|
PERKENALAN singkatnya dengan jurulatih seni mempertahankan diri Brazil yang dikenali sebagai Capoeira sewaktu mengacarakan sebuah program kesihatan televisyen kira-kira lima tahun yang lalu pantas mengukir bibit-bibit cinta.
Tempoh hubungan mereka berlangsung agak lama, namun, cinta Azura Zainal, 32, dan Cristiano Genuino Da Silva, 38, akhirnya bersatu dalam sebuah majlis pernikahan yang berlangsung pada 28 Disember lalu di Restoran Subak, Kuala Lumpur.
Pada majlis itu, Azura yang juga merupakan penyampai di stesen radio Red FM diijabkabulkan oleh bapanya sendiri, Zainal Mohd. Kharib sambil disaksikan oleh kaum keluarga dan sahabat handai pengantin perempuan.
Dengan dua kali lafaz, Cristiano atau nama Islamnya, Ibrahim dan Azura selamat bergelar pasangan suami dan isteri.
Lebih istimewa, Cristiano melafazkan akad pada malam itu dalam bahasa Melayu.
Walaupun kedengaran sedikit pelat, anak jati negara Brazil ini tidak sedikit pun gugup, malah keyakinan dan kesediaan untuk bergelar suami jelas terpancar pada raut wajahnya.
Azura yang kelihatan cukup manis pada majlis pernikahannya itu tersenyum simpul usai upacara pernikahan tersebut.
Dia menerima wang hantaran sebanyak RM3,000 serta dihadiahkan pengantin lelaki tujuh dulang hantaran termasuklah sebuah telefon pintar, kasut dan sepasang persalinan.
Cristiano seperti bapa
Azura yang mula dikenali sebagai pengacara melalui rancangan kanak-kanak Studio Disney memberitahu, Cristiano yang dipanggilnya dengan nama ringkas, Cris itu begitu istimewa di matanya.
Ketika dalam proses mengenali hati masing-masing, jejaka itu begitu mengambil berat tentang dirinya dan tidak kekok walaupun berbeza bangsa dan agama.
“Saya dan Cris mula mengenali antara satu sama lain ketika sedang menjalani pengambaran program Get In Shape. Selepas berjumpa buat kali yang kedua, dia terus mengajak saya keluar makan.
“Dari situ, bermulalah bibit-bibit cinta antara kami berdua. Dia merupakan seorang yang baik hati dan menerima diri saya seadanya. Walaupun dia sibuk menguruskan studio Capoeira miliknya, dia tidak pernah mengabaikan saya,” ujarnya.
Tambah Azura, ketika dia sedang sakit dan terlantar di hospital, Cristiano banyak meluangkan masa untuk menjaganya. Sikap suaminya itu saling tidak tumpah seperti bapanya.
“Saya sangat kagum dengan sifatnya yang begitu mengambil berat tentang diri saya. Sewaktu dimasukkan ke hospital kerana jangkitan demam denggi, Cris selalu datang menjenguk saya. Caranya itu sama seperti cara abah saya menjaga saya ketika sedang sakit.
“Disebabkan itu saya percaya dia merupakan lelaki terbaik yang telah ditakdirkan untuk saya,” ulasnya yang tidak mahu terburu-buru menimang cahaya mata dalam masa terdekat ini.
Tiada bulan madu
Wanita bertubuh genit ini ternyata sibuk dengan tugas hariannya sebagai pengacara dan juga penyampai radio. Justeru, dia dan suami belum merancang untuk pergi berbulan madu.
Sambil ketawa, dia berkata: “Cuti tahunan saya telah habis kerana menjalani penggambaran Fear Factor Malaysia baru-baru ini. Bayangkan, sehari sebelum majlis pernikahan, saya masih lagi ke udara dan berada di pejabat sehingga lewat malam.
“Saya bernasib baik kerana abah dan adik-beradik yang lain begitu banyak membantu dalam merancang majlis ini. Mereka sangat faham tuntutan kerjaya saya yang tidak tentu masa ini,” ujarnya yang kembali bertugas sehari selepas majlis pernikahannya itu.
Ketika ditanya mengenai perancangan seterusnya, Azura berkata, dia akan mengadakan majlis resepsi pada pertengahan tahun ini kerana tidak ramai yang dapat menghadiri majlis pernikahannya.
“Saya mempunyai keluarga yang agak besar. Ramai antara mereka yang tidak dapat menghadiri majlis pernikahan saya.
“Salah seorang abang saya yang berada di Amerika Syarikat turut tidak berkesempatan untuk pulang atas sebab-sebab tertentu. Jadi, majlis yang akan diadakan itu nanti dapat memberi peluang kepada mereka untuk bertemu dengan saya dan suami,” ujarnya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: