|
CUACA panas pada pagi Sabtu itu tidak sedikit pun mematahkan semangat keluarga Jamalulail Ismail untuk meneruskan perjalanan pulang ke tanah air.
Pemanduan dari Songkhla, Thailand ke Bukit Kayu Hitam, Kedah bersama isteri, Sofinee Harun, 38, serta empat orang anak mereka, Puteri Sabeera, 17, Muhammad Syameem, 16, Sumrah, 13, dan Ahmad Seif, 10, seolah-olah tidak terasa.
Menelusuri Phetkasem Road, perjalanan sejauh kira-kira 87 kilometer itu lebih lancar sementelah karavan jenis Mercedes Sprinter yang dipandu Jamalulail turut diiringi polis trafik dari negara Gajah Putih tersebut.
Kurang dari satu jam setengah lagi, enam sekeluarga itu akan tiba di Malaysia selepas mengharungi perjalanan darat selama 155 hari dari bandar raya Sunderland, England.
Pengembaraan bersejarah sejauh kira-kira 25,500 kilometer yang belum pernah dilakukan oleh mana-mana keluarga itu akhirnya tiba di sempadan Malaysia-Thailand pada pukul 12.30 tengah hari, 14 Disember lalu.
Ketika dihubungi kru Jurnal baru-baru ini, Jamalulail memberitahu, siri jelajah yang bermula pada 13 Julai lepas itu merentasi 26 buah negara termasuk Perancis, Belanda, Jerman, Switzerland, Itali, Turki, Bulgaria, Slovenia, Laos dan China.
Mengimbas kembali memori ekspedisi tersebut, lelaki yang berasal dari Hutan Melintang, Perak itu mengakui mengembara ke seluruh dunia memang menjadi impiannya sejak kecil lagi.
Menurutnya, dia berhijrah ke England bersama isteri dan dua orang anaknya pada tahun 1999 selepas menerima tawaran melanjutkan pelajaran dalam jurusan Reka Bentuk Kejuruteraan Automatif di Universiti Coventry, England.
"Ketika itu isteri sedang sarat mengandung anak ketiga. Hanya Sumrah dan Ahmad Seif sahaja yang lahir di sana.
"Kami menetap di negara itu hampir 15 tahun dan dalam tempoh itu anak-anak hanya belajar di rumah dengan tunjuk ajar daripada isteri yang juga pernah berkhidmat sebagai guru sementara di Jitra, Kedah," jelasnya.
Jurutera berusia 44 tahun itu berkata, kerinduan terhadap kampung halaman mula menebal dan bertitik tolak daripada situ, dia dan isteri mula merangka pelan untuk pulang ke tanah air menerusi projek pengembaraan jalan darat.
Jadi, bagi merealisasikan impiannya, beliau sanggup berhenti kerja sebagai jurutera di syarikat perusahaan multinasional, Caterpillar pada tahun 2007.
"Idea untuk melakukan ekspedisi itu tercetus sekitar tahun 2002 namun hasrat itu terpaksa dilupakan kerana keadaan anak-anak yang masih kecil.
"Sehinggalah pada tahun 2010, kami mula serius memikirkan mengenai trip ini," jelasnya .
Tambah Jamalulail, mereka sekeluarga terpaksa membelanjakan £60,000 (RM320,000) untuk membiayai kos perjalanan itu termasuk membeli sebuah karavan.
"Karavan terpakai dengan nombor plat R984 HNS itu dibeli pada harga £15,000 iaitu lebih kurang RM75,000," ujarnya.
Jamalulail berkata, banyak perkara yang perlu dipertimbangkan ketika memilih kenderaan yang sesuai lebih-lebih lagi untuk perjalanan darat yang memakan masa panjang.
Paling jauh
"Selepas mencari beberapa kenderaan yang bersesuaian dengan bajet, kami sepakat untuk membeli karavan ini," ujarnya.
Bertutur lanjut, Jamalulail berkata, beliau dan isterinya turut merangka enam pelan secara keseluruhan bagi mengenal pasti jalan darat yang sesuai, selamat serta boleh dimasuki tanpa sebarang kerenah birokrasi.
"Persiapan lain dari aspek teknikal, laluan perjalanan, sistem navigasi, tukaran mata wang asing dan visa juga perlu dibuat lebih awal bagi memastikan kelancaran perjalanan," jelasnya.
Cerita Jamalulail, laluan perjalanan yang paling panjang dalam ekspedisi itu ialah negara China dengan jarak sejauh 8,000 kilometer (km).
Menariknya, beliau perlu mengambil lesen memandu dan menukar nombor plat kenderaan mengikut undang-undang negara tersebut.
Namun, katanya, mereka menghadapi kekangan kewangan kerana terpaksa membayar kos perkhidmatan pemandu pelancong sebanyak £10,000 iaitu kira-kira RM50,000.
"Kerajaan China mewajibkan pembayaran caj perkhidmatan ke atas pemandu pelancong yang dilantik khas.
"Jadi, kami terpaksa mengeluarkan sejumlah wang bagi membayar servisnya selama 24 jam sehari untuk tempoh 24 hari.
"Visa juga diperlukan bagi membolehkan kami masuk ke negara berkenaan," jelasnya.
Minyak gel
Tambah Jamalulail, pelbagai peristiwa menarik serta memori indah mewarnai pengembaraan karavan yang digelar 'By Road to Malaysia' itu.
Katanya, antara pengalaman yang tidak dapat dilupakan adalah ketika menempuh detik-detik sukar ekoran masalah perubahan cuaca yang ekstrem.
"Semasa di Krygyzstan, minyak diesel yang digunakan bertukar menjadi gel akibat suhu yang terlalu sejuk.
"Minyak tidak dapat dicairkan secara terus menggunakan api kerana kenderaan yang kami naiki menggunakan tangki polimer.
"Jadi, saya terpaksa mencairkan minyak itu menggunakan alat pemanas elektrik," jelasnya sambil memberitahu, mereka bertuah kerana karavan seberat 3,600 kilogram itu tidak pernah meragam.
Bagi Sofinee, pengalaman menjalani ibadah puasa dalam musim panas yang mencecah suhu 50 darjah Celsius mengajar sifat lebih sabar dalam menghadapi ujian hidup.
"Kami berpuasa sehingga 19 jam sehari dalam keadaan cuaca yang begitu panas.
"Lebih malang, karavan kami tidak mempunyai alat pendingin hawa kerana direka khusus untuk negara beriklim sejuk," ujarnya.
Tambah wanita kelahiran negeri Sarawak itu, cabaran lain yang dialami sepanjang perjalanan tersebut termasuklah dari segi pemanduan kerana stereng kenderaan di hampir semua negara adalah di sebelah kiri.
"Di England, stereng kereta terletak di sebelah kanan begitu juga di Thailand dan Malaysia.
"Namun, kami perlu membiasakan diri untuk menggunakan stereng di sebelah kiri ketika memandu dari Perancis hingga Laos.
"Untuk itu, sekiranya saya tidak memandu, saya perlu menolong suami untuk lihat keadaan jalan dulu sebelum memotong," katanya.
Sofinee berkata, pengalaman ketika dirompak di Teheran, Iran juga sedikit sebanyak memberi pengajaran berguna agar lebih berhati-hati pada masa hadapan.
Katanya, karavan mereka dimasuki pencuri sehingga menyebabkan kehilangan sebuah generator yang amat penting untuk mendapatkan tenaga elektrik ketika kecemasan.
"Kemudian kami dirompak pula seorang lelaki Iran yang menyamar sebagai anggota polis dan melarikan dua telefon pintar iPhone.
"Walaupun begitu, kami bersyukur kerana Allah sentiasa memelihara keselamatan serta kesihatan kami anak-beranak," jelasnya sambil memberitahu mereka sekeluarga kini tinggal buat sementara di rumah ibunya di Perlis.
Tambahnya, buat masa ini mereka masih belum pasti sama ada mahu menetap di Malaysia atau pulang ke England.
"Kami masih belum mempunyai apa-apa perancangan kerana masing-masing mahu berehat daripada pengembaraan yang panjang itu.
"Namun, saya perlu segera memikirkan mengenai hal persekolahan anak-anak yang masih belajar," katanya yang bercadang untuk memberi pendidikan di sekolah secara formal jika mereka menetap di Malaysia.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: