• Black-Chira Black-Chira
AKHIRNYA, juara Mentor musim ketiga, Black Hanifah atau Hanifah Md Hanafiah, 26, mengumumkan tarikh pernikahannya dengan gadis pilihan, Naquira Yasira Mohd Khairi, 28, atau Chira.

Memilih 13 September ini, majlis pernikahan pasangan ini akan berlangsung di Zebra Square, Jalan Kampung Pandan, Kuala Lumpur.

“Sejak dari dulu lagi, saya telah berniat untuk melangsungkan majlis pernikahan pada hari Jumaat untuk mendapat keberkatan.

"Manakala bagi majlis resepsi pula akan diadakan keesokan harinya dan kedua majlis ini diadakan di tempat yang sama," katanya dalam satu sidang media khas semalam.

Majlis sidang media itu turut dihadiri kedua ibu bapanya, Hanafiah Che Din dan Muslamah Othman serta Ketua Jabatan Pengurusan 8 Unit, Jacynta Au Yong.

Sementara itu, majlis resepsi pihak lelaki pula akan berlangsung pada 15 September (Ahad) di Padang PPR Kerinchi, Pantai Dalam.

"Saya tidak mengehadkan jumlah tetamu kerana ia terbuka kepada semua orang.

"Bagi saya ia merupakan hari bahagia dan tidak menghalang sesiapa sahaja untuk menghadiri majlis ini," katanya yang berhasrat membawa bakal isteri dan kedua ibu bapanya untuk menunaikan umrah selepas tamat majlis perkahwinan tersebut.


Anak saudara Umie Aida

Jika sebelum ini dia enggan mendedahkan identiti bakal isterinya itu, kini Black bersikap terbuka memandangkan perkahwinan mereka akan berlangsung tidak lama lagi.

"Kami hanya berkenalan dalam tempoh yang singkat dan dua bulan kemudian kami terus bertunang.

"Dia merupakan anak saudara kepada aktres dan penyanyi popular, Umie Aida dan pernah belajar di Melbourne, Australia.

"Pada saya, Chira begitu sempurna dalam segala-gala hal terutamanya bab memasak dan saya sangat suka masakannya," kata Black.

Mengulas mengenai isu ditipu perunding perkahwinan dengan kerugian RM30,000, Black berkata, dia akan membawa perkara itu ke mahkamah.

"Saya telah melaporkan kepada pihak polis kerana segala bukti mengenai penipuan ini saya masih menyimpannya.

"Walaupun pihak berkenaan sudah membayar separuh daripada pendahuluan itu namun sehingga sekarang tidak memulangkan baki wang saya," katanya.