SALAM dari Madinah al-Munawarrah. Saya sebagai seorang wanita, isteri, ibu, anak, kakak, adik dan rakan terpisah di bumi asing ini lebih 7,000 kilometer (km) jaraknya dari tanah air. Ia pilihan sendiri dan tiada siapa yang perlu dipersalahkan.
Tentu sekali masih segar dalam ingatan ketika suami menyatakan: "Yang, Universiti Taibah menawarkan jawatan pensyarah di sana."
Raut wajahnya bercahaya. Ia seolah-olah hadiah paling berharga. Ia rasa logik. Siapalah yang tidak gembira jika dijemput untuk berada dan bermukim di Madinah. Mereka yang pernah hadir di sini sentiasa menyatakan rasa rindu dengan Madinah dan berkeinginan untuk kembali semula.
Masya-Allah, Subhanallah, Allahu Akbar. Namun, berhijrah dan bermukim lalu meninggalkan tanah air mungkin sedikit berbeza. Ia bukan soal seminggu dua tetapi sepanjang tahun. Dan pastinya akan berulang tahun. Ia keputusan besar yang perlu dilakukan dengan teliti.
Lalu hati dan minda terus terfikir tentang diri dan mereka yang hampir. Pertama, saya memikirkan kerjaya sendiri sebagai seorang pensyarah. Adakah saya akan kehilangan jawatan yang menjadi idaman buat sekian lama?
Sanggupkah saya meneruskan kemungkinan hidup sebagai suri rumah tangga sepenuh masa setelah berpuluh tahun menjadi wanita berkerjaya?
Rutin
Allah ya Allah... saya terasa akan kehilangan siswa-siswi yang selama ini memberi peluang untuk saya menaburkan sedikit ilmu bermanfaat. Mereka adalah sebahagian rutin kehidupan saya. Sudah pasti saya akan merindui suasana ini. Ia pastinya berguna ketika amal dihisab.
Kedua, pada kala usia begini, saya berfikir sebagai seorang ibu. Bagaimana dengan anak-anak yang masih belajar di universiti tempatan?
Saya terasa berat mahu berpisah dengan mereka. Naluri seorang ibu nyata kuat sekali ikatan kasih sayang dengan anak-anak. Benar, mereka tinggal di asrama. Namun, terasa jarak 7,000km itu terlalu jauh memisahkan kami.
Ketiga, saya sudah bersuami. Tentu sekali saya diikat dengan hukum dan peraturan betapa seluruh ketaatan wanita solehah sepatutnya untuk suaminya. Namun, saya masih seorang anak kepada ibu dan bapa saya.
Abah baru sahaja meninggalkan kami sebelum surat tawaran diterima. Kesedihan masih belum beredar sepenuhnya. Adik pula sedang bertarung dengan penyakit kronik kanser.
Lalu wajah mak berusia 70 tahun terus menyelinap melintasi fikiran. Mahukah beliau bersama kami bermukim di Madinah?
Jika tidak, mampukah saya sebagai seorang anak berpergian jauh meninggalkan beliau dan hanya mampu bersua beberapa hari dalam setahun?
Keempat, saya merupakan adik dan kakak kepada sebuah keluarga yang begitu rapat. Fikiran saya melayang jauh. Jauh yang tidak ketentuan jaraknya.
Barangkali kerana berada di rantau menyebabkan hubungan kami jauh dan renggang. Jauh di mata lalu jauh di hati. Anak-anak saudara yang sedang membesar mungkin tidak mengenali atau melupakan ibu saudaranya.
Allah ya Allah... itulah jiwa wanita yang mahu berfikir seribu perkara apabila terpaksa menempuh hanya satu persimpangan kehidupan.
Pertanyaan
Dunia wanita penuh pertanyaan tetapi tidak mempunyai jawapan jelas dan tegas. Sering kali emosi mengatasi logik dan keperluan sebenar. Pertimbangan dan keputusan berdasarkan emosi mungkin jadi bercelaru jika ia tidak diberi sepenuh perhatian.
Bicara hati saya begitu. Saya berasa sukar mengeluarkan sebaris komen dengan pengkhabaran menggembirakan hati suami walaupun itulah cita-cita dan harapan yang ada di hati. Bila sampai masanya, pelbagai perkara bermain-main di fikiran.
Diam. Saya hanya mendiamkan diri. Lalu pada sepertiga hujung malam tersisa saya bercerita dan bertanya kepada Tuan Punya dunia dan segala yang terkandung di dalamnya. Dialah yang mencipta segala-galanya.
Malah, Allah SWT yang Maha Mengetahui dengan apa yang tidak kita ketahui. Maka kepada-Nyalah saya berpaling bagi memohon ilham agar pandangan dan pilihan kami sekeluarga benar-benar di bawah pengawasan-Nya berdasarkan sedikit peraturan mudah.
Saya tidak mahu mendahului suami sebagai seorang isteri. Biarlah suami yang membuat keputusan. Namun, pandangan sisi mungkin beliau perlukan. Jika mahu berhijrah ke Madinah itu pilihan beliau yang mahu ditempuh, maka saya akan berada di sisinya sepanjang masa, terutamanya pada saat-saat berbaki yang sangat suntuk.
Saya terasa lapang setelah berbicara dengan-Nya. Sesuatu yang sukar buat manusia nyata, mudah buat Dia yang berkuasa. Saya terasa segar pada pagi itu. Tutur saya begitu mudah sekali, saya madahkan kepada suami:
"Yang... saya sudah bersedia untuk berhirah ke Madinah. Saya reda untuk meletakkan jawatan. Memadailah dengan apa yang awak dapat. Rezeki itu ditentukan Allah. Peluang ini hanya sekali. Insya-Allah, kita akan dijaga-Nya di sana."
Masa beredar. Kini, kami sudah hampir 1,000 hari di Madinah. Saya menempuh pelbagai perkara sebagai seorang wanita di sini. Barangkali ia boleh dikongsi bersama sebagai ilmu bermanfaat.
Terima kasih Kosmo! kerana memberi saya ruang untuk menulis khusus untuk wanita dan mereka yang mengasihi kaum ini. Wadah ini untukmu duhai wanita.
Salam daripada saya di Rumah Kecil di Jabal Uhud. Jumpa lagi minggu hadapan.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: