Friday, August 16, 2013

Raya sederhana Fizza


FIZZA lega kerana tahun ini dia dapat menghabiskan masa bersama keluarga sepanjang Ramadan lalu.


KALI pertama bersua dengan pemilik nama Siti Hasfizza Aswaty Sab Jahan pada sesi fotografi bersama Kosmo! di Hotel Istana, Kuala Lumpur baru-baru ini, boleh dirumuskan wanita ini seorang yang pemurah dengan senyuman. Ini kerana sepanjang penggambaran itu bibirnya sentiasa menguntum senyuman.
Siti Hasfizza Aswaty atau lebih mesra disapa sebagai Fizza bukan figura asing bagi media hiburan tempatan. Sudah enam tahun dia menjadi pengacara program Wanita Hari Ini.
Walaupun telah lama menceburi bidang kewartawanan, persiapan hari raya Fizza dibuat secara sederhana sahaja.
Sungguhpun mengendalikan dua program iaitu Wanita Hari Ini dan Singgah Sahur, cerita Fizza, raya tahun ini sedikit berbeza.
“Persiapan dibuat secara sederhana, namun Ramadan lalu agak berlainan. Ini kerana saya punya masa lapang dan berpeluang menunaikan solat tarawih bersama keluarga.
“Jika tahun lepas saya sibuk hingga tiada masa untuk buat perkara lain, tahun ini saya dapat menguruskan masa dengan lebih baik. Apa yang menggembirakan, saya dapat berbuka bersama keluarga beberapa kali.
“Saat itu sangat berharga memandangkan jadual saya yang sentiasa padat,” cerita anak keempat daripada lima adik-beradik ini.
Berbicara mengenai raya pula, kata Fizza, tahun ini dia mengambil cuti raya selama seminggu dan seperti biasa, dia pulang ke Klang, Selangor.
Fizza juga bercuti awal. Kebiasaannya sehari sebelum raya, keluarga dan sanak saudara berkumpul di rumah keluarga Fizza.
“Setiap tahun sehari sebelum raya, mak cik-mak cik saya akan pulang ke Klang untuk bergotong-royong memasak di rumah.
“Ini kerana nenek juga tinggal di rumah saya, jadi ia menjadi seperti pangkalan untuk mereka berkumpul,” kata Fizza.
Antara juadah yang sering disajikan pada hari raya ialah rendang daging cili padi dan sambal goreng jawa yang disediakan oleh ibu Fizza.
Apa yang menarik, cerita personaliti TV ini, pada sebelah petang raya pertama, ibunya akan sediakan lauk lain untuk keluarga sebelah nenek.
“Nenek saya berketurunan Cina dan masih mempunyai ahli keluarga Cina. Selalunya, pada sebelah petang atau malam raya pertama, mereka akan beraya di rumah.
“Jadi, ibu akan sediakan makanan lain untuk mereka seperti nasi goreng.
“Biasanya pada hari raya pertama saya pakai baju yang simple kerana sejak dari dahulu lagi ‘kontrak’ basuh pinggan memang kerja saya,” tutur Fizza yang sangat menggemari rendang masakan ibunya.
Nasihat Fizza, persediaan hari raya tidak semestinya perlu terlalu meriah. Bagi seorang yang sibuk dengan kerjaya seperti dirinya, cuti raya merupakan hari untuk bersama keluarga.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: