Thursday, November 12, 2015

‘Vape tidak boleh diterima’



Mumtaz Md Nawi
Mumtaz
KOTA BHARU - Penggunaan rokok elektronik atau vape tidak dipersetujui Jawatankuasa Pembangunan Keluarga, Kebajikan dan Kesejahteraan Masyarakat, kerana ia dianggap membazir dan melalaikan terutama apabila wanita terlibat.
Pengerusinya, Mumtaz Md Nawi berkata, secara peribadi, beliau sehingga kini masih tidak faham dan tidak boleh terima penggunaan vape di negara ini.
“Cukuplah dengan alat yang melalaikan, vape ini bukan sahaja membazir, malah nampak tidak sopan semasa menggunakannya terutama wanita.
“Isi yang terkandung dalam vape bagi sesetengah orang keliru menentukan halal atau haram, tetapi kita sebagai orang awam, sangat tidak selesa dengan prosedur dan proses menyedut atau menghembusnya,” katanya kepada Sinar Harian, di sini, semalam.
Mumtaz berkata, lebih kesal, ada pelajar yang turut sama terpengaruh dengan vape, yang mana apabila pemeriksaan mengejut dijalankan, ramai dalam kalangan mereka termasuk perempuan memiliki dan menggunakannya.
“Setahu kita, yang makan asap adalah jin dan manusia tidak memerlukan asap untuk hidup. Walaupun vape ada sedikit perbezaan dengan mengeluarkan wap air, namun ia tetap tak relevan untuk budaya baru generasi muda di negara kita,” katanya.
Beliau berkata, pendekatan mencegah budaya tidak elok perlu diambil bagi mengelak ia terus merebak dalam kalangan generasi muda, juga mereka perlu diberi pendidikan supaya tidak mencuba sesuatu yang tidak dikenali dan merawatnya jika terdapat kemudaratan selepas ini.
Beliau berkata, setakat ini, tiada kajian mengenai kesan kebaikan atau kemudaratan penggunaannya, malah vape juga bukan satu ubat atau jenis rawatan yang diperlukan.
“Apa pun, penggunaan vape adalah satu perbuatan dan perbelanjaan membazir kerana di saat ekonomi membimbangkan, sepatutnya kita mengurangkan perbuatan dan perbelanjaan tidak diperlukan,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: