Friday, August 23, 2013

'Persetua Lara' Drama Sedih Untuk Remaja

Rohaizulfarridz Salleh
KUALA LUMPUR: RTM melakukan inisiatif untuk mendedahkan remaja yang terhakis mengenai erti kemerdekaan dengan menghasilkan sebuah drama sedih berjudul Persetua Lara.
Penerbit drama RTM, Rohaizulfarridz Salleh berkata, elemen ‘air mata’ yang dihasilkan dalam karya berkenaan diharap mampu menarik minat golongan berkenaan agar menonton drama tersebut sempena sambutan kemerdekaan negara yang akan disambut 31 Ogos ini.
"Drama ini memang khusus untuk para remaja kerana golongan muda zaman sekarang kebanyakannya tiada penghayatan kemerdekaan. Berdasarkan kajian, kami lihat golongan muda gemarkan cerita-cerita berunsur sedih.
"Sempena sambutan kemerdekaan ini, kami cuba menyingkap jiwa mereka menerusi Persetua Lara di mana kami mengetengahkan elemen sedih untuk menarik perhatian penonton," katanya.
Razali dan Sherry Merlis dalam Persetua Lara.
Rohaizulfarridz ditemui pada majlis pratonton drama berkenaan di Angkasapuri di sini pada Khamis.
Persetua Lara lakonan Sherry Merlis, Zarina Zainuddin dan Ezani Nizariff merupakan sebuah drama yang menilai maksud bebas merdeka dari tiga latar masa berbeza iaitu pada zaman darurat Tanah Melayu (1948), zaman kegawatan ekonomi (1987) dan tahun 2008.
Tambah Rohaizulfariddz, drama ini juga mengajar penonton berfikir mengenai konflik yang berlaku sebelum negara mencapai kemerdekaan.
"Kita sedia maklum segelintir masyarakat tidak gemarkan drama yang membuatkan mereka perlu berfikir lebih-lebih lagi ia berkaitan sejarah.
"Saya harap penonton akan buka mata selepas ini dan menilai karya- karya berat bermula dengan Persetua Lara," ujarnya.
Drama berkenaan yang turut dilakonkan oleh Razali Hussain dan Hadi Tahir ini bakal ditayangkan pada 27 Ogos ini, pukul 10 malam menerusi saluran TV2.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: