Sunday, August 11, 2013

Songket tenunan tangan siap sebulan





APABILA bercakap mengenai songket, pasti kita akan membayangkan negeri-negeri di Pantai Timur seperti Kelantan, Terengganu dan Pahang.
Negeri-negeri itu memang terkenal dengan pembuatan songket dalam kalangan penduduk tempatan mahupun pelancong asing sejak sekian lama.
Namun, Mahkota Songket iaitu anak syarikat Lunas Atur Sdn. Bhd. membawa kelainan apabila menghasilkan kain songket yang dibuat sepenuhnya di Selangor.
Menurut pengurusnya, Leena Hassan, 33, idea menghasilkan sendiri tenunan songket ini bermula apabila bapanya, Hassan Mohd. Jamil, 66, menerima tempahan untuk membuat kain samping daripada songket untuk kakitangan tentera.
"Pada mulanya ayah saya hanya menjalankan perniagaan menjual aksesori untuk kakitangan tentera pada tahun 1993 dan melebarkan cabang perniagaannya kepada songket selepas menerima tempahan dengan mengupah pekerja-pekerja yang mahir untuk membuatnya.
"Melihatkan permintaan yang semakin memberangsangkan, kami bertindak membeli mesin tenunan songket sendiri termasuklah yang tradisional dengan dibantu oleh kakitangan lulusan Institut Kraf Negara," ujarnya yang mempunyai bangunan sendiri dikenali Latur setinggi empat tingkat di Alam Avenue, Shah Alam.
Tambahnya, harga bagi songket tenunan tangan ditentukan melalui penggunaan jenis benang dan rekaan eksklusif yang mampu mencecah harga ribuan ringgit.
"Rekaan eksklusif songket buatan tangan selalunya sering menjadi pilihan ahli-ahli perniagaan kerana satu rekaan sahaja yang dihasilkan dengan menggabungkan corak moden dan tradisional.
LEENA turut menghasilkan bermacam-macam produk songket yang lain seperti kotak hadiah, hamper, beg, selendang meja dan alas kusyen.


Gabung idea
"Penggunaan warna yang betul mampu menaikkan seri songket itu. Warna dan benang yang bersesuaian perlu dicuba terlebih dahulu sebelum mula menenunnya. Ini bagi memudahkan kami bermain dengan benang serta warna yang menarik. Ia tidak sama sekiranya kita hanya menghasilkan warna dengan menggunakan komputer.
"Pada peringkat awal dahulu, kami memilih warna berdasarkan logik sendiri tetapi ia tidak menjadi kerana warna dan pemilihan benang yang sesuai untuk songket memainkan peranan yang penting.
"Kami membuat rekaan sendiri hasil garapan idea bersama tiga orang kakitangan yang mahir dalam bidang pembuatan songket.
"Selalunya, kami akan menggabungkan idea rekaan yang diketengahkan oleh pekerja bagi menjaga kualiti dan tahap eksklusif songket itu," jelasnya sambil memberitahu, proses penghasilan songket tenunan tangan mengambil masa selama sebulan untuk disiapkan.
Leena berkata, cabaran untuk mengendalikan perniagaan songket itu adalah memperoleh kepercayaan pelanggan kerana ramai orang yang tidak menyangka songket keluaran syarikatnya itu dihasilkan di Shah Alam.
"Mentaliti masyarakat sudah sinonim dengan songket yang terkenal di negeri-negeri Pantai Timur dan itu menjadi cabaran kepada kami untuk memperoleh kepercayaan mereka. Tetapi, apabila melihat kualiti songket kami, alhamdulillah pelanggan menyukainya.
"Sebenarnya, membuat kain songket tidaklah serumit mana tetapi ia tidak boleh disiapkan dalam keadaan tergesa-gesa kerana hasilnya akan menjadi kurang menarik. Seseorang yang menghasilkannya juga tidak boleh berada dalam keadaan tertekan kerana ia memberi kesan ke atas kualiti produk yang dihasilkan.
"Saya sendiri pernah cuba untuk membuatnya tetapi hasilnya tidak begitu menarik dan kurang kemas. Justeru, saya hanya menyerahkan proses pembuatannya kepada mereka yang lebih mahir," ujarnya yang dibantu oleh suaminya, Mohamad Firdaus Mohd. Ramzi, 33.

SERAMAI tiga orang pekerja lulusan Institut Kraf Negara membantu Leena (dua dari kanan) untuk menghasilkan songket tenunan tangan.


Warna pudar
Katanya, lingkungan harga untuk songket keluaran syarikatnya bermula dari RM70 hingga RM8,000 bergantung pada rekaan dan jenis benang yang digunakan.
"Kami terpaksa bersaing dengan songket dari Pakistan dan India yang mempunyai harga yang jauh lebih murah tetapi berkualiti sehinggakan ada yang berharga hanya RM20. Namun, kebanyakan individu tidak mengetahui jenis songket yang mereka beli.
"Songket boleh diketahui berasal dari negara mana berdasarkan penggunaan benang kerana benang dari negara asing lebih leper dan ia berbeza dengan benang yang dikeluarkan di negara kita yang berbentuk bulat," katanya yang pernah menghasilkan songket untuk Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.
Jelas Leena, songket tidak boleh dibasuh, dilipat dan dijemur di bawah sinaran matahari kerana tindakan itu boleh menyebabkan warnanya pudar.
"Saya pernah dimarahi oleh pelanggan kononnya kain songket yang dibeli pada harga ribuan ringgit daripada kami tidak berkualiti kerana warnanya cepat pudar. Sebenarnya produk yang paling berkualiti pun jika terdedah terlalu lama pada cahaya matahari tidak akan tahan lama khususnya dari segi warna.
"Selain kain songket, kami juga ada menampilkan produk songket yang lain seperti kotak hadiah, kotak hamper, beg, selendang meja dan kusyen dengan lingkungan harga bermula dari RM7 hingga RM200.
"Sebagai perancangan, kami ingin jenama Mahkota Songket dikenali ramai dan berdiri megah setanding dengan jenama songket keluaran syarikat lain," ujarnya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: