- Syura bersama keluarga tercinta.
Mana tidaknya, hampir lapan tahun menyepi dalam industri nyanyian, kemunculan Syura atau nama sebenarnya, Zuraidah Badron, 30, bukan lagi seperti satu ketika dahulu.
Tampil dengan imej Muslimah dan bertudung litup, ramai yang menyangka, penampilan itu semata-mata untuk mengaburi mata peminat.
Akui Syura, keterbukaan hatinya untuk bertudung bukanlah dalam tempoh setahun dua yang lalu, malah ia mula dipraktikkan sejak 2009 lagi.
"Sebenarnya saya mula mengenakan tudung dan menutup aurat sejak 2009, iaitu selepas melahirkan anak kedua.
"Ketika membeli-belah, saya memberitahu suami untuk membeli sehelai tudung untuk simpanan kerana saya tidak mempunyai koleksi tudung. Pada awalnya, saya hanya mencuba sahaja tanpa niat yang kukuh.
"Namun, sehari selepas itu, saya keluar tanpa bertudung. Namun, saya rasa seperti ada yang tak kena pada diri saya dan janggal. Sejak itulah, saya mula nekad untuk bertudung sehingga kini," katanya yang mengakui keputusan untuk berhijrah turut disokong keluarga terutamanya, suami tercinta, Mohd Fadhly Mohd Yassin, 32.
Tambah Syura, dia sendiri menyedari perubahan ketara ketika sebelum dan selepas membuat keputusan untuk berhijrah.
"Saya rasa diri ini lebih dihormati selepas berhijrah. Bukan sahaja lebih tenang, malah pergaulan juga turut terjaga.
"Sebelum ini, orang tidak meletakkan apa-apa batas kepada kita dan pergaulan juga lebih bebas dengan golongan bukan muhrim.
"Namun, saya bersyukur kerana pintu hati saya terbuka lebih awal dan ianya merupakan hidayah ALLAH SWT yang sungguh bermakna," katanya lagi.
Contohi Shila Amzah
Walaupun kini ramai selebriti yang membuat keputusan untuk berhijrah, namun ada dalam kalangan mereka masih gusar untuk berbuat demikian atas dasar populariti.
Akui Syura, soal populariti, ia bukanlah berlandaskan imej atau penampilan seseorang artis, apatah lagi apabila ia ditransformasikan ke arah kebaikan.
Katanya, seseorang artis itu tidak perlu risau soal populariti kerana setiap perubahan ke arah kebaikan tetap menjanjikan sesuatu yang lebih baik.
"Bagi saya, ia bukanlah masalah besar yang perlu difikirkan kerana rezeki adalah rahsia ALLAH SWT. Apa yang penting, pokok pangkalnya adalah hati.
"Saya mengambil, penyanyi, Shila Amzah, sebagai contoh terdekat. Walaupun dia bertudung, namun dia diterima oleh masyarakat di China malah, suaranya juga turut menjadi sebahagian dalam industri di negara itu. Malah, dia juga berjaya memikat hati rakyat China walaupun berbeza agama dan bertudung litup.
"Namun, dalam Islam tiada paksaan. Sekiranya hati kata tidak, mungkin seseorang itu memerlukan sedikit masa kerana jika kita lakukan tanpa niat dan tekad, ianya tidak akan kekal lama," kata penyanyi yang terkenal dengan lagu, Kasih Tak Terjamah, ini.
Lancar dua single
Kejayaan penyanyi ini di pentas MSM 2 sememangnya dijadikan batu loncatan untuk dia kembali dalam industri hiburan.
Malah, keputusan yang dibuat selepas berpindah ke ibu kota pada akhir 2012 adalah langkah permulaan Syura untuk kembali aktif.
Kini, Syura mampu tersenyum lebar apabila usaha perit jerih selama ini berbaloi apabila dua single terbaharunya, Gantung dan Ajari Aku Cinta, bakal menemui peminat tidak lama lagi.
"Alhamdulillah, saya baharu sahaja siap dalam proses rakaman lagu dan kini single itu berada di peringkat penyuntingan dan penghasilan muzik video.
"Mungkin, sedikit masa lagi, single ini akan dilancarkan. Saya mengharapkan yang terbaik untuk kemunculan pertama saya ini," katanya yang kini turut menerima jemputan nyanyian, demo masakan serta juri program memasak.
Jelas Syura, keputusan untuk ke ibu kota turut memaksa dirinya mengorbankan beberapa perkara penting termasuk, perniagaan pengurusan majlis perkahwinan, Bridal House di JB.
"Sebenarnya, saya yang minta suami mendapatkan kebenaran daripada Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) berpindah ke ibu kota kerana ingin bertukar angin setelah lapan tahun di Johor Bahru.
"Memang niat saya ke ibu kota adalah untuk buat come back dan perjalanan saya sangat mudah apabila berjaya dalam MSM 2 sekali gus kemenangan itu menjadi platform terbaik saya untuk menyanyi semula," katanya yang kini sedang melanjutkan pelajaran di peringkat diploma dalam bidang kulinari.
Walaupun muncul sebagai juara MSM 2, akui Syura, banyak perkara yang perlu dipelajarinya untuk menambahkan ilmu yang ada.
"Saya masih lagi memasak seperti dahulu dan sentiasa belajar dalam bidang ini. Anak-anak merupakan pendorong untuk saya teruskan semangat ini kerana hampir setiap hari, mereka akan minta saya buat kek.
"Mungkin dalam pilihan makanan utama, saya lebih yakin, namun saya sedar yang saya lemah dalam penyediaan pencuci mulut. Jadi, dengan cara itu, saya sentiasa cuba belajar sesuatu yang baharu," kata ibu kepada Nurul Dania Irdani, 7, Nurul Qaisara Sofea, 5, dan Muhammad Irfan Aryan, 2.
Utama keluarga
Bercerita mengenai sisipan peribadinya, akui Syura, walaupun penat bekerja, namun kualiti masa yang ada akan diutamakan untuk keluarga.
Walaupun terlibat dalam beberapa cabang kerjaya, namun ia bukanlah perkara baharu buat anak-anaknya yang kian membesar.
"Sebelum menceburi bidang seni, saya juga sentiasa sibuk dengan butik itu. Jadi, bebanan kerja masih sama dan anak-anak serta suami amat memahami.
"Cuma, kalau ada masa terluang, itulah saat saya bersama mereka. Saya akan melayan mereka seperti memasak bersama anak-anak, keluar bersiar-siar dan beberapa aktiviti lain," katanya.
Tambah Syura lagi, akibat kepadatan jadual kerjanya, dia tidak dapat menemani anak sulungnya, Nurul Dania Irdani, 7, yang baharu sahaja memasuki alam persekolahan.
"Saya lihat, Dania lebih mewarisi sifat saya di mana dia lebih berdikari dalam segala hal walaupun masih kecil. Namun, saya dimaklumkan guru, Dania tidak seperti kawan-kawan sekelasnya yang lain, malah dia lebih matang dan bersedia untuk belajar.
"Pada hari pertama persekolahan, saya tidak dapat menemaninya kerana terpaksa menghadiri majlis lain. Namun, saya tidak terlalu risau kerana suami saya juga mengajar di sekolah yang sama.
"Lagipun, sebelum ini, Dania juga turut mengikuti pembelajaran pra sekolah di sekolah itu. Jadi, hari pertama lagi dia sudah dapat ramai kawan," katanya sambil ketawa kecil.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: