• Siapa penyambung legasi 3R? Siapa penyambung legasi 3R?
3R (Respek, Relaks, Respon), sebuah program TV yang membincangkan isu-isu berkaitan kaum wanita khususnya golongan remaja secara terbuka dan tanpa berselindung kembali bertemu penonton TV3 dengan musim ke-15 pada tahun ini.

Selepas berehat selama 3 tahun, 3R Media dengan kerjasama TV3 bakal memperkenalkan barisan hos baru untuk musim baru menerusi ‘Projek 3R’.

Program realiti 7 episod yang memaparkan persaingan 12 finalis untuk bergelar trio hos 3R baru bakal menemui penonton TV3 bermula 24 Ogos, setiap hari Sabtu jam 6 petang.

Padat dengan mesej positif dan progresif untuk wanita alaf baru, 3R menyasarkan calon-calon wanita muda yang berumur antara 21 hingga 26 tahun sebagai trio hos baru yang akan meneruskan legasi Azah Yasmin Yusof (Azah), Rafidah Abdullah (Rafidah), Low Ngai Yuen (Yuen), Kartini Ariffin (Tini) dan Celina Khor (Celina).

Seramai 1000 peserta telah hadir ke sesi uji bakat yang berlangsung selama 6 minggu pada bulan Mei dan Jun 2013 di sekitar negara, namun hanya 12 finalis yang terpilih untuk menyertai program ‘Projek 3R’. Lebih menarik, Azah, Rafidah, Yuen, Tini dan Celina juga bertindak sebagai mentor mereka dalam membimbing dan berkongsi pengalaman.

12 finalis Projek 3R terdiri daripada Jasmine (Jasmine Suraya Chin Xian Mei, 23, Selangor), Dayah (Nur Hidayah Abu Bakar, 24, Kuala Lumpur), Puteri (Puteri Zulaiqha Mohd Arif, 23, Kuala Lumpur), Amirah (Siti Nor Amirah Mohamad Azmi, 22, Putrajaya), Nora (Nora Shikeen Abdul Rahim, 21, Kuala Lumpur),

Zetty (Zetty Nabila Muhamad Ghazali, 22, Kuala Lumpur), Yvonne (Lee Yvonne, 24, Selangor), Fiona (Fiona Cheong, 22, Selangor), Tamila (Tamilarasi, A/P Manium, 21, Perak), Sara Z (Sara Nadzirah Zulkifli, 22, Selangor), Sarah Lois (Sarah Lois Dorai, 21, Sarawak) dan Zeek (Haziqah Azemi, 21, Kuala Lumpur).

Kesemua finalis Projek 3R diberikan beberapa sesi latihan dan bengkel oleh pihak produksi untuk mengasah kemahiran dan menambah ilmu  mereka tentang kualiti yang diperlukan untuk bergelar hos 3R.

Selain kemahiran berkomunikasi, mereka juga perlu bersedia dari segi mental dan fizikal untuk menyahut apa saja cabaran yang diberikan. Kreativiti dan kerjasama juga merupakan kunci kejayaan bagi mereka untuk membuktikan kemampuan dan kredibiliti sebagai hos 3R.

Dicetuskan oleh Datin Paduka Marina Mahathir dan Lina Tan, 3R sering membincangkan isu-isu yang berkait rapat dengan remaja dan wanita muda secara terbuka dan tanpa selindung yang mencabar piawaian penapisan TV di Malaysia.

Layari laman sesawang rasmi, www.3r.com.my dan www.tv3.com.my serta ikuti perkembangan terkini daripada 3R dan TV3 menerusi Facebook di bawah akaun nama 3R Malaysia dan TV3Malaysia.