• Dipukau pasangan Arab Imej pasangan Arab berkenaan berjaya dirakam CCTV yang terdapat di kedai mangsa di Pekan Kota, kelmarin
REMBAU – Seorang peniaga mengalami kerugian lebih RM300 selepas dia dipukau oleh pasangan Arab di premis perniagaannya di Pekan Kota, dekat sini, petang kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira 6.50 petang itu, mangsa, Chew Yin, 39, berada seorang diri di dalam kedai dan didatangi pasangan Arab yang menaiki sebuah kereta jenis Toyota Camry yang ingin membeli air minuman di kedainya.

Suami mangsa, Tee Ah Beng, 50, berkata, isterinya itu pada mulanya menyedari pasangan Arab berkenaan membelek-belek air dan makanan di dalam kedai, namun mula tidak sedarkan diri selepas salah seorang pasangan
berkenaan menyerahkan RM4 dan berbual dengannya.

Menurutnya, pasangan Arab berkenaan seolah-olah bercakap sesuatu dengan isterinya sewaktu dia ingin memulangkan wang baki.

"Bermula dari situ, isteri saya dipukau dan apabila sedar, wang tunai jualan berjumlah lebih RM300 sudah lesap.

"Pasangan Arab ini hanya mengambil wang sahaja dan imej mereka berjaya dirakam melalui kamera litar tertutup (CCTV) yang terdapat di kedai," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian, dekat sini, semalam.

Sementara itu, jurucakap polis mengesahkan kejadian dan kes pukau berkenaan kini disiasat oleh Bahagian Siasatan Jenayah Komersial Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tampin.