|
DEK kerana minat yang mendalam dalam sukan menembak, Lans Koperal Diani Shazlizan Ahmad Rasdi, 29, sanggup menahan kesakitan di pergelangan tangannya ekoran luka terkena serpihan besi piring sasaran.
Dia yang merupakan anggota pasukan Batalion Khas 19, Polis Gerakan Am (PGA), tetap meneruskan tembakan ketika bersaing bersama pasukannya, Briged Tengah pada kejohanan Piala Ketua Polis Negara (KPN) 2013.
Pengorbanan tersebut ternyata berbaloi apabila pasukannya muncul juara dalam kejohanan tersebut yang berlangsung di Kota Tinggi, Johor, November lalu.
Itulah cebisan pengalaman dikongsikan oleh Diani dalam memikul tanggungjawab sebagai seorang penembak profesional dan pengiring tetamu kehormat.
Menurutnya, faktor jantina tidak menjadi penghalang untuk dirinya menggalas tanggungjawab sebagai penembak tepat.
“Di bangku sekolah menengah lagi saya telah menyertai persatuan kadet polis kerana minat terhadap tugasan dan latihan yang mencabar seperti aktiviti kawad kaki.
“Faktor jantina tidak pernah membataskan minat saya apatah lagi menjadi seorang yang dipertanggungjawabkan untuk menjaga keamanan negara,” katanya ketika ditemui di Padang Sasar Tembak, Cheras, Kuala Lumpur baru-baru ini.
Sebaik menamatkan persekolahan, dia telah mengikuti kursus asas polis selama enam bulan dan terus diserap ke cawangan Pusat Latihan Polis (Pulapol) Kuala Lumpur sebagai pelatih karate.
Bermula daripada bawah, akhirnya Daini telah ditugaskan di Batalion Khas 19 yang berperanan sebagai pengiring atau kawalan VVIP pada 2008.
Sejak itu, dia telah menyertai tiga kejohanan anjuran KPN yang diadakan setiap dua tahun sekali.
Wanita kelahiran Pekan, Pahang itu menjalani latihan menembak seminggu sekali iaitu dari pagi hingga tengah hari. Dia berharap menjadi seorang penembak profesional sekali gus mewakili Malaysia di Sukan SEA kelak.
Mengasah bakat
Rakan sepasukannya ketika menyertai KPN 13, Lans Koperal Siti Noraida Suria Baharudin, 29, mula mengasah bakat menjadi pembidik sejak berusia belasan tahun sebagai salah satu aktiviti kokurikulum di sekolah.
Siti Noraida kini bertugas dalam unit PGA selama 14 tahun dan berkhidmat di Batalion Khas 19 yang berpangkalan di Cheras, Kuala Lumpur.
Menurutnya, sebagai seorang penembak, kejayaan menembak tepat pada sasaran memberi satu kepuasan.
“Saya telah mewakili Batalion Khas 19 pada kejohanan KPN sebanyak dua kali dan berjaya mendapat tempat ketiga pada kejohanan KPN 2008 dalam kategori Senjata Walther P999.
“Tahun lalu, saya dan rakan-rakan berjaya meraih tempat pertama dengan 99 mata untuk kategori Senjata HKM P5.
Menyentuh soal keselamatan dirinya semasa mengendalikan senjata tersebut, Siti Noraida yang sedang mengandung anak kedua memberitahu, dia sentiasa mempraktikkan langkah-langkah pencegahan kecederaan yang diajar dalam latihan.
Antara langkah persediaan awal yang dilakukannya termasuklah, memakai kasut tutup penuh, baju berlengan panjang, menggunakan penutup telinga dan gogal.
“Selain itu, cara pengendalian senjata juga amat penting semasa menembak. Sebagai contoh, senjata harus dipegang kemas dengan kedudukan jari telunjuk berada di sisi gelangsar pistol untuk mengelakkan tertekan picu.
“Semasa menembak, nafas perlu ditahan supaya tangan tidak terikut dengan pergerakan turun naik dada. Kaki juga perlu dibuka sedikit bagi memberi kestabilan badan untuk menahan lantunan tembakan dan lebih fokus,” jelasnya.
Tambahnya, dia mengambil tempoh selama dua tahun untuk menjadi penembak profesional dan menjalani latihan ketat enam jam setiap hari selama sebulan sebagai persiapan sebelum kejohanan.
Latihan turut dipraktikkan oleh anak kelahiran Pontian Johor, Lans Koperal Nor Hafizah Rosli, 27.
Kesukaran
Dia yang mengikuti kursus asas latihan polis di Pulapol Ayer Hitam, Negeri Sembilan mengakui mengalami kesukaran menembak pada peringkat awal.
“Pengalaman pertama kali menembak sememangnya mendebarkan dengan bunyi tembakan berdesing di gegendang telinga dan lantunan keras pistol.
“Tangan berasa lenguh beberapa hari kerana sewaktu menembak saya lebih selesa meluruskan kedua-dua belah tangan,” katanya yang sentiasa melakukan senaman tekan tubi sebelum memulakan latihan menembak.
Nor Hafizah memberitahu, latihan tersebut diiringi oleh pengawal lapang sasar yang memberikan arahan untuk menembak.
“Saya harus menunggu arahan daripada pegawai lapang sasar sebelum menembak dan kira-kira 10 orang akan berlatih dalam satu sesi yang sama.
“Masa latihan bergantung kepada keupayaan penembak. Kebiasaannya saya akan menjalani tiga sesi tembakan dengan setiap satu mempunyai 10 butir peluru,” jelasnya yang mempunyai jiwa patriotik tinggi dalam menjaga kesejahteraan negara.
Berkongsi tentang jenis-jenis senjata digunakan untuk menembak, Koperal Nor Azila Abd. Latip, 39, dari Bridget Tengah berkata, antara jenis-jenis senjata tersebut ialah Walther P99, Yavuz, .38, HK MP5, M-16 dan Berreta.
|
“Namun, bagi saya senjata api yang sukar dikendalikan ialah pistol jenis Walther P99 buatan Jerman kerana ia lebih ringan dan memerlukan ramasan lebih kuat.
“Saya lebih selesa mengendalikan pistol jenis Yavuz kerana senjata api ini lebih berat dan tembakan dapat disasarkan dengan tepat,” katanya
Dalam pada itu, ibu kepada empat orang anak itu turut mengakui menjadi penembak tepat wanita bukanlah perkara yang mudah.
“Profesion ini amat berat, terutama untuk kaum wanita kerana ia memerlukan komitmen tinggi, selain menggalas tanggungjawab sebagai ibu dan isteri di rumah,” jelasnya.
Dia yang telah berkhidmat selama 17 tahun dalam unit beruniform turut menjelaskan, menembak menuntut kemahiran ramasan senjata, seni membidik, pemfokusan dan keyakinan yang tinggi.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: