Sunday, January 5, 2014

Kosmetik halal Ili Zawani

DI SAMPING produk kecantikan, Ili Zawani bercita-cita memiliki program bual bicara sendiri.


MELIHAT pencapaian wanita yang bergelar ahli perniagaan pada usia 20 tahun, kru Jurnal merasakan yang dia sebenarnya sudah berjaya dalam perniagaan yang diceburi.
Tetapi berbeza pula bagi Ili Zawani Ismail, 27, apabila memberitahu, dia masih jauh daripada mencapai impiannya.
“Secara peribadi, saya masih belum layak untuk mengatakan yang saya sudah berjaya kerana banyak lagi perkara yang belum dicapai mengikut definisi kejayaan dalam kamus saya sendiri.
“Malah, saya juga bercita-cita untuk mempunyai program bual bicara sendiri yang berunsurkan inspirasi dan ilmiah bagi melahirkan generasi yang lebih berkualiti, berdaya saing dan bekerja keras.
“Selain itu, saya juga mahu menjadi tokoh korporat wanita berpengaruh yang mampu membantu dan memberi manfaat kepada masyarakat, negara dan agama,” ujarnya.
Tampil ayu dan feminin dalam persalinan jubah berwarna hitam, wanita ini berkata, dia sebenarnya tidaklah terlalu feminin seperti sekarang.
“Jika dahulu, saya bergaya ringkas sahaja dan mengenakan lipstik dan bedak untuk keluar tetapi apabila memasuki bidang kecantikan, saya menjadi lebih feminin dengan menitikberatkan segala aspek kecantikan yang sememangnya sinonim dengan wanita.
“Malah, saya juga mengamalkan petua seperti menggunakan madu sebagai masker dan memperbanyakkan minum air masak bagi menjaga kecantikan,” jelasnya yang mempunyai 21 orang kakitangan.
Ujar Ili Zawani, dia merupakan seorang yang ringkas dan elegan selain agak perahsia.
Malah, dia lebih gemar melancong atau berehat di suatu tempat yang sunyi bagi membolehkan dia melepaskan tekanan akibat kerja.
Bersolat
“Selalunya saya akan berehat di rumah atau mencari lokasi percutian yang tidak serabut untuk menenangkan fikiran.
“Jika stres, saya akan menulis apa yang menyebabkan saya stres di atas sekeping kertas dan kemudian membuangnya. Ini kerana kita perlu menyingkirkan stres tersebut daripada fikiran sebagai salah satu cara melepaskan tekanan selain mengunjungi spa,” katanya yang masih solo.
Mengulas lanjut bidang perniagaan yang diceburi, Ili Zawani memberitahu, kosmetik halal bukanlah sesuatu yang menjadi kepentingan umum pada mulanya.
“Kesedaran umum mengenai kepentingan produk halal semakin meluas, bukan setakat minuman dan makanan, tetapi mereka kini turut mementingkan penggunaan kosmetik yang halal.
“Kosmetik ini diiktiraf sebagai halal kerana kandungan bahan yang digunakan seperti ekstrak tumbuh-tumbuhan, buah-buahan dan minyak sayuran adalah yang dibenarkan di dalam Islam malah ia juga dimiliki dan diproses oleh orang Islam sendiri di Turki.
“Selain itu, ia juga memudahkan wanita untuk melakukan solat tanpa was-was sekiranya menggunakan produk ini,” beritahu anak kedua daripada tiga orang adik-beradik ini.

UJAR Ili Zawani, jenama FCC menepati tiga elemen yang dicari wanita iaitu memenuhi keperluan, berkualiti dan harga berpatutan.


Kata wanita yang berasal dari Selangor ini, dia tidak pernah terlintas akan menglibatkan diri di dalam dunia perniagaan memandangkan dia merupakan lulusan perakaunan, The Association of Chartered Certified Accountants (ACCA) di Kolej Universiti Sunway.
“Saya sangat meminati mata pelajaran Matematik dan untuk itu, selepas tamat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) saya melanjutkan pelajaran untuk bergelar akauntan.
“Tetapi sayang, saya tidak dapat meneruskan cita-cita itu kerana keluarga memerlukan seseorang untuk mengusahakan perniagaan.
“Tanpa latar belakang dalam bidang perniagaan, saya memikul tanggungjawab itu pada usia yang begitu muda,” ujarnya.
Bagi memastikan potensi komestik halal berkembang di Malaysia, Ili Zawani terlebih dulu melakukan kajian pasaran dan ternyata industri kosmetik tetap berkembang tidak kira bagaimana keadaan ekonomi sekali pun.
“Walaupun ekonomi merudum, wanita masih memerlukan barangan kosmetik bagi penjagaan diri sepanjang masa tetapi mereka kini lebih gemar memilih kosmetik yang dijual pada harga berpatutan.
“Untuk itu, saya memperkenalkan kosmetik halal, Farmasi Colour Cosmetics (FCC) dari Istanbul, Turki pada harga yang berpatutan dan alhamdulillah, sambutan yang diterima amat menggalakkan.
“Produk ini memenuhi tiga elemen yang wanita secara amnya cari dalam sesuatu produk iaitu memenuhi keperluan, berkualiti dan harga yang berpatutan.
“Teksturnya yang ringan pula membolehkan pengguna berasa selesa dan yakin,” jelas pemenang Anugerah Gadis Ikon 2011/2012 ini.
Timba pengalaman
Sebanyak 185 jenis produk FCC boleh didapati di 17 kaunter pasar raya seperti Parkson dan Aeon Big selain di enam cawangan online utama seperti Zalora dan FashionValet.
Menurut Ili Zawani, peluang menyertai Persatuan Wanita Bumiputera Dalam Perniagaan dan Profesyen Malaysia (Peniagawati) membolehkannya menimba pengalaman dan bertukar-tukar idea berkaitan perniagaan selain mewujudkan jaringan antara usahawan wanita.
“Sebagai perancangan, saya berhasrat menjadikan FCC sebagai satu produk halal yang sudah tidak asing lagi di Malaysia dari segi kualiti, harga dan imej.
“Selain itu, saya juga ingin membawa produk ini ke Indonesia, Brunei dan Singapura secara lebih meluas,” jelasnya mengakhiri bicara.


No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: