CUKUP sekadar peminat tahu mereka sedang bercinta, namun untuk bercerita lebih lanjut sejauh mana hubungan yang disemai, itu bukan amalan pelakon Nazim Othman dan kekasihnya, Bella Dally.
Tidak sekadar enggan mencanang soal cinta, Nazim dan Bella juga menolak berlakon bersama sebagai pasangan kekasih malah, tidak mahu bergambar berdua untuk sesi fotografi.
Bagaimanapun, pendirian pasangan itu mula terlerai selepas berlakon bersama sebagai pasangan kekasih dalam drama terbaharu berjudul Kalimah Jiwa, terbitan Rumah Karya Citra milik pengarah popular Erma Fatima.
Tidak kisah diminta bergambar berdua, baik Nazim mahupun Bella masing-masing juga senang berkongsi momen hubungan cinta yang tersemai sejak dua tahun lalu.
Merancang ke fasa lebih jauh bersama Bella, akui Nazim, mereka sudah berbincang mengenai perkahwinan memandangkan usianya juga bakal menginjak 30 tahun.
"Banyak kali sebenarnya saya sudah fikir pasal kahwin. Perbincangan itu memang ada sebab saya pun bukan muda lagi. Bakal memasuki usia 30 tahun. Memang pernah ada perancangan tetapi tidak jadi. Allah yang tentukan sebab kuasa di tangan-Nya," lantun Nazim berbicara mengenai dirinya dan Bella.
Ditemui di set penggambaran drama terbaharu Kalimah Jiwa, Nazim memberitahu, drama tersebut merupakan drama sulung mereka sebagai pasangan kekasih.
"Ini kali ketiga saya berlakon bersama Bella. Kali pertama menerusi drama Inspirasi Varsiti kira-kira tiga tahun lepas. Tiada babak membabitkan kami berdua. Kami juga tidak berbual di set penggambaran kerana ketika itu dia lebih suka menyendiri. Cara dia bawa diri juga agak janggal. Kali kedua pula menerusi drama Kalau Tidak Kerana Tuan dan kali ketiga kami berlakon menerusi drama Kalimah Cinta sebagai pasangan kekasih pula," kata Nazim.
Bercinta dan kemudiannya berlakon bersama sebagai pasangan kekasih, namun begitu Nazim menolak mudah membina keserasian di set penggambaran.
Jujur pada awal penggambaran drama Kalimah Jiwa itu, Nazim akui berasa kekok berlakon bersama Bella.
"Ada yang beranggapan bila sudah bercinta dan kemudiannya berlakon bersama mudah bina keserasian. Tetapi, sejujurnya pada awalnya saya rasa kekok berlakon dengan Bella. Lama kelamaan baru okey," ungkapnya ketika ditemui Sensasi Bintang.
Tegur Bella
Berbicara lanjut mengenai gandingannya dengan Bella, luah pelakon berusia 29 tahun itu, walaupun Bella kekasihnya tetapi wanita itu tidak kebal daripada tegurannya.
Jelas Nazim, dia tidak suka dengan pelakon yang lupa dialog bila datang ke set penggambaran.
"Saya sebenarnya tidak suka dengan orang yang lupa dialog. Kalau lupa sekali tidak apa. Saya akan tegur pelakon tersebut dan Bella juga tidak terkecuali. Dia boleh terima dengan teguran saya.
"Saya dan dia memiliki perbezaan umur yang ketara. Jadi, saya tegur untuk kebaikannya juga," tutur pelakon dan juga model itu.
Bercakap mengenai hubungannya dengan Bella, Nazim mengakui bersikap pelindung terhadap kekasihnya begitu tebal kerana keluarga Bella berada jauh di Sabah.
Disebabkan itu, akui Nazim, dia menegur cara berpakaian Bella supaya tidak terlalu seksi atau mengingatkan dia supaya tidak meletakkan barang-barang berharga di dalam kereta.
Tindakannya itu bukan berniat mengawal kekasihnya, sebaliknya Nazim memberitahu, sekadar memastikan keselamatan Bella terpelihara.
Bella mengaku kaku
Bercerita mengenai watak yang dijayakan dalam drama Kalimah Jiwa bersama kekasihnya, Nazim, kata Bella pula, dia mengakui sukar membawakan watak Aina Sofea, kekasih kepada Aniq (Nazim).
Menurut Bella, kesukaran tersebut disebabkan dia bercuti berlakon agak lama.
"Saya balik ke Sabah selama sebulan. Bila sudah lama bercuti, mula berlakon semula, saya jadi kaku. Momentum lakonan jatuh. Tetapi, Alhamdulillah lama-kelamaan saya dapat rentak dan semakin baik membawakan watak Aina," ulasnya kenapa Nazim banyak menegurnya di set penggambaran drama tersebut.
Biarpun Nazim tegas terhadapnya, Bella akui, tidak pernah berasa rimas dan menganggap perbuatan kekasihnya itu untuk kebaikannya.
Bella juga memberitahu, tiada masalah berlakon di samping Nazim kerana kekasihnya itu banyak memberi nasihat dan dorongan sebagai pelakon yang mempunyai banyak pengalaman berbanding dirinya.
"Alhamdulillah, saya tidak berasa kekok berlakon dan berasa terkilan dengan dia (Nazim). Dia banyak bagi teguran dan nasihat," ulas Bella pula mengenai Nazim.
Disoal sama ada Nazim yang membawanya berlakon dalam drama Kalimah Jiwa milik syarikat Erma Fatima, luah Bella, Erma sendiri yang menawarkan watak tersebut kepadanya.
Sedar, ramai yang sedia maklum Nazim sering menjadi pilihan Erma dalam dramanya, Bella akui, gembira dan berbangga kerana dipilih berlakon di bawah Erma.
"Sebelum ini saya sering bawa watak antagonis. Alhamdulillah, Erma bagi kepercayaan untuk saya bawa watak baik pula," lantun Bella lagi.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: