|
SEJAK kegagalan dalam perkahwinannya yang pertama, diam tak diam sudah lebih tiga tahun personaliti terkenal tanah air, Maya Karin berstatus solo.
Setelah digosipkan dengan beberapa artis lelaki ternama, aktres yang genap berusia 34 tahun itu tetap keras menafikan bahawa tiada sebarang hubungan istimewa yang terjalin antara dia dengan mana-mana artis tempatan.
Bagaimanapun, pelakon filem Ombak Rindu itu memberitahu yang dia sedang bercinta dengan seseorang.
"Gosip yang diperkatakan itu benar, saya sedang bercinta dengan seseorang.
"Bukan saya tidak mahu berkongsi dengan peminat, tetapi buat masa ini saya tidak dapat memberitahu dengan siapa saya bercinta," ujar aktres berdarah kacukan itu lagi ketika ditemui pada majlis pelancaran Peraduan Fuelled By Fans, Powered By Petronas anjuran Petronas Dagangan Bhd. di Hotel Westin, Kuala Lumpur baru-baru ini.
Katanya lagi, keinginan untuk berkahwin itu sentiasa ada namun tiada tahun yang spesifik kerana semua itu ketentuan Tuhan dan manusia hanya mampu merancang.
Selain itu, ada sesetengah pihak yang beranggapan Maya akan menolak mentah-mentah sebarang percubaan lelaki Malaysia untuk menjalinkan hubungan yang serius dengannya.
Ketika ditanya mengenai hal tersebut, Maya tanpa ragu menafikan dakwaan itu.
Ini kerana dia sendiri tidak kisah jika ditakdirkan mempunyai jodoh dengan lelaki tempatan.
"Saya jenis tidak memilih tetapi saya mempunyai ciri-ciri lelaki idaman tersendiri seperti wanita yang lain.
"Namun ciri-ciri tersebut tidak mempunyai bangsa yang khusus serta saya juga tidak mengambil kira warganegara sesorang itu sebelum menjalinkan hubungan kerana saya seorang yang terbuka," tambah aktres jelita tersebut.
Katanya lagi, tiada kekurangan pada lelaki Melayu kerana semua orang tanpa mengira bangsa mempunyai kelemahan masing-masing.
"Saya bukan jenis yang akan kategorikan seseorang itu dalam golongan tertentu kerana semua terserah pada cita rasa individu itu sendiri," jawab penyanyi yang terkenal dengan lagu Erti Cinta itu lagi.
|
Muzikal
Berbalik kepada perkembangan terkininya, Maya bercerita dia sedang giat menjalani latihan persediaan sebelum berlangsungnya teater yang dinanti-nantikan oleh peminat lakonan pementasan yang berjudul, SuperMokh yang bakal dipentaskan pada bulan hadapan.
Bakal membawa watak isteri pemain bola sepak legenda negara, Datuk Mokhtar Dahari iaitu Datin Tengku Zarina Tengku Ibrahim, Maya nyata teruja dengan pementasan tersebut.
"Saya ada melakukan ulang kaji sedikit sebanyak untuk watak Datin Tengku Zarina Tengku Ibrahim, isteri kepada pemain bola sepak legenda negara, Datuk Mokhtar Dahari.
"Saya ada membaca kisah pasangan itu di internet selain sempat bertemu empat mata bersama Tengku Zarina dalam tempoh beberapa jam dan kami sempat berbual panjang mengenai cerita yang boleh dikongsi dan informasi tentang perkahwinan beliau dahulu," jelasnya yang akan berganding dengan Awie yang membawa watak SuperMokh.
Maya turut memberitahu Tengku Zarina merupakan seorang wanita yang cukup tabah dan dia juga mempunyai hubungan cukup romantis dengan bekas pemain bola sepak Selangor itu.
"Peluang untuk menjadi sebahagian daripada produksi muzikal sesuatu yang sukar untuk ditolak kerana kali terakhir saya membuat muzikal adalah pada zaman remaja berbelas tahun lepas.
"Tambah pula teater ini diarahkan oleh Hans Isaac yang memang kita mengerti dia seorang pengarah yang cukup arif dan kebiasaannya pementasan teater di bawah kelolaan dia akan menjadi spektakular," ucap Maya yang turut menyukai kisah kehidupan Mokhtar Dahari kerana generasi muda sekarang semakin melupakan legenda negara itu.
Pelakon yang terkenal dengan watak Johanna dalam filem Anak Halal itu turut menjelaskan dia tidak dapat meniru secara terperinci perwatakan Tengku Zarina kerana produksi Hans Isaac ini bukan untuk layar lebar.
"Perbualan kami berjalan dengan sangat santai dan saya akan mengikut sedikit perwatakan dia kerana ini merupakan muzikal teater dari sebuah produksi yang besar," tambah Maya yang juga merupakan bekas pengacara rancangan Nona.
Penyanyi yang bakal mengeluarkan album terbaharu itu turut menolak dakwaan sesetengah pihak yang mendakwa dia tidak mahu berlakon dalam produksi drama bersiri.
"Saya menerima pelbagai tawaran kerja tanpa mendatangkan masalah. Namun, untuk berlakon dalam produksi drama bersiri yang memakan masa tiga hingga empat bulan lamanya akan membuatkan saya terikat dan tidak dapat menerima projek lain dalam tempoh tersebut," tambah Maya yang hanya pernah muncul dalam drama bersiri Waris Jari Hantu beberapa tahun lepas.
|
Sementara itu, bercakap tentang kariernya sebagai penyanyi, pemilik album Bukan Qalamaya itu telah melancarkan single terbaharunya yang berjudul Bintang Syurga memberitahu, perancangan untuk mempromosikan single tersebut sudah dibuat sementara menanti kelahiran album baharu.
"Lagu itu telah diputarkan di corong-corong radio, tetapi pihak syarikat rakaman dan saya sedar yang kami perlu berusaha lebih keras untuk membuat lagu itu lebih mendapat perhatian peminat," ujarnya lagi.
Ketika ditanya tentang isu kontrak selebriti bersama syarikat rakaman mahupun produksi, Maya tegas mengatakan bahawa penulis kontrak berhak menulis terma dan syarat yang dimahukan.
"Sebarang keputusan terserah kepada mereka (selebriti) untuk menerima atau menolak terma dan syarat yang terkandung di dalam kontrak tersebut sebelum mereka menandatangani sesuatu perjanjian.
"Mereka juga perlu peka secara terperinci dengan isi kandungan tawaran kontrak tersebut dan bila keputusan sudah dibuat, mereka tidak boleh mengeluh kerana persetujuan melibatkan kedua-dua belah pihak," katanya yang sangat berhati-hati sebelum menandatangani kontrak dengan pihak produksi mahupun rakaman.
Melancong
Satu perkara yang memang diketahui umum, Maya merupakan antara artis yang terkenal dengan hobi bercuti secara backpacking.
Ketika disoal mengenai dengan siapa selalu dia bercuti, sambil tersenyum dia menjawab, kebiasaannya Maya akan keluar bercuti bersama ahli keluarga secara bergilir.
"Mungkin sebelum ini saya pergi bersama ayah, kemudian bersama ibu, dan seterusnya bersama adik-adik saya," jawabnya lagi yang merancang untuk bercuti ke negara Latin seperti Mexico dan Sepanyol selepas ini.