|
PENGGEMAR jenama kopi terkemuka di Malaysia, Starbucks kini berpeluang berkongsi mata ganjaran mereka bersama keluarga atau orang tersayang melalui program My Starbuck Gift To You yang dilancarkan baru-baru ini.
Pengarah Urusan Starbucks Malaysia, Sydney Quays berkata, pemegang-pemegang kad Starbucks sebelum ini diberikan mata ganjaran tertentu melalui pembelian produk-produk Starbucks.
Katanya, melalui program terbaharu yang dilancarkan itu pemegang-pemegang kad kini boleh berkongsi mata ganjaran itu bersama keluarga atau orang tersayang menerusi sistem dalam talian.
"Caranya mudah, mereka hanya perlu mengakses laman web Starbucks dan masuk ke akaun masing-masing sebelum memindahkan mata ganjaran yang diperoleh kepada sesiapa yang dikehendaki.
"Si penerima kemudiannya akan diberitahu menerusi sistem e-mel. Mereka hanya perlu mencetak e-mel itu sebelum berkunjung ke premis Starbucks di seluruh negara bagi mendapatkan mata ganjaran yang ditawarkan seperti minuman percuma," katanya ketika ditemui selepas melancarkan program tersebut di Taman Tema Berjaya Times Square, Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Tambah Sydney, sejak dilancarkan pada 11 November 2011, terdapat hampir sejuta pemegang kad Starbucks di seluruh negara.
"Ia merupakan satu inovasi bagi memudahkan pelanggan-pelanggan kami mendapatkan produk Starbucks dan pada masa yang sama menikmati mata ganjaran yang ditawarkan.
"Di samping itu, pemegang kad ini juga berpeluang mendapat pelbagai informasi terkini mengenai produk-produk terbaharu Starbucks di samping terlibat dalam program-program yang dianjurkan," jelasnya.
Pada perkembangan berkaitan, Sydney berkata, serentak dengan pelancaran program itu, pihaknya turut menganjurkan Starbuck Frappucino Fiesta yang dihadiri kira-kira 400 pelanggan setia Starbucks di seluruh negara.
"Kehadiran mereka di sini adalah untuk berhibur dengan pelbagai permainan yang ditawarkan di taman tema ini.
"Pada masa yang sama, kami juga menjemput kira-kira 50 anak-anak yatim dari dua rumah kebajikan di sekitar ibu negara untuk memeriahkan sambutan," ujarnya.
Jelas Sydney, fiesta itu meriah dengan pelbagai aktiviti menarik seperti gerai jualan, pertandingan mewarna, cabutan bertuah dan sesi bergambar.
"Ia merupakan tanda penghargaan kepada pelanggan-pelanggan setia Starbucks yang menyokong kami selama ini di samping beramal kepada golongan yang tidak bernasib baik di negara ini," katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: