Sabar menantikan kehadiran cahaya mata, nyata rezeki masih belum menyebelahi mereka. Pun begitu, Siti mahupun suami tidak berputus asa sebaliknya terus berusaha agar dikurniakan zuriat bersama.
Pernah menyimpan hasrat mengambil anak angkat seperti mana yang dilakukan pasangan selebriti antarabangsa, Angelina Jolie dan Brad Pitt, Siti bagaimanapun terpaksa akur dengan kekangan dan halangan yang terpaksa dihadapinya.
Malah tahun lalu, hasratnya untuk mengambil anak angkat dari Gaza, terbantut begitu sahaja apabila undang-undang negara tersebut tidak membenarkan kanak-kanak keluar dari tanah air mereka.
Akur dengan situasi itu, pelantun Lebih Indah ini, mengambil keputusan untuk mendekati anak-anak yatim dan banyak memenuhi undangan serta majlis amal bersama golongan istimewa ini.
Akui sangat teruja dapat meluangkan masa serta membuatkan anak-anak yatim itu gembira, kata Siti, ia memberikan kepuasan yang sangat bermakna untuk dirinya.
Masih menyimpan hasrat untuk mengambil anak angkat, Siti bagaimanapun mengakui ia bukan lagi keutamaannya buat masa ini kerana kesibukan karier dan juga aktiviti
amal yang dilakukannya kini.
“Saya masih belum bersedia ( anak angkat), kerana dengan kesibukan menguruskan perniagaan dan aktiviti amal saya tidak mampu memberikan sepenuh penjagaan kepada anak itu nanti,” katanya.
Bukan sahaja memiliki suara yang merdu dan bakat luar biasa, malah anak kelahiran Kuala Lipis, Pahang ini juga merupakan seorang yang dermawan.
Siti dan suaminya sebelum ini turun padang bersama bagi membantu mangsa bencana banjir di Kuantan, Pahang, kini akan meneruskan lagi kerja amalnya menerusi Yayasan Nurjiwa dengan kerjasama Siti Nurhaliza Production dan SimplySiti Sdn Bhd bertujuan mengumpul dana bagi tujuan kebajikan.
Menurut Siti, beliau mahu lebih fokus kepada aktiviti kebajikan sepanjang 2014 bagi mengumpul dana untuk yayasan yang diasaskannya itu bersama suaminya.
Pihak yayasan menyasarkan untuk mengumpul sebanyak RM1 juta supaya bantuan lebih banyak dapat diberikan kepada yang memerlukan sekali gus menjadikan yayasan sentiasa aktif dan prihatin.
“ Kami ada merancang beberapa projek untuk 2014 ini. Saya mahu bergerak lebih aktif untuk membantu golongan yang dalam kesusahan.
“Pengalaman membantu mangsa banjir di Kuantan telah memberikan saya semangat berterusan untuk melakukan aktiviti amal,” katanya yang menyasarkan kutipan dana lebih RM2 juta.
Dalam perkembangan sama, Siti berkata, antara projek yang telah disusun untuk 2014 adalah seperti larian amal, treasure hunt dan beberapa konsert amal.
Malah, beliau turut merancang untuk mengadakan lebih banyak aktiviti amal melibatkan anak-anak yatim, ibu tunggal dan kaum wanita.
Konsert amal di KLCC
Siti yang bakal membuat persembahan konsert amal eksklusif sebagai pembuka tirai 2014 iaitu Datuk Siti Nurhaliza Live in KLCC- Where The Heart Is, akan berlangsung di Dewan Plenary KLCC, pada 7 dan 8 Februari depan juga merupakan satu daripada kerja amal di bawah Yayasan Nurjiwa.
Bersedia menjawab apa saja soalan daripada peminatnya ketika di konsert amal eksklusif tersebut, Siti akan mendendangkan lebih 14 buah lagu hitsnya, diselang seli interaksi bersama peminatnya.
Menurut Siti konsert selama 1 jam 30 minit itu, kali ini memang sangat istimewa. Selain mempunyai beberapa kejutan.
“Konsert ini lebih istimewa kerana konsepnya lebih kepada santai dan intim bersama peminat.
“Siti akan ambil peluang untuk mendekati peminat. Mereka boleh tanyakan apa saja yang mereka ingin tahu mengenai Siti. Siti juga akan memilih warna putih sebagai tema untuk konsert kali ini bagi melambangkan kesucian,” katanya yang bakal menampilkan konsep mini orkestra pada dua malam persembahan itu nanti.
Siti berkata, Aubrey Suwito yang bertindak sebagai pengarah muzik itu juga akan cuba menggubah dengan memberikan kelainan dalam persembahan itu nanti. Bakal menghiburkan peminat dengan lagu-lagu bahasa Melayu dan Inggeris, Siti turut merancang untuk menampilkan penyanyi undangan yang cukup istimewa.
"Siapa orangnya, saya tak boleh umumkan lagi. Tunggu saja masa yang sesuai nanti. Saya berharap sangat peminat akan hadir dan sama-sama menghulurkan bantuan dengan membeli tiket konsert ini," katanya.
Tiket-tiket dijual pada harga serendah RM88. Pembelian tiket boleh dibuat secara talian di www.redtix.airasia.com bermula, 13 Januari ini.
Simplysiti ke Bursa Saham
Mampu bergelar usahawan wanita muda yang berjaya, pengasas rangkaian produk kecantikan Simplysiti memberitahu bahawa beliau akan mengembangkan lagi perusahaannya.
Siti yang mempunyai banyak perancangan pada tahun ini terutamanya dalam bidang perniagaan kini sudah mempunyai pejabat baharu yang lebih besar dan selesa.
Menurut Siti, beliau mahu menjadi seorang usahawan wanita yang dihormati dan mempunyai empayar perniagaan tersendiri.
Malah, Siti juga mahu perniagaannya ke Bursa Saham.
“Siti mahu SimplySiti berjaya ke Bursa Saham, namun ia mestilah mempunyai perancangan yang rapi dan diteliti.
“InsyaALLAH, kerana bukan mudah tersenarai masuk ke Bursa Saham. Semuanya masih dalam perancangan dan sedang menuju ke arah itu kerana ia bukan perkara yang mustahil,” katanya yang mengakui perkara tersebut tidak mungkin akan berlaku pada tahun ini, sebaliknya dalam tempoh beberapa tahun akan datang.
Malam kelmarin, turut menyaksikan pelancaran produk terbaharu daripada Simplysiti iaitu Sweet Dreams Fragrance Mist yang mempunyai 6 variasi iaitu Ocean Fresh, Wild Berries, Musky Peach, Exotic Violet, Tropical Bouquet, dan Sugar Blossom.
Sementara itu, Siti turut berkongsi berkembangan seninya. Jelas Siti, beliau akan tampil dengan single terbaharu dan bakal menjalani rakaman pada pertengahan bulan.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: