Sunday, August 11, 2013

Juruterbang wanita pertama Afghanistan


Niloofar Rhmani memenuhi cita-cita dan hasrat bapanya yang mahu dia menjadi juruterbang.

NILOOFAR memecah tradisi dengan menjadi juruterbang wanita pertama Afghanistan.


PADA 14 Mei lalu, Leftenan Niloofar Rhmani, 21, melakar sejarah apabila dia menjadi wanita pertama Afghanistan yang berjaya menamatkan latihan juruterbang.
Dia yang berasal dari Kabul itu merupakan salah seorang daripada lima graduan yang akan meneruskan ke tahap seterusnya untuk mengendalikan pesawat Cessna 208.
"Saya amat bangga kerana berjaya melakukannya. Saya juga sangat gembira kerana menjadi wanita pertama yang berjaya melakukannya. Saya terpaksa bekerja keras tetapi saya mahu membuktikan kepada wanita di negara ini bahawa kita boleh melakukannya," katanya.
Dia lulus kursus itu di Pangkalan Tentera Udara Shindand di wilayah Herat.
Dia diajar oleh pengajar daripada Tentera Udara Amerika Syarikat (AS).
Niloofar berkata, membesar di Afghanistan sebagai seorang wanita dan mempunyai impian untuk menjadi seorang juruterbang perlu berhadapan dengan banyak cabaran.
Namun, katanya, pengorbanannya itu sangat berbaloi.
"Untuk menjadi yang pertama dalam apa jua perkara memang mencabar," ungkapnya.
Wanita itu memberitahu, apa yang dapat diingatinya adalah dia teruja dengan langit dan menyedari bahawa juruterbang merupakan kerjaya yang diidam-idamkannya.
"Bapa mahu saya menjadi juruterbang. Ia merupakan cita-citanya. Tetapi, 40 tahun lalu, dia tidak dapat melakukannya (menjadi juruterbang). Saya mahu memenuhi impiannya itu dengan menjadi seorang juruterbang," katanya.

NILOOFAR menjadi antara lima graduan yang berjaya menamatkan latihan.


Permulaan hidup
Kata Niloofar, keluarganya turut menjadi pendorong dalam usahanya untuk menggapai cita-cita itu.
"Mereka sentiasa percaya dan menyokong saya. Saya tidak dapat melakukannya (menjadi juruterbang) tanpa keluarga dan tenaga pengajar," tambahnya.
Antara syarat untuk layak menjadi juruterbang adalah mengikuti kursus bahasa Inggeris sebagai bahasa kedua.
Kursus itu melibatkan tempoh antara enam bulan hingga satu tahun setengah.
Setelah mengikuti kursus itu, seseorang calon dikehendaki mengikuti program yang mengandungi tiga fasa yang berakhir dalam tempoh setahun.
Walaupun Niloofar dan rakan-rakannya mengambil masa untuk menjadi juruterbang, dia memahami bahawa ia hanya permulaan dalam kehidupan yang panjang dan mencabar.
"Ia akan menjadi sukar, tetapi saya tidak takut," katanya
"Ia aman di atas sana (udara). Saya hanya menumpukan perhatian semasa mengendalikan kapal terbang. Matlamat saya kini adalah untuk membantu negara saya mempunyai masa depan yang baik dan mempertahankan hak wanita.
"Saya sudah memecahkan tradisi untuk kaum wanita di negara saya," katanya kepada pemberita baru-baru.
Kejayaan wanita itu turut mendapat liputan meluas media di negaranya.
Pada 18 Julai lalu, dia ditemani seorang pegawai tentera udara AS, Kapten Aaron Marx mengendalikan sebuah pesawat yang berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kabul ke Kandahar.
Pesawat itu membawa beberapa pegawai Kementerian Pertahanan Afghanistan.
Dia kini bertugas sebagai juruterbang di Pangkalan Udara Kabul dengan berkhidmat untuk Batalion C208 dan C27.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: