Saturday, August 24, 2013

Percutian impian di Balung



BAGI yang menggemari keindahan alam semula jadi, pastinya mengimpikan suasana percutian yang menghijau dan mendamaikan.
Bukan setakat percutian, kedamaian yang dicari itu lebih kepada sebuah pengalaman yang mungkin akan dikenang sampai akhir hayat.
Salah satu lokasi tersebut ialah Balung River Eco Resort yang terletak dalam daerah Tawau di Sabah.
Hakikatnya, sebelum ini Balung bukanlah nama yang terkenal. Ia sekadar dipenuhi hutan tebal selain ladang koko dan kelapa sawit.
Bagaimanapun, selepas sebuah resort pelancongan iaitu Balung River Eco Resort didirikan pada tahun 1996, ia bertukar menjadi meriah.
Dibina di tengah kawasan ladang seluas lima hektar, resort itu menjadi destinasi percutian menarik untuk menghilangkan penat lelah dan menjauhkan diri daripada kesibukan kota.
Terdapat dua cara untuk sampai ke resort tersebut iaitu yang pertama menggunakan pengangkutan udara.
Dari Lapangan Terbang Tawau, pelancong perlu menempuh perjalanan sejauh 28 kilometer yang mengambil masa selama setengah jam.

SURAU yang diperbuat daripada batu merupakan salah satu tarikan di Balung River Eco Resort.


Dikelilingi hutan
Pilihan kedua merupakan pengangkutan darat yang menjadi kegemaran pengunjung tempatan.
Sepanjang perjalanan, pelancong dapat menikmati keindahan flora dan fauna.
Meskipun menempuh perjalanan sejauh 33 kilometer dari bandar Tawau, keletihan pasti terubat dan hilang sekelip mata sebaik sahaja menjejakkan kaki ke resort itu yang serba menyamankan.
Bagi yang gemarkan suasana alam semula jadi pula pasti tertawan dengan pemandangan resort berkenaan yang dikelilingi hutan.
Di situ, pengunjung boleh membuat pilihan sama ada untuk mandi-manda di kolam yang disediakan atau di Sungai Balung yang terletak tidak sampai 50 meter dari resort berkenaan.
Menariknya, Balung River Eco Resort menjadi pusat percutian pertama di negara ini yang mengusahakan perladangan dan tanaman pertanian di kawasan seluas 1,295 hektar.
Pengunjung juga mempunyai pilihan untuk menyertai aktiviti yang disediakan oleh pihak resort iaitu pakej lawatan ke ladang-ladang di resort tersebut.
Pengunjung akan dibawa melawat kilang memproses hasil produk dari ladang seperti jus mengkudu, herba misai kucing dan gula kabong.
Pelbagai jenis tanaman
Pengurus Pemasaran dan Jualan Balung River Eco Resort, Julita Reuben Osman berkata, selain itu pihaknya turut mengusahakan beberapa jenis tanaman lain.
Antaranya, kelapa sawit, koko, kopi, kayu jati, serai, pandan, gaharu, sayur ginseng, pelbagai jenis ulam dan buah-buahan seperti buah naga, ciku, manggis, limau serta lada.
Menurutnya, sebahagian besar tanaman seperti kelapa sawit, jus mengkudu, herba misai kucing, gula kabong, buah naga dan salak dikomersialkan di pasaran tempatan dan luar negara.
“Sambutan produk dari resort ini sangat menggalakkan dan kita telah menembusi pasaran Jepun selain untuk kegunaan sendiri,” katanya.

RUANG tamu memudahkan tetamu beristirehat dan membaca.


Dalam pada itu, beliau berkata, idea mewujudkan resort berkonsepkan ladang itu diilhamkan oleh bekas Ketua Menteri Sabah, Datuk Harris Mohd. Salleh.
Kemudahan lain termasuk bilik penginapan yang selesa, gelanggang badminton, padang bola sepak, tapak perkhemahan, kolam renang, tasik untuk memancing, restoran, karaoke dan surau.
Seorang pengunjung, Sharifah Nor Sadi, 27, mengakui mengunjungi Balung River Eco Resort memberi pengalaman berharga kepadanya.
“Tiada siapa menyangka di sebalik hutan tebal ini wujud sebuah pusat peranginan yang cukup sempurna yang sangat berbeza daripada resort lain di Malaysia.
“Balung River Eco Resort menawarkan sebuah percutian yang lengkap dan sangat sesuai buat mereka yang cintakan kedamaian.
“Pelbagai aktiviti yang disediakan juga membuatkan pengunjung tidak bosan malah kunjungan ke ladang-ladang membuatkan mata rambang memilih buah-buahan yang lazat,” jelasnya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: