Friday, August 23, 2013
Pengacara 3R berganti wajah
MULA bersiaran di saluran TV3 pada tahun 2010, program infotainment, 3R memang telah sinonim dengan lima orang pengacaranya yang petah berbicara iaitu Rafidah Abdullah, Azah Yasmin Yusof, Kartini Ariffin, Low Ngai Yuen serta Celina Khor.
Namun, setelah hampir 13 tahun, program yang mengutarakan masalah dan penyelesaian terhadap isu berkaitan wanita ini bakal berubah wajah.
Sepanjang tempoh tersebut, 3R telah bersiaran sebanyak 15 musim dan setelah berehat selama tiga tahun, produksi ini kembali lagi mencari pengacara baharu menerusi Projek 3R.
Program realiti tujuh episod ini bakal memaparkan saingan 12 peserta yang dipilih untuk menyambung legasi pengacara 3R sebelum ini.
Pihak produksi telah menyediakan dengan pelbagai aktiviti yang menguji daya ketahanan mental dan fizikal sebelum dipilih menjadi trio 3R yang baharu.
“Kami lihat dari segi peningkatan, pemikiran, fizikal dan juga mental peserta. Namun, bukan semua sempurna kerana ada peserta yang menyerlah dalam persembahan di hadapan kamera, namun lemah dalam cabaran.
“Jadi, semua ini kami ambil kira. Oleh kerana itu, kami tidak lakukan penyingkiran dalam setiap episod. Kami juga lihat bagaimana mereka bekerjasama sebagai sebuah pasukan. Perkara paling mencabar bagi kami adalah penyingkiran.
“Setiap kali kami ingin melakukan penyingkiran, kami perlu berbahas di antara juri semua dan ia mengambil masa yang lama.
“Malangnya, kami hanya perlukan tiga orang peserta untuk menjadi hos 3R yang baharu,” jelas Lina Tan selaku pencetus bersama 3R.
Personaliti berbeza
Tidak dinafikan, setelah bersiaran selama 15 musim, program ini memang telah biasa dengan gelagat lima pengacara terdahulu.
Namun, ujar Lina, mereka bukan mencari pengacara yang menggantikan kelima mereka yang sebelumnya.
“Apa yang kami cari ialah tiga orang yang mempunyai personaliti yang berbeza dan tidak sama seperti kelima pengacara yang sebelum ini.
“Mereka harus merupakan muka dan generasi baharu 3R yang boleh mewakili apa yang kami buat selama ini. Kami harap penonton yang telah membesar dengan program ini dapat menerima pengacara baharu kami ini,” tutur Lina tentang apa yang ingin dicari melalui Projek 3R.
Bicara Rafidah sebagai salah seorang pengacara awal 3R serta mentor dalam projek ini, prestasi peserta berbeza pada setiap episod.
“Namun, apa yang pasti, saya dapat lihat dedikasi mereka semua. Bagaimanapun, yang menjadi kesukaran, jika di belakang kamera, memang terserlah personaliti mereka, namun sejurus muncul di hadapan kamera, mereka telah merubah personaliti tersebut.
“Jadi, itu adalah sesuatu yang kami perlu latih mereka, iaitu walau di hadapan mahupun belakang kamera, mereka perlu menjadi diri sendiri. Itu antara cabaran kami kepada mereka.
“Pada mulanya, saya sebenarnya agak risau kerana cabaran yang diberi semakin lama semakin sukar,” ulas Rafidah tentang pengalaman mengendalikan projek tersebut.
Projek 3R bersiaran sebanyak tujuh episod pada setiap hari Sabtu pukul 6 petang bermula 24 Ogos manakala 3R musim baharu bakal bersiaran 20 Oktober pukul 7.30 malam setiap Ahad.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: