Wednesday, August 14, 2013

Raya berbeza empat personaliti ntv7

DARI kiri: Aishah Sinclair, Sheahnee dan Sasha Bashir mempunyai cerita tersendiri tentang sambutan hari raya.


EMPAT personaliti saluran ntv7, Aishah Sinclair, Sasha Bashir, Ras Adiba Radzi dan Sheahnee Iman Lee disatukan dalam sesi fotografi Kosmo! sempena raya.
Menyingkap cerita keempat-empat personaliti TV itu ternyata mereka mempunyai cerita menarik mengenai kehidupan dan juga memori raya masing-masing.
Aishah raya tanpa Ashraf
Sambutan raya Aishah Sinclair tahun ini hanya di Kuala Lumpur apabila dia tidak dapat mengikut keluarganya beraya di Jakarta, Indonesia bersama abangnya Ashraf Sinclair.
Ungkap Aishah, dia sekadar menyambut raya pada hari pertama, manakala pada hari raya kedua pula terpaksa bersiaran langsung untuk program bual bicara, The Breakfast Show.
“Saya akan beraya di rumah keluarga sebelah suami di Taman Tun Dr. Ismail (TTDI) pada hari raya pertama kerana hari raya kedua, saya perlu bersiaran langsung program The Breakfast Show sempena dokumentari khas Gaza.
“Tayangan itu akan memberi pendedahan pada orang ramai tentang apa yang berlaku di Gaza. Walaupun perjuangan orang-orang Palestin sudah lama namun ramai yang tidak mengetahui kisah sebenar yang dihadapi mereka,” ungkapnya yang turut mengikuti misi ke Gaza pada bulan Mac lalu bersama penerbit, penerbit eksekutif dan jurukamera The Breakfast Show.
Tutur Aishah lanjut, dia berharap agar dokumentari itu dapat memberi inspirasi kepada orang ramai untuk memberi sumbangan lebih-lebih lagi pada golongan yang berpendapatan tinggi.
Usai perihal dokumentari dikongsikan, Aishah bercerita pula mengenai sambutan rayanya tahun ini. Ujarnya, sepatutnya Ashraf, isterinya, Bunga Cinta Lestari dan anaknya, Noah pulang ke Malaysia menyambut Aidilfitri.
Begitupun, disebabkan jadual seni yang ketat, dia meminta keluarganya untuk datang menyambut raya di Jakarta.
Biarpun sibuk dengan aktiviti seni sepanjang raya, kongsi Aishah, dia tetap akan menyediakan juadah raya seperti kek dan kuih raya.
Bicaranya lanjut, kemeriahan sambutan hari raya pada tahun ini juga lebih meriah apabila anaknya Soraya Ann Sheikh Abdul Shahnaz, sudah menginjak usia tiga tahun.
RAS ADIBA kembali menjalani rutin seorang isteri selepas berkahwin semula baru-baru ini.


Sasha terbit buku kanak-kanak
Bagi Sasha Bashir pula, selain dia masih aktif mengacara program TV, pengacara program Explorace itu juga sedang aktif menulis buku untuk kanak-kanak.
“Idea untuk menulis buku kanak-kanak muncul selepas saya menonton rancangan Oprah Winfrey. Ketika itu tetamu undangannya ialah John Wood. Lelaki itu menubuhkan sebuah perpustakaan di beberapa buah negara miskin seperti Nepal dan Bangladesh dengan niat untuk memberi kemudahan pada anak-anak muda membaca. Begitupun, dia memberitahu, perpustakaannya kekurangan buku. Jadi, dia menubuhkan unit kebajikan Room To Read supaya orang ramai dapat menyalurkan sumbangan di situ.
“Selepas menonton program tersebut, timbul idea untuk saya menulis buku kanak-kanak dan melakukan kerja amal seperti menyalurkan buku saya ke perpustakaan tersebut,” ungkapnya yang berjaya merealisasikan impiannya dengan terhasilnya sebuah buku kanak-kanak berjudul Where is Joberg’s Collar (Dimanakah kolar leher Joberg’s).
Tiga tahun terpaksa menyimpan buku tersebut biarpun ia sudah siap ditulis, ujar Sasha, dia berasa lega kerana akhirnya mendapat tajaan untuk menerbitkan bukunya itu daripada seseorang yang pernah membeli buku dansa yang ditulisnya sebelum ini.
Bakal dipasarkan selepas raya sebanyak 2,000 unit, jelas Sasha lagi, 500 naskhah pula akan disumbangkan kepada rumah kebajikan Room To Read.
Bercerita mengenai sambutan raya pula, anak sulung daripada tiga beradik itu memberitahu, dia sekadar membeli baju raya yang sudah siap untuk dirinya, suami, Yani Hijjas dan anaknya, Ghibran Hijjas, 16 bulan.
“Kami pulang ke kampung dua hari sebelum raya. Selepas itu, kami akan berkumpul ramai-ramai sementara mak saudara akan menyediakan hidangan raya seperti dodol, rendang, nasi beriani dan ayam masak merah,” ungkap Sasha.
Berkongsi memori rayanya, kata Sasha, tujuh tahun lalu ketika umat Islam menyambut raya dalam suasana meriah, dia dan keluarganya pula bersedih dengan pemergian neneknya.
Begitupun, dia lega kerana sempat bercakap dengan neneknya sebelum wanita itu menghembuskan nafas terakhirnya.
Jelas Sasha: “Nenek koma selama seminggu. Selepas saya berjumpa dan bercakap dengannya, nenek kemudiannya meninggal dunia. Segala masakan untuk hari raya pada tahun itu telah menjadi hidangan para tetamu yang datang ke majlis pengkebumian nenek.”
Raya hijab Sheahnee
Berbeza pula dengan cerita raya penyampai berita khas ntv7 iaitu Sheahnee Iman Lee kerana buat pertama kalinya dia beraya dengan mengenakan hijab.
Mengenali Sheahnee dengan lebih dekat, wanita berketurunan Cina itu sudah memeluk Islam lima tahun lalu. Sheahnee yang juga isteri kepada pengacara dan juga pelakon, Nazrudin Habibur Rahman atau Naz itu juga membuat keputusan untuk berhenti menjadi penyampai berita sejak dikurniakan cahaya mata kedua, Zakry Aiman setahun lalu.
“Sejak melahirkan anak kedua tahun lalu, saya sudah berhenti daripada menjadi penyampai berita. Bagaimanapun, mereka tetap memanggil saya dan akhirnya saya setuju untuk menjadi penyampai separuh masa di ntv7,” ujarnya yang baru mengenakan hijab sejak bulan lalu.
Mengakui pada mulanya takut untuk mengenakan hijab, luah Sheahnee, sehingga kini keluarganya masih belum tahu akan perubahannya kerana takut mereka sedih.
Katanya:”Persepsi orang bukan Islam apabila wanita mengenakan hijab seperti mengongkong kebebasan wanita itu. Mereka sebenarnya berasa kasihan. Tetapi, mereka tidak harus dipersalahkan kerana mereka tidak faham kenapa wanita Islam harus mengenakan tudung.”

AISHAH SINCLAIR tidak mengikut keluarganya berhari raya di Jakarta, Indonesia.


Tidak hanya mengenakan hijab, sejak enam bulan lalu dia juga telah menyertai kumpulan usrah yang diketuai oleh Wardina Safiyyah. Sheahnee juga bersyukur kerana kini dia mula membaca al-Quran.
Mengulas mengenai sambutan rayanya, sejak lima tahun lalu Sheahnee akan menyambut raya di rumah mertuanya di Kampung Datuk Keramat, Kuala Lumpur.
“Menariknya, sambutan hari raya di rumah keluarga Naz sangat meriah. Sebabnya, keluarga Naz ada campuran Cina dan India. Jadi, saya dapat menikmati juadah Cina, Melayu dan India yang disediakan oleh ibu-ibu saudara Naz ketika hari raya,” jelasnya.
Berkongsi memori rayanya pula, kata Sheahnee, pertama kali menyambut Ramadan dan raya lima tahun lalu memberi seribu rahmat buat dirinya kerana ia adalah julung-julung kalinya dia menyambutnya.
Ras Adiba sedia baju raya suami
Bagi penyampai berita Ras Adiba Radzi, tahun ini dia tidak lagi menyambut raya bersama anak angkatnya, Umar Ras Engel Abdullah, 6 . Sebaliknya, Ras akan menyambut raya bersama suami baharunya, Ilias Yaakop dan juga anak tirinya, Amar Raj, 6.
“Raya tahun lepas, saya cuma sediakan baju untuk diri sendiri dan Umar. Tetapi, tahun ini kena sediakan baju untuk empat orang. Saya anggap ia satu cabaran kerana perasaan tidak percaya sudah berkahwin itu masih ada,” ungkap Ras yang sudah menjanda selama 14 tahun itu.
Bakal menyambut raya di Kuala Lumpur pada raya pertama, ulas Ras, pada hari raya kedua pula mereka akan beraya di kampung ibu bapanya di negeri Sembilan.
Ditanya mengenai hidangan yang bakal disediakan buat suami tercinta, kata Ras, kemungkinan besar dia akan menyediakan rendang ayam.
“Harap suami boleh terima masakan pedas orang Negeri Sembilan selepas ini. Sebabnya, suami saya memang tidak tahan makanan pedas,” jelasnya yang menutup perbualan pada hari itu.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: