Sunday, January 5, 2014

Picu senjata Rosyam, Adi, Rita



MOMENTUM tidak hadir dalam sekelip mata, tak juga mampu ditimba dari telaga emas. Namun, ia barangkali boleh didulang dengan masa dan tenaga, dengan hati yang kering, teguh dan gagah.
Atas landasan karier mahupun kehidupan, setiap orang mahukan momentum. Buat tiga anak wayang, Datuk Rosyam Nor, Adi Putra dan Rita Rudaini, masing-masing sudahpun memijak momentum kedewasaan atas dua landasan itu. Tidak perlu lagi mereka terkejar-kejar memburu itu dan ini, tapi pada waktu yang sama, apa yang menghambat di belakang tidak menjadikan mereka terleka.
Kalaupun bukan secara nyata, hambatan-hambatan dunia seni itu amat subjektif. Impaknya ada yang jelas menghempap ke bahu namun ada juga yang terlalu halus hingga hanya mampu disedari tanpa boleh dilihat mata kasar. Persediaan berdepan impak buruk atau baik itu, haruslah datang daripada mata hati. Di situ, persoalan jati diri menjadi penegak untuk mereka terus berjuang selagi tidak mati.
Rosyam uji sokongan
Rosyam Nor mungkin penghulu dalam gandingan kali ini. Dia orang paling banyak buah fikiran untuk bercakap tentang Balistik, tentang kelajuan yang sedang ditatang, tentang harapan dan masa depan. Filem sulung yang diterbitkannya atas nama rumah produksi RK Screen Sdn. Bhd. itu sudah ditunggu-tunggu sejak dua tahun lalu.
"Saya ada sebab kenapa filem ini mengambil masa yang lama untuk ditayangkan. Sebenarnya saya mahu tengok impak KL Gangster 2 yang ditayangkan baru-baru ini. Saya tahu, KL Gangster banyak peminat dan saya antara pelakon senior yang melakonkan watak Tailong dalam filem itu. Kalau watak itu menjadi, saya percaya perkara itu dapat mempengaruhi peminat filem untuk lihat lagi lakonan saya. Saya tak malu untuk mengakui hakikat bahawa sebenarnya saya menumpang impak KL Gangster 2," ujar Rosyam mengakui bahawa momentum lakonannya di layar perak ini teralih untuk membawakan watak antagonis.
"Rasanya peminat boleh terima saya jadi jahat. Kalau saya masih bawa watak hero romantis, rasanya ada juga yang akan muntah," ucapnya ketawa memecah suasana.

ROSYAM mengharapkan impak yang diterima menerusi filem KL Gangster 2 akan menularkan keterujaan peminat menyaksikan lakonannya menerusi Balistik.


Dalam filem Balistik, Rosyam juga percaya bahawa gandingan bersama Adi Putra dan Rita Rudaini boleh menarik minat penonton ke panggung.
"Rita ialah pasangan heroin saya dalam banyak drama sebelum ini. Rita dan Adi pula digemari penonton di kaca televisyen. Saya pernah berjanji untuk bawa Rita berlakon filem. Saya juga percaya bahawa pelakon-pelakon Cina popular tempatan seperti Jack Lim, Jason Phang, Gan Mei Yan dan Jeff Chin boleh suntik kelainan dalam filem ini. Mereka itu sangat popular dalam kalangan masyarakat Cina di Malaysia, ada filem lakonan mereka cecah kutipan box-office. Itu antara harapan yang memberi keyakinan kepada saya," ujar Rosyam penuh harapan.
Dia percaya tajuk filem terbaharunya itu akan membuahkan impak di mata peminat filem aksi tempatan.
"Masa depan saya sebagai penerbit filem disandarkan kepada Balistik. Saya anggap ini sebagai permulaan 2014 yang sangat mencabar. Selepas ini, RK Screen ada beberapa projek lain termasuklah filem Isyarat Cinta arahan Baderuddin Azmi yang telah selesai menjalani penggambaran.
"Risau juga kalau-kalau filem itu tak dapat beri pulangan, tapi (saya tetap) sahut cabaran Datuk Yusof Haslam yang mahu orang-orang lama kembali buat filem. Silver Chung yang bertindak sebagai pengarah pun bukan calang-calang. Idea Balistik sebenarnya sudah terhasil sejak enam tahun lalu, ketika itu dia mengarahkan drama CID3278," jelas Rosyam yang memegang watak Saga, pembunuh upahan yang paling dikehendaki polis dalam filem berkenaan.
Adi tinggalkan kontroversi
Menutup tahun 2013 dengan episod kontroversi yang sedikit memalukan, Adi Putra menganggap hidup tidak lengkap tanpa cabaran. Samalah juga dengan peluru-peluru ujian yang terpaksa ditepis sepanjang tahun lalu.
"Tahun 2013 banyak mematangkan saya. Mujur juga ujian sebegitu datang ketika usia saya masih muda. Saya baru 32 tahun, kalaulah saya berdepan ujian sebegitu ketika berusia 50 tahun ke, lebih teruk rasanya.
RITA RUDAINI anggap kemunculannya menerusi layar perak sebagai usaha untuk terus kekal di mata peminat generasi hari ini.


"Saya cuma boleh bersyukur sebab masih ada yang sanggup menyokong saya. Paling saya terkesan apabila saya menerima sebaris kata-kata sokongan yang berbunyi: 'Allah sangat menyayangi diri anda'. Saya anggap itu kata-kata yang paling bermakna. Ada banyak beza 'sangat menyayangi; berbanding 'menyayangi' sahaja," tutur Adi sambil tidak bersetuju jika kontroversi dikatakan sebagai penyumbang atau punca kegagalan sokongan peminat terhadap sesebuah filem.
"Kontroversi tidak melemahkan atau menaikkan sesebuah filem. Saya tidak percaya kepada kontroversi yang ada hanyalah ujian. Filem tetap filem," katanya ringkas.
Melakonkan watak Nizam, Adi buat pertama kali diberi mandat untuk sepenuhnya menjiwai karakter seorang pegawai polis berpangkat inspektor.
"Bila bawa watak pegawai polis, banyak perkara kena jaga. Cara berjalan, cara pegang pistol pun kena ada skil, cara tembak tak boleh main belasah macam gangster. Mujur juga ada pegawai dari Bukit Aman yang bagi tunjuk ajar dalam bab itu," katanya yang terkenal dengan watak Jai dalam filem KL Gangster.
Membuka tirai 2014 dengan sebuah filem aksi, nama Adi juga tersemat dalam produksi Hanyut, arahan U-Wei Saari yang kini menjelajah festival di luar negara. Filem-filem lain seperti Suami Aku Ustaz dan Isyarat Cinta juga mungkin akan menemui penonton sekitar pertengahan dan hujung tahun nanti.
"Tahun 2014 saya mengurangkan sedikit kerja lakonan, saya mahu fokus kepada bisnes yang bertentangan daripada dunia seni. Itu aset baharu yang akan saya umumkan dalam masa terdekat," tutup Adi.
Rita Rudaini terus berjuang
Berlainan dengan Adi yang sering di layar perak, kali terakhir Rita Rudaini muncul dalam filem ialah pada tahun 2007 menerusi Cinta. Rita cukup arif bahawa jualan bakatnya lebih terarah kepada drama televisyen. Sebelum berkahwin dan mempunya dua orang anak, mungkin ramai yang masih ingat kemunculan Rita membawa watak andartu yang gemar membawa mulut alam filem Mami Jarum dan Mami Jarum Junior.
Ketawa saat diingatkan semula karakter komedi lakonannya dahulu, Rita mengakui, jiwa komedi sudah ditinggalkannya.
"Rasanya saya sudah lupa macam mana hendak buat lakonan komedi. Sudah terbiasa sangat dengan drama cinta dan air mata," katanya yang juga masak soal cinta dan air mata dalam kehidupan realiti itu.
TAHUN 2013 menghadirkan peluru-peluru kontroversi kepada Adi Putra, namun aktor ini menganggap semua itu sekadar ujian daripada Tuhan.


Kisah turun-naik mahkamah, tuntutan hak jagaan anak-anak, bercerai dan kemudiannya bersambung lagi dengan perbicaraan tuntutan nafkah, karier dan kehidupan peribadi Rita melencong daripada mimpi indah ketika mula-mula membina bahagia.
"Selepas ini rasanya banyak lagi nak kena turun-naik mahkamah. Saya tak kisah, janji saya memperjuangkan hak saya," katanya optimis.
Tambah Rita juga, tahun 2013 membawa ke tahun 2014 memberikannya banyak kekuatan yang selama ini tidak disedari olehnya. Selain penerimaan peminat yang tidak pernah pudar, bidang perniagaan yang baru diceburi juga memberikan semangatnya untuk membina kejayaan dalam kehidupan biarpun berstatus ibu tunggal.
"Sekarang saya kena kerja keras untuk anak-anak. Karier lakonan ialah cinta saya. Walaupun saya banyak berlakon drama dan agak mendiam diri selepas ada anak, saya tetap terima cabaran Rosyam untuk muncul dalam Balistik. Saya pun mahu jadi macam Rosyam, mahu terus berada di hati peminat," katanya yang kini muncul dalam drama bertajuk Istidraj Cinta.
Tidak seperti Rosyam dan Adi yang berlawan sepak dan peluru dalam Balistik akan ditayangkan 9 Januari nanti, Rita pula berada di tengah-tengah kehidupan dua lelaki itu.


No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: