Tinggal seorang diri sejak dua dasawarsa lalu, apatah lagi dilihat mendiami di balik pokok rambutan di tepi hutan, Mohd. Noor Mat Diah, 61, bukanlah seorang insan yang hidup dalam kepompong sendiri seperti tanggapan sinis orang yang memandang.
LELAKI tua itu melunjurkan dua kakinya ke bawah saat waspada menuruni keluar dari teratak usangnya yang terbina setinggi enam meter dengan senyuman pada wajahnya yang kian dimamah usia.
Di sebalik rumah daif yang jalinan papannya berlompong seakan mahu menyembah bumi di Kampung Tepus, Bachok, Kelantan itu, siapa sangka penghuninya seorang yang agak terurus apabila tampil memakai kopiah, berbaju Melayu dan berkain pelikat kala menyambut kehadiran pemberita pada hening pagi Jumaat itu.
Tinggal seorang diri sejak dua dasawarsa lalu, apatah lagi dilihat mendiami di balik pokok rambutan di tepi hutan, Mohd. Noor Mat Diah, 61, bukanlah seorang insan yang hidup dalam kepompong sendiri seperti tanggapan sinis orang yang memandang.
Pendek kata, jika anda tunjukkan gambar rumahnya kepada sesiapa, bukanlah suatu yang luar biasa jika perkataan yang terpacul di bibir ialah: "Ada lagikah orang duduk di rumah begini di zaman ini? Betulkah?"
Biarpun realiti itu pahit untuk ditelan dalam dunia moden ini tetapi hakikatnya, Mohd. Noor mungkin lebih pahit menelan keperitan hidup sedemikian.
Hidup berpindah-randah sejak dua dekad lalu setelah kematian ibu dan bapanya, lelaki yang masih bujang ini telah mendiami empat buah rumah setakat ini yang kesemuanya dibina sendiri di atas tanah keluarganya bahkan pernah dibina di atas pokok rambutan itu.
|
Rumah atas pokok
"Sudah empat kali saya berpindah. Semua rumah saya bina sendiri dengan sisa papan, rumah asal yang roboh terdahulu akibat papannya reput.
"Ini rumah terakhir dan masih boleh duduk. Sudah tujuh tahun duduk rumah ini. Sebelum ini, saya bina rumah atas pokok ini, tapi sudah roboh," kata anak Kelantan itu 'bercakap luar', suatu frasa biasa di negeri ini yang merujuk kepada pertuturan bahasa Melayu tanpa dialek Kelantan.
Agak mengejutkan, mungkin kerana dia cuba menyesuaikan diri dengan pemberita yang hadir hari itu di samping menyedari kewujudan lensa visual televisyen.
Katanya, sejak ibu bapanya meninggal dunia dua dekad lalu, dia tinggal bersendirian manakala empat adik-beradiknya yang lain sudah berumah tangga.
"Sekali-sekala saya akan ke rumah mereka," katanya.
Meninjau kawasan rumah itu terdapat sisa runtuhan papan di sisi kiri benar-benar di bawah bahagian dahan pohon rambutan tersebut yang menunjukkan memang pernah terdapat binaan di atas pokok sebelum ini.
Rumahnya tidak seperti rumah lain yang selayaknya menjadi pelindung daripada panas dan hujan. Tiap kali rumahnya diterpa angin kencang, dirinya turut diterpa kegusaran kerana rumah bergoyang. Malamnya juga tanpa sinar cahaya elektrik dan jika hujan pada waktu malam tidurnya yang hanya beralaskan tikar akan dibasahi hujan.
Tetapi Mohd. Noor seakan sudah sebati dengan segala kesulitan dan kekurangan, bahkan dia bukan si miskin yang hanya berpeluk tubuh dan menagih simpati orang.
Mohd. Noor yang masih bekerja sebagai buruh membuat rumah di sekitar Bachok juga seorang yang berusaha untuk berdiri di atas kakinya sendiri.
Dia memasak di dapur di halaman rumahnya atau membasuh pakaian di dalam lubang-lubang yang digali menjadi besen. Terdapat ampaian jemuran kain di luar rumahnya dengan sumber air dari perigi berhampiran.
"Saya masak ikan selayang untuk tengah hari ini," katanya sambil memasukkan garam ke dalam periuk masakannya.
Dengan wang yang ada, dia gemar membeli lauk untuk dimasak dan adakalanya dia menangkap ikan di sungai dengan bubu yang dibuat sendiri.
Namun begitu, adat si miskin yang semakin meniti usia senja, keuzuran diri membataskan keupayaan bekerja maka derita itu menjerut jua.
Mohd. Noor akui, pernah tidak makan selama beberapa hari, namun dia tidak gemar hidup dengan meminta-meminta. Bebanannya cuma diringankan dengan bantuan dari Majlis Agama Islam Kelantan sebanyak RM250 sebulan sejak tiga tahun lalu.
"Saya berjimat sedaya mungkin dengan wang yang ada, tapi apabila tiada duit untuk membeli makanan, saya berpuasalah.
"Dahulu, walaupun duduk rumah begini, saya kuat bekerja. Tapi sekarang, dengan usia yang semakin lanjut dan uzur, pinggang sakit, nak berjalan pun susah, ditambah pula dengan penyakit alahan pada kulit terhadap bahan-bahan bancuhan simen membataskan keupayaan saya bekerja.
"Bila tidak banyak bekerja, kuranglah pendapatan saya," katanya yang mendapat bayaran kira-kira RM40 untuk satu tugasan.
Kesedihan
Biar dia nampak tegar menjalani kehidupannya yang serba kepayahan, namun ada air mata yang berkaca di kelopak mata. Kesedihan bagai tidak mampu disembunyikan di ruang mata.
Sebagai manusia, dia juga mempunyai naluri untuk memiliki rumah yang sempurna dan lengkap seperti insan lain.
"Memang ada hasrat nak baiki, bina rumah baharu, lagi elok, tapi tidak mampu. Kewangan saya tidak mencukupi. Kalau ada yang hendak membantu, Alhamdulillah.
"Setiap hari macam inilah, dari pagi hingga ke malam inilah rumah saya. Hujan lebat, rumah bergoyang, tempuh sahajalah.
"Saya memang mahu berdikari, tetapi nampaknya tidak boleh...," katanya dengan mata yang bergenang.
Seorang jirannya, Muhammad Abdul Rahman, 52, yang membantu menunjukkan media rumah Mohd. Noor berkata, dia amat bersimpati dengan nasib warga emas itu, namun juga mempunyai kewangan yang terbatas untuk menolong Mohd. Noor.
"Dia memang penduduk tempatan sini. Saya membesar bersamanya di sini dan melihat keadaan dia sejak dahulu sampai sekarang.
"Bayangkan pada tahun 2014, masih ada orang yang hidup begini sedangkan kita dengar kerajaan menyediakan rumah subsidi, Projek perumahan Rakyat Tempatan (PPRT) dan sebagainya," katanya yang telah membelikan basikal untuk Mohd. Noor.
Meskipun tinggal bersendirian, hidup Mohd. Noor tetap diserikan dengan dua ekor kucing yang menjadi penemannya di rumah itu. Muhammad sempat berkongsi sesuatu yang menyentuh sanubari tentang keperibadian Mohd. Noor atau yang dipanggilnya sebagai Abe Noor.
Minum air kelapa
"Itulah dia Abe Noor. Tidak kira macam mana susah hidupnya hendak cari makan, dia akan pastikan kucingnya diberi makan setiap hari," katanya.
Menjejaki halaman rumah Mohd. Noor, suatu yang boleh diperhatikan ialah terdapat buah-buah kelapa yang bertaburan.
Mohd. Noor berkata, dia mengamalkan minum air kelapa dan kehidupannya tidak lengkap jika tidak meminum air kelapa sehari.
Menurutnya, air kelapa itu memberikannya tenaga di samping dapat mengurangkan penyakit alahan kulit pada tangan dan tubuh yang dihidapinya.
"Boleh dikatakan setiap hari saya mesti kena minum air kelapa. Kalau tak minum kelapa rasa macam lain.
"Sekarang susah hendak bekerja, sakit-sakit badan, tak larat, kalau hendak bancuh simen, jadi makin kuat alahan, timbul gatal-gatal," katanya.
Mohd. Noor berkata, dia mendapatkan kelapa dengan membelinya di kedai yang dijual pada harga RM1 hingga RM2 sebiji.
Sementara itu, bercerita mengenai Mohd. Noor, Muhammad berkata, Mohd. Noor memang jenis yang tidak suka meminta dan pernah berjalan kaki dari rumahnya ke rumah kakaknya di Pasir Pekan, Tumpat sejauh kira-kira 30 kilometer.
Muhammad berkata, Mohd. Noor juga tidak tinggal bersama adik-beradiknya yang lain kerana dia bekerja membuat rumah di sekitar Bachok.
"Saya telah berjumpa dengan kawan-kawan untuk memohon bantuan kewangan bagi membelikan basikal untuk memudahkannya bergerak dan berulang-alik membuat kerja," katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: