|
"NAMA dia Zachary Depp," luncur sepotong ayat daripada pemilik nama Nurul Depp atau nama sebenarnya Nurul Huda Abdul Wahab ketika pertemuan bersama Kosmo! hari Jumaat lalu.
Sambil mendukung bayi lelaki yang selama ini diperkenalkan kepada umum dengan sapaan Baby Z, wajah ceria Nurul menampakkan dia kini jelas diulit bahagia.
Penulis bertanya, kenapa perlu dirahsiakan nama bayi sulung hasil perkahwinan keduanya bersama jejaka kelahiran Perancis, Eric Depp, jawab Nurul, dia terasa hati.
"Saya terasa hati dengan sesetengah pihak yang selalu nak tahu semua perkara termasuk soal peribadi yang adakalanya terlalu personal bagi saya.
"Tapi apabila sudah berkongsi, lain pula jadinya, tetap ada perkara yang orang tak puas hati. Jadi, lebih baik saya rahsiakan dulu sampai waktu yang betul-betul sesuai seperti sekarang.
"Pernah saya terfikir untuk tutup semua kisah peribadi saya dan berkongsi pasal kerjaya sahaja tapi tidak adil untuk sesetengah peminat yang optimis dan mengikuti perkembangan saya selama ini.
"Saya tahu saya hak masyarakat dan sebab itu saya dahulukan dengan pengenalan serba sedikit sebelum berkongsi sepenuhnya mengenai anak saya. Sekarang saya sudah bersedia," jelasnya yang hadir bertemankan suaminya, Eric dan anak sulungnya, Ayu Nazirah.
|
Zachary
Nurul, 36, telah mendirikan rumah tangga bersama Eric, 48, pada 6 Jun 2012 selepas kemusnahan rumah tangganya bersama komposer terkenal, Ajai selepas dikurniakan seorang cahaya mata iaitu Ayu Nazirah, 15, hasil perkahwinan pertama.
Sambil menggetus dedaun kata dan memangku Baby Z yang sudah memasuki usia tiga bulan, Nurul mengakui bayi lelakinya tidak banyak meragam sepanjang tempoh berpantang hingga sekarang.
"Kebetulan saya dibesarkan dalam keluarga yang ramai adik-beradik, semua perkara jadi mudah dan Alhamdulillah kelahiran kedua tidak sesukar yang pertama 15 tahun lalu.
"Perasaan gembira itu tidak dapat tergambar oleh kata-kata dan tak sangka saya boleh mempunyai anak lagi, rasa masa sangat cepat berlalu dan syukur saya dapat apa yang dihajati.
"Zachary tidak banyak ragam, memang awal-awal dulu setiap malam akan terjaga tiga kali untuk menyusu tapi sekarang sudah tidak sekerap sebelum ini. Bangun pagi-pagi pun dia akan tersenyum, hati ibu mana tak berseri-seri?" kongsinya.
Memilih nama Zachary, ujar Nurul, selepas menolak 19 buah nama lain yang disenaraikan olehnya dan Eric sepanjang tempoh kehamilan.
"Malah, ada cerita menarik di sebalik nama Zachary sebenarnya. Dulu saya ada menyukai seorang jejaka ketika zaman persekolahan bernama Zakri dan saya akui setiap kali berjumpa dengan lelaki bernama Zakri mesti individu itu rupawan.
"Lagipun, Zachary adalah singkatan daripada nama Zakaria yang bermaksud amanah dan taat. Kalau ada orang mahu mempertikaikan ejaan nama anak saya, tiada masalah dan saya tidak kisah," tegas Nurul.
Tambahnya, Zachary dilahirkan secara normal pada pukul 10.28 pagi 3 Oktober 2013 seberat tiga kilogram, dua minggu lebih awal daripada tarikh jangkaan iaitu 15 Oktober.
Ditanya tentang azam tahun 2014, kata Nurul, dia mahu mempunyai seorang lagi cahaya mata melengkapkan angka tiga selain merancang untuk mengadakan konsert mininya sendiri.
|
Syukur
Hanya air mata kegembiraan mengiringi kelahiran cahaya mata sulung Eric yang setia menemani Nurul sepanjang proses kelahiran.
"Takut pada mulanya kerana ini pengalaman pertama saya tetapi pada masa sama, saya rasa teruja. Apa yang mampu saya buat ketika itu hanya berdoa dan memberikan dorongan mental kepada Nurul.
"Paling penting anak saya sihat, sempurna dan Nurul juga selamat bersalin tanpa sebarang komplikasi," kata Eric bersungguh-sungguh.
Eric tidak meletakkan sebarang sasaran atau menentukan hala tuju kehidupan anaknya kelak, baik artis atau perunding pemasaran sepertinya, itu tidak menjadi hal.
"Dia boleh menjadi sesiapa saja yang dia mahu dan saya tiada hak untuk menentukan masa depannya tapi saya mahu dia dibesarkan dengan pembelajaran yang mencukupi, mungkin dia juga ada minat tersendiri," ujarnya yang kini membesarkan sendiri Zachary di rumah tanpa bantuan pengasuh.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: