Thursday, January 16, 2014

Kualiti gambar setanding profesional


KAMERA Casio EX-10 dilengkapi dengan keupayaan penghantaran foto melalui WiFi.


IMAGINASI untuk mengambil gambar setaraf jurugambar profesional tidak lagi menjadi impian semata-mata. Ditambah pula dengan harga kamera yang ditawarkan di pasaran jauh lebih berpatutan berbanding item canggih seorang pakar.
Melalui kamera kompak digital, Casio EX-10, penggemar fotografi pasti berpuas hati dengan mutu dan kualiti gambar yang dirakam.
Daya tarikan utama model ini adalah fungsi pendakap dwikombinasi yang melaraskan dua parameter gambar secara automatik. Ia turut merangkumi fokus, bukaan, kecerahan, imbangan putih, kontras dan ketepuan.
Dengan hanya sekali menekan butang pengatup, EX-10 mampu merakam sembilan imej berbeza. Setiap satunya diambil dengan gandingan nilai unik dua parameter rakaman seperti ruang pelarasan fokus dan saiz bukaan.
Ciri-ciri lain adalah binaan logam, skrin paparan hablur cecair (LCD) 3.5 inci (8.9 sentimeter) condong 180 darjah, penstabilan imej berasaskan sensor, keupayaan video definisi tinggi penuh dan sensor CMOS lampu belakang yang merakamkan imej 12 megapiksel dalam nisbah tiga aspek.
EX-10 juga dilengkapi kanta zoom dengan bukaan maksimum F1.8 (lebar) atau F2.5 (hujung telefoto), sensor CMOS prestasi tinggi dan enjin EXILIM terkini untuk mendapatkan tindak balas kelajuan tinggi.
Selang masa antara tangkapan gambar hanya 0.27 saat dan ia boleh dicapai untuk format RAW dan JPEG.
Kamera ini dilengkapi dengan keupayaan penghantaran foto melalui WiFi dan pengatup jarak jauh yang membolehkan pengguna mengendalikan kamera dan mengambil gambar dari jarak jauh. Penghantaran imej menggunakan sambungan WiFi juga lebih pantas ke telefon pintar.
Ciri-ciri tambahan lain termasuk electronic level untuk mengambil gambar yang seimbang dan mod autofokus yang membolehkan gambar objek yang sedang bergerak diambil dengan jelas.
EX-10 dibina dengan rekaan badan bergaya dan kemasan biru kehitaman yang menarik. Panel depan dan belakang diperbuat daripada aloi magnesium ringan yang kukuh, manakala panel atas diperbuat daripada aloi aluminium berkilat.
Badan magnesium diakui sebagai kemasan kualiti premium dalam rangkaian kamera kompak.
Diedarkan oleh Marco Heritage Sdn. Bhd. (Marco Heritage) sebagai pengedar tunggal kamera Casio di Malaysia, model terbaharu ini oleh didapati mulai pertengahan bulan ini pada harga RM2,699 seunit.


No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: