduduk tidak sempat menyelamatkan barangan keperluan.
Sehubungan itu katanya, pada tahun ini, penduduk bersama pihak berwajib bersiap siaga sepenuhnya agar bencana banjir dapat ditangani dengan sempurna, sekali gus membolehkan penduduk berpindah segera ke kawasan selamat.
Katanya lagi, pihaknya turut mengenal pasti beberapa rumah sebagai lokasi penempatan, memasang khemah dan membina gudang untuk menyimpan bekalan makanan.
“Bagi Kampung Batu Papan, kita sedia tiga bot bagi kemudahan penduduk jika berlaku kecemasan.
"Kita tidak dapat buat ramalan sendiri mengenai bencana ini. Apa yang penting, kita ambil tindakan segera termasuk berpindah ke tempat selamat jika air sungai naik mendadak, tanpa menunggu arahan pihak berwajib,” katanya.
Seorang lagi penduduk, Hisham Mustafa, 44, berkata, dia sanggup berhabis wang lebih RM15,000 untuk menyediakan dua bot dalam menghadapi kemungkinan banjir tahun ini.
Menurutnya, dia turut menjadikan ruang di tingkat atas rumahnya sebagai penempatan mangsa banjir, yang dapat menampung kira-kira 100 penduduk.
“Pengalaman akhir tahun lalu menyebabkan kami lebih waspada tahun ini. Saya dapati kebanyakan penduduk tidak mempunyai bot, jadi saya sediakan kemudahan itu bagi membantu mereka kerana bencana banjir merupakan masalah bersama,” katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: