PRIHATIN dengan nasib sesetengah keluarga berpendapatan rendah, GCH Retail (Malaysia) Sdn. Bhd. (GCH Retail), pemilik rangkaian pasar raya besar Giant meluaskan bantuan program MyKasih dengan menawarkan peluang pekerjaan dan latihan kepada yang memerlukan.
MyKasih merupakan program kebajikan pengagihan bantuan tanpa tunai yang membolehkan penerima bantuan membeli barangan keperluan harian melalui MyKad mereka mengikut had nilai yang telah ditetapkan.
Menerusi penawaran tersebut, Giant memberikan ruang kepada orang ramai untuk bekerja di bawah syarikat gergasi ini untuk memperbaiki taraf hidup.
Menurut Pengurus Pemasarannya, Norine Erica Majaman, program tersebut dianjurkan bagi mendorong masyarakat Malaysia untuk menjadi lebih berdikari.
"Kami berharap peluang pekerjaan ini dapat membantu golongan berpendapatan rendah mengecapi kehidupan lebih baik tanpa perlu bergantung kepada sumbangan kebajikan," jelasnya.
Norine memberitahu, beberapa siri temu duga telah diadakan di tiga pasar raya besar Giant.
"Kami mengadakan sesi temu duga di Giant Puchong, Batu Caves dan Cheras. Kira-kira lapan orang pemohon MyKasih daripada jumlah keseluruhan 40 yang ditemu duga telah ditawarkan pekerjaan mengikut kemahiran masing-masing.
"Kesemua mereka telah mula bekerja dan ditempatkan di cawangan Giant yang terdekat dengan kediaman mereka," jelasnya.
Bagaimanapun, Norine berkata, permohonan lain masih dalam proses untuk pengagihan.
Bagi memudahkan pemohon, Giant turut menyediakan latihan kepada mereka yang berjaya dalam temu duga tersebut.
Sehingga kini, Giant menawarkan peluang pekerjaan sepenuh masa dan separuh masa untuk bahagian juruwang, pekerja di kedai roti, pengawal keselamatan, pegawai teknologi maklumat dan pembancuh air.
Mereka yang berjaya diberikan gaji bulanan antara RM900 sehingga RM2,500.
Selain itu, manfaat lain seperti Kumpulan Wang Simpanan Pekerja, Undang-undang dan Amalan Keselamatan Sosial dan kelayakan perubatan turut diberikan.
Pengerusi Yayasan MyKasih, Dr. Ngau Boon Keat, turut berterima kasih kepada pihak Giant atas keprihatinan yang diberikan kepada ahli MyKasih.
Dalam pada itu, Giant antara rakan niaga terawal yang menjalankan kerjasama bersama Yayasan MyKasih dengan memberikan bantuan makanan kepada golongan berpendapatan rendah.
Terdahulu, Giant turut menyumbangkan dana sebanyak RM500,000 kepada Yayasan MyKasih sebagai tanda sokongan membantu misi bantuan makanan dan pendidikan kepada mereka yang kurang bernasib baik.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: