Friday, August 23, 2013

Budak cedera diserang beruk


SPESIES beruk yang menyerang Mohamad Hairul Hafizi.


NIBONG TEBAL – Seorang kanak-kanak cedera di bahagian perut dan tangan akibat digigit seekor beruk jantan yang menyerangnya kelmarin.
Kejadian berlaku kira-kira pukul 2 petang ketika mangsa, Mohamad Hairul Hafizi Mohamad Dahalan, 10, dalam perjalanan pulang dari Sekolah Kebangsaan Relau ke rumahnya di Kampung Tengah Relau Atas B di sini.
Menurut ibu mangsa, Zuraidah Ghazali, 34, anak kedua dari tiga beradik itu sedang menaiki basikal namun telah diterkam oleh haiwan yang dikatakan bersaiz sebesar tubuh anaknya itu.

MOHAMAD HAIRUL HAFIZI yang cedera selepas diserang seekor beruk dirawat di Hospital Sungai Bakap, Nibong Tebal semalam.


“Anak saya terjatuh dari basikal lalu digigit oleh beruk itu. Mujurlah ketika itu ada penduduk kampung melalui kawasan berkenaan dan menghalau haiwan itu serta membantu anak saya,” katanya ketika ditemui di sini semalam.
Menurut Zuraidah, anaknya yang mengalami kecederaan serius di bahagian kanan perut dan tangan telah dikejarkan ke Hospital Sungai Bakap untuk menerima rawatan kecemasan.
Dakwanya, haiwan berkenaan yang dipercayai dipelihara oleh seorang penduduk kampung itu terlepas daripada ikatan sebelum megigit anaknya.
Menurut Zuraidah, dia kesal dengan kelalaian pemilik haiwan tersebut dan telah membuat laporan di Balai Polis Serdang, Kedah.
Katanya, kakitangan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara telah menangkap beruk tersebut ekoran bertindak ganas dan menyerang anaknya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: