- Liza menemui kertas di dalam ayam goreng yang dimakannya di sebuah restoran makanan segera.
Dia yang hanya mahu dikenali dengan nama Liza berkata, kejadian berlaku ketika waktu makan tengah hari selepas memesan set ayam goreng.
Menurutnya, ketika makan, dia hairan kenapa ada rasa kenyal dan sedikit kental sedangkan sebelum ini ketika makan ayam yang sama tidak pernah rasa sedemikian.
“Kemudiannya saya cuba siat ayam itu dan lihat di bahagian tengah ayam memang ada kertas yang mana tertera beberapa perkataan seperti nota.
“Saya cuba lihat seketul lagi ayam yang lain dan saya terkejut kerana ia masih sama dan jelas memang ada kertas yang masih bertulis dan elok, kemudiannya saya memanggil pelanggan yang duduk bersebelahan dengan meja saya dan bertanya sama ada benarkah itu kertas dan pelanggan terbabit turut periksa ayam yang dimakannya,” katanya kepada Sinar Harian.
Tidak berpuas hati dengan kejadian itu, pelanggan berkenaan memanggil pengurus restoran berkenaan untuk melihat ayam goreng itu.
Liza berkata, mengecewakannya apabila pengurus terbabit kelihatan seperti acuh tidak acuh dan langsung tidak terkejut apabila diberitahu dia menjumpai kertas di dalam ayam goreng.
“Apabila kami cakap terjumpa kertas dalam ayam, ayat yang terkeluar dari mulut pengurus cuma, ‘oh yeke, kalau macam itu saya boleh minta maaf sajalah’, sedangkan dia langsung tidak melihat kertas dalam ayam berkenaan.
“Dah dia minta maaf takkan saya hendak marah-marah pula, kemudiannya pengurus berkenaan membuat tawaran kepada saya untuk menggantikan ayam goreng yang lain,” katanya.
Bukan ayam ganti yang dimahukan kakitangan swasta berusia 28 tahun itu, sebaliknya aspek kebersihan dilihat gagal bagi premis restoran makanan segera yang menjadi tumpuan orang ramai berkunjung itu.
“Saya mengandung dan paling merisaukan saya adakah kertas yang saya makan itu selamat atau tidak memandangkan dakwatnya masih berada pada kertas,” katanya.
Malah dia juga akan membuat aduan kepada Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP) berhubung kejadian berkenaan.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: