Wednesday, August 7, 2013

Remy mengemas,Misha sedih, Fara bercuti




Remy balik kampung
SUASANA lokasi fotografi di Hotel One World, Damansara, bertukar menjadi riuh-rendah apabila tiga bintang terkenal, aktor Remy Ishak, penyanyi, Misha Omar dan penyampai radio popular, Fara Fauzana bertemu.
Misha dan Fara yang cukup akrab tidak henti-henti mengusik Remy sehingga pelakon berkulit sawo matang itu tersipu malu.
Beritahu Remy, itu kali pertama dia digandingkan bersama dua wanita popular ini dan sejujurnya dia gugup untuk berhadapan dengan mereka.
“Memang saya tidak pernah bergambar sekali dengan mereka berdua, rasa gementar pun ada tetapi saya cukup seronok kerana mereka mempunyai perangai yang gila-gila,” getus Remy.
Bercerita tentang raya, saban tahun Remy pasti pulang ke kampung halaman di Masjid Tanah, Melaka. Tahun ini cuti raya selama dua minggu akan digunakan sepenuhnya untuk beraya dan berehat.
Tutur Remy atau nama sebenarnya Mohammad Zalimei Ishak, 31, suasana riuh-rendah sewaktu berkumpul dan bergotong-royong bersama sanak saudara menyiapkan juadah raya antara perkara yang dirinduinya.
“Biasanya, tugas saya adalah mengemas rumah kerana saya tidak pandai memasak. Saya juga tolong mana yang patut terutama pada malam raya yang saya rasakan kaum wanita paling sibuk.
“Kalau lewat masak, maka berjagalah kami semua sampai pagi kerana keesokan harinya, tetamu harus disambut dengan hidangan terutamanya rendang hasil tangan ibu saya,” kata anak kedua daripada empat adik-beradik itu.
Bercerita tentang kenangan raya, antara kenangan yang tidak boleh dilupakan adalah ketika namanya mula-mula berada di puncak populariti pada tahun 2009 selepas drama bersiri Nur Kasih mencipta fenomena luar biasa.
“Waktu itu saya sendiri terkejut kerana rumah saya di Melaka dikunjungi oleh ramai peminat. Macam mana mereka boleh tahu rumah saya yang mana satu pun, saya tidak tahu. Ada yang datang dari jauh dan sehingga lewat malam.
“Jika boleh, saya mahu hari raya pertama diraikan bersama keluarga sahaja. Namun, saya tidak boleh menolak jika peminat datang ke rumah.
“Ibu saya akan melayani semua orang yang datang, kadangkala saya kasihan ibu keletihan tetapi biasalah orang tua, ibu tetap ingin masak semua makanan sendiri.
“Kata ibu, setahun sekali sahaja, apa salahnya meraikan peminat yang menyokong kerjaya anaknya,” balasnya yang tidak pernah mengadakan rumah terbuka.

MISHA, Remy dan Fara bakal meraikan lebaran dengan penuh rasa kesyukuran dan ceria.


Menyentuh tentang kerjayanya, Remy yang baru sahaja selesai penggambaran filem CEO dan drama bersiri Ku Cinta Kau Seorang mengakui kini dia enggan bekerja terlalu keras sehingga mengabaikan kesihatan diri.
Raya bujang terakhir Misha
Seri pengantin makin terserlah pada wajah penyanyi lagu Angin Syurga itu. Senyuman juga tidak lekang dari bibir tanda dirinya cukup bahagia dengan kehidupannya kini, namun ia tidak dapat menyembunyikan debaran di hatinya.
Mana tidaknya, tahun ini merupakan tahun terakhir Misha, 31, meraikan Aidilfitri sebagai wanita solo sebelum melangkah ke alam rumah tangga bersama tunangnya, seorang juruterbang, Firos Ezzwan Rossly, 31, pada bulan Februari tahun hadapan.
“Tidaklah kata saya mahu beraya sepuasnya sebab tahun depan saya akan berkahwin. Raya sama sahaja, apa yang penting dapat berkumpul bersama keluarga,” katanya.
Tambahnya, sudah menjadi tradisi sejak alam percintaan sehingga ke alam pertunangannya bersama Firos, selepas pulang berhari raya di kampung halamannya, Kota Bharu, Kelantan, Misha akan menziarahi keluarga Firos di Subang, sekembalinya ke Kuala Lumpur.
“Rasanya tidak akan ada perubahan besar kerana sebelum ini pun saya sudah biasa bertemu dengan keluarga tunang. Cuma selepas berkahwin kelak, saya pasti akan mengikutnya pulang ke kampungnya di Negeri Sembilan,” katanya yang sudah bersedia untuk menjadi isteri orang.
REMY tersipu malu apabila tidak henti-henti diusik oleh Misha dan Fara.


Menyentuh tentang raya di Kelantan, tidak langkap pagi raya Misha sekeluarga jika tidak ada juadah nasi dagang, nasi minyak, dalca, kuzi ayam dan rendang hasil tangan ibunya.
“Mungkin juadah keluarga kami agak berbeza tetapi bukanlah raya jika tidak ada semua masakan mama,” katanya yang hanya mempunyai sepasang baju raya.
Luahnya lagi, biasanya setiap kali raya perhatian akan diberikan kepada anak angkatnya, Muhammad Adam Emir yang kini berusia tujuh tahun.
Bercakap tentang kerjayanya, selepas lagu Angin Syurga, Misha bakal muncul dengan lagu berjudul Untuk Bermimpi karya Tam Spider dan Budi Hikayat serta bakal meluncurkan album terbaharunya pada penghujung tahun ini.
“Saya ingin habiskan semua kerja terlebih dahulu pada tahun ini kerana tahun hadapan saya akan memberi fokus kepada majlis perkahwinan dan keluarga,” ucapnya.
Fara beraya di hutan
Sudah menjadi kelaziman buat keluarga pengacara, pelakon dan penyampai radio popular Fara Fauzana atau nama sebenarnya Farah Fauzana Mohd. Fadzil, 33, untuk bercuti bersama keluarga pada hari raya,
Jika tahun sebelum ini mereka sekeluarga menempah bas dan bercuti ke Port Dickson, Negeri Sembilan, tahun ini Fara memilih untuk bercuti dan beraya di kawasan hutan rekreasi di Raub, Pahang.
“Kira-kira 40 orang saudara-mara dan rakan rapat akan beraya dan bercuti bersama di kawasan hutan bersama saya. Kami akan pergi menaiki bas kerana tidak mahu letih memandu.
“Saya sengaja memilih kawasan di luar Kuala Lumpur untuk memberi kelainan dan lari daripada kesibukan. Selain dapat bersantai dan berehat, secara tidak langsung dapat mengeratkan lagi silaturahim antara kami semua,” ucapnya.
Tutur anak kedua daripada tiga adik-beradik itu lagi, tahun ini raya mereka sekeluarga cukup meriah kerana adik bongsunya yang bekerja di Amerika Syarikat pulang meraikan Aidilfitri bersama mereka.
“Tahun lepas adik saya tidak balik beraya, jadi tahun ini lebih meriah kerana semua keluarga saya lengkap berkumpul pada pagi raya.
“Pastinya ibu bapa saya seronok kerana semua anak mereka ada di depan mata. Selepas beraya di Shah Alam, kami sekeluarga wajib melawat saudara di Melaka dan Negeri Sembilan,” balasnya.
Buat peminat yang ingin menyaksikan Fara di kaca televisyen, Fara akan muncul dalam program Nona Raya, Kecohnya Pengacara Beraya, Mimpi Fara, Apa Sahaja FBI Raya dan Rescue Raya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: