Saturday, January 11, 2014

Honda sambut 2014 dengan NSS300


PENGENALAN skuter berkelas 300cc berjaya meletakkan Boon Siew Honda di hadapan pesaing-pesaing senegaranya di Malaysia.


BOON Siew Honda Sdn. Bhd. (Boon Siew Honda) membuka tirai 2014 dengan pengenalan model skuter NSS300. Ketibaan model itu menandakan kesinambungan usaha syarikat jenama Jepun itu untuk mempelbagaikan produk dalam segmen motosikal berbeza di Malaysia.
Model itu mengisi vakum rangkaian skuter Honda khasnya bagi pelanggan setia yang ingin menaik taraf jentera sedia ada kepada motosikal automatik kelas sederhana dan penunggang veteran.
NSS300 memperoleh kuasa daripada seunit enjin empat lejang SOHC berkapasiti 279cc dengan sistem sejukan cecair. Enjin itu berupaya menjana prestasi output 19kW pada 7,500rpm dan tork setinggi 26Nm pada 5,000rpm. Model itu menepati standard piawaian EURO 3.
Pelengkap kepada rangkaian kuasa skuter itu ialah sistem klac dan transmisi V-Matic yang menjayakan hantaran kuasa berprestasi ke roda belakang. Model itu membantu penunggang menikmati kadar pecutan yang lebih baik khususnya dalam kawasan bandar.
Seperti Honda PCX 150i sebelum ini, model NSS300 juga didatangkan dengan teknologi sistem penyampaian bahan api PGM-FI (Programmed -Fuel Injection) yang membantu menjimatkan penggunaan bahan api.
Boon Siew Honda mendakwa bekalan satu tangki minyak petrol berkapasiti 11.6 liter membolehkan penunggang mencapai jarak tunggangan sejauh 354 kilometer (km). Secara purata, satu liter menyamai jarak 30.8km.

INSTRUMEN meter membekalkan semua maklumat semasa tunggangan.


Untuk memastikan skuter itu menawarkan pengendalian terbaik, jurutera Honda telah mengaplikasi sistem Kejuruteraan Panduan Komputer (CAE) agar kerangka NSS300 mampu menanggung takat alah agar lebih responsif sewaktu tunggangan. Saiz fizikal binaan skuter berkenaan turut mengambil kira faktor kegunaan dalam bandar untuk membolehkan penunggang menikmati pengendalian mudah apabila mengharungi kesesakan lalu lintas pada waktu puncak.
Tugas mengawal kelajuan jentera atau memberhentikan NSS300 disandarkan kepada dua unit sistem brek cakera yang dipasang pada kedua-dua roda. Sistem brek itu juga didatangkan dengan teknologi CBS (Sistem Brek Gabungan) untuk meningkatkan keselamatan para penunggang.
HISS
Aspek kestabilan turut diperkukuhkan dengan memadankan fork teleskopik 35 milimeter pada bahagian hadapan manakala sistem penyerap hentak kembar dikenakan pada bahagian belakang.
Instrumen meter membekalkan semua maklumat semasa kepada para penunggang menerusi meter kelajuan, jam, meter dwiperjalanan, meter suhu, kadar penggunaan bahan api, jarak perjalanan dan lampu amaran baki bekalan bahan api.
Bagi memudahkan pemilik menyimpan topi keledar dan barangan, model itu didatangkan dengan satu suiz untuk membuka, menutup dan mengunci ruang simpanan yang berada di bawah pelana. Ruang simpanan itu cukup luas untuk menyimpan dua buah topi keledar jenis full face.
Kemudahan lain disediakan ialah dwipoket reraut untuk simpanan barangan kecil, seunit soket 12V untuk mengecas aksesori peribadi seperti telefon bimbit dan teknologi mencegah kecurian HISS (Honda Ignition Security System).
Harga jualan bagi Honda NSS300 ialah RM26,768 (versi Standard) dan RM28,288 (versi sistem ABS). Tempoh jaminan diberikan adalah selama dua tahun atau jarak perbatuan 20,000km (mana-mana tiba dulu). NSS300 didatangkan dengan tiga pilihan warna iaitu hitam, putih dan perak.


No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: