Friday, August 16, 2013

Variasi Aiman, Tasha, Amar




SEGAK berbaju Melayu dan kebaya semasa sesi fotografi di Hotel Istana, Kuala Lumpur baru-baru ini, tiga pelakon muda, Aiman Hakim Redza, Tasha Shilla dan Amar Asyraf begitu teruja untuk menyambut Hari Raya Aidilfitri tahun ini.
Sebagai duta Anugerah Syawal saluran TV3 tahun ini, agak mudah mempertemukan ketiga-tiga pelakon ini dalam satu sesi.
Walaupun sibuk menguruskan karier, persiapan hari raya tidak pernah dilupakan. Tambahan pula, akui mereka, hari raya ialah hari untuk meluangkan masa bersama keluarga.
Jadi, masing-masing punya ceritera berbeza tentang cara dan pengalaman menyambut Aidilfitri.
Aiman beraya di luar negara
Bagi pelakon tinggi lampai, Aiman Hakim Redza, hari rayanya tahun ini agak berlainan.
Ini kerana dia dan keluarga menyambut hari raya di United Kingdom (UK).
"Raya kali ini kami sekeluarga berada di UK kerana adik dan kakak saya ada di sana. Kebetulan pula adik saya menghadiri konvokesyen, kakak juga belajar di sana.
"Kami ke sana selama tiga minggu untuk meluangkan masa bersama," ujar Aiman yang berangkat ke negara itu pada hari raya pertama.
Tasha cuti empat hari
Bagi pelakon cantik, Tasha Shilla atau nama sebenarnya, Natasha Sheila Abd Razak, raya tahun ini tiada bezanya berbanding sambutan pada tahun-tahun terdahulu.
Oleh kerana komitmen terhadap kerja, Tasha hanya mengambil cuti raya selama empat hari.
"Saya ambil cuti raya empat sahaja. Seperti biasa, persediaan kami tidaklah terlalu meriah.
"Kami memang dari dahulu tidak pernah ada tema warna untuk raya. Masing-masing diberi kebebasan untuk mengikut cita rasa sendiri.
"Keluarga saya bukan jenis yang terlalu mengikut ritual sebegitu kerana kami sibuk dengan kerja, jadi kami hanya membuat persiapan untuk diri sendiri.
DARI kiri: AMAR, Tasha dan Aiman mempunyai cerita raya masing-masing yang menarik untuk dikongsi bersama peminat.


"Kami banyak guna masa cuti untuk berehat kerana sudah penat bekerja sepanjang Ramadan," tutur Tasha yang gemarkan lemang, rendang, kuih tart dan lodeh sebagai juadah hari raya.
Ujarnya lagi, cuti raya empat hari itu digunakan untuk pulang ke kampung di Ulu Yam dan Kulai, Johor.
Amar teruja sambut raya
Lain pula keterujaan Amar yang kali ini merupakan tahun pertama dia menyambut raya sebagai seorang suami. Ceritanya, selain teruja dia juga agak gementar kerana bakal melalui pengalaman berbeza.
"Dulu, bujang lain keadaannya, semua boleh dilakukan pada minit terakhir. Tahun ini saya perlu memilih kuih raya, buat rumah terbuka, tukar langsir dan kemas rumah yang semua itu merupakan perkara baharu untuk saya," katanya.
Tahun ini Amar pulang ke rumahnya di Masjid Tanah, Melaka dahulu.
Selepas itu, barulah Amar pulang ke rumah keluarga isterinya di Bidor, Perak pada raya kedua.
"Saya mengambil cuti raya selama dua atau tiga minggu," jelasnya yang akan pergi berbulan madu selama seminggu bersama isteri.
Selain komitmen kerja yang perlu dilakukan selepas cuti raya, tutur Amar, dia juga merancang untuk melanjutkan pelajaran dalam jurusan Pengurusan Seni di Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara) di Kuala Lumpur.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: