Thursday, November 12, 2015

Belum cuba belum tahu



Belum cuba belum tahu
Ku Hasnah (kiri) dan Ramlah bersama produk yang dihasilkan.
KUALA TERENGGANU - Bermula sebagai penoreh getah yang berpendapatan kira-kira RM500 sebulan, Syed Mohd Sahari Syed Bidin, 49, yang berasal Kuala Berang, Hulu Terengganu mengatur langkah sehingga akhirnya muncul sebagai pengusaha makanan sejuk beku yang berjaya.
Bapa kepada 10 anak ini adalah antara contoh kejayaan program empower ECER, iaitu program pembangunan modal insan yang dijalankan Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC), bertujuan memperkasakan masyarakat tempatan di ECER melalui latihan akademik dan latihan kemahiran keusahawanan.
Syed Mohd Sahari yang mula menyertai program itu sejak Mei 2014 berkata, sejak mengusahakan produk sejuk beku, pendapatannya sudah mula meningkat sekali ganda.
“Apabila saya mendapat maklumat tentang kursus di empower ECER Terengganu, saya mula menyertainya dan diajar banyak perkara khususnya tentang kemahiran dan ilmu keusahawanan melalui siri kursus yang diikuti.
“Dari situ, saya belajar cara-cara membuat produk sejuk beku dan lain-lain, yang kemudiannya menjadi sumber pendapatan saya sekeluarga. Buat masa sekarang, saya tumpukan kepada produk karipap perasa daging dan ayam serta donat.
“Saya pasarkan produk di sekitar Kuala Berang dan pasar raya di Hulu Terengganu. Saya bersyukur kerana empower ECER banyak membantu, termasuk memberi bantuan mesin pengadun bagi membolehkan saya menghasilkan produk dalam kuantiti lebih banyak,” katanya.
Jelasnya, dia kini tidak mahu menoleh lagi dan berharap impiannya untuk memasarkan produk di pasar raya besar seperti Giant dan Mydin akan tercapai tidak lama lagi.

Bangga dengan jenama Apit-Apit Kruk-Krak
Seorang lagi usahawan yang lahir daripada program itu, Ramlah Bakar, 52, dari Dungun, berkata, penyertaannya sejak 2013 kini mula membuahkan hasil.
Jika sebelum ini dia hanya berniaga secara kecil-kecilan dari rumah dengan membuat kuih-muih, kini dia sudah boleh berbangga dengan jenamanya sendiri iaitu Nurasa ‘Apit-Apit Kruk-Krak’.
“Bantuan yang diberikan adalah dari segi bagaimana nak memasarkan produk, bagaimana berdepan dengan orang ramai, macam mana menguruskan akaun dan memfokuskan produk yang berpotensi, yang kemudiannya saya memilih produk apit-apit.
“Saya juga dihantar pergi kursus keusahawanan dan mereka sentiasa memantau perkembangan saya. Alhamdulillah, walaupun dengan keupayaan yang terhad dibantu dua pekerja sambilan, saya mampu mendapat antara RM1,000 ke RM1,500 sebulan.
“Insya-ALLAH, apabila produk ini sudah berkembang, saya akan memfokuskan produk yang lain pula. Saya berangan-angan membuka kiosk sendiri pada masa akan datang,” katanya.

Telekung jenama sendiri, patuh syariah
Bagi pesara guru, Ku Hasnah Abdullah, 60, bermula dengan menjual telekung secara kecil-kecilan, dia kini sudah boleh tersenyum dengan telekung jenamanya sendiri iaitu ‘Nur Hidayah’.
“Sebelum ini saya mengusahakan telekung dengan perkumpulan wanita dari Surau Nur Hidayah di Alor Tempoyak, Dungun kerana berhasrat menghasilkan telekung yang lebih patuh syariat. Kemudian apabila makin berkembang, saya membuka galeri sendiri di Alor Tempoyak, Dungun.
“Alhamdulillah, saya kini mampu menghasilkan kira-kira 240 pasang telekung sebulan dengan beberapa pekerja yang kebanyakannya adalah golongan yang kurang berkemampuan dan ibu tunggal,” katanya.
Jelasnya, antara bantuan yang diberikan ialah dari segi pembungkusan, pemasaran dan saluran maklumat dan menerima khidmat nasihat, termasuk dari Yayasan Pembangunan Usahawan.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: