Thursday, August 22, 2013
Elly Mazlein utamakan senaman
NAMA Elly Mazlein sememangnya tidak asing lagi dalam industri seni negara. Biarpun ada ketikanya namanya tenggelam timbul dengan lambakan bakat baru, namun Elly membuktikan tapaknya dalam industri masih kukuh sama seperti 16 tahun lalu.
Tidak hanya berbakat dalam arena seni suara, Elly juga sudah membuktikan bakatnya dalam bidang lakonan. Malah biarpun sibuk dengan kerjaya seni, wanita berusia 31 tahun ini tidak pernah mengabaikan kecantikan dan kesihatan diri. Jom kita lihat bagaimana Elly menjaga tubuh dan kulit agar sentiasa cantik dan sihat.
Apakah definisi kecantikan buat Elly?
ELLY: Pada Elly, kecantikan itu adalah sesuatu yang penting untuk semua wanita, apatah lagi golongan Hawa sangat suka kelihatan cantik dan kemas sentiasa. Malah Elly sendiri akan pastikan ke spa untuk memanjakan diri setelah penat bekerja dan paling tidak pun sebulan sekali.
Adakah Elly amat menitikberatkan kesihatan?
ELLY: Ya! Elly sangat menitikberatkan kesihatan kerana bagi Elly, gaya hidup yang sihat sangat penting. Barulah hidup kita lebih berkualiti. Tidak susah sebenarnya untuk menjaga kesihatan kerana apa yang penting adalah disiplin yang tinggi.
Elly berdiet?
ELLY: Ya tetapi tidaklah secara berlebihan. Elly cuma menjaga pemakanan supaya badan tidak letih. Setiap pagi Elly akan minum coklat panas untuk tenaga. Elly juga banyak amalkan daging putih dan sayur-sayuran, selain itu Elly tidak ambil minuman bergas kerana kandungan gula yang tinggi.
Elly tidak makan malam, biasanya Elly hanya makan buah epal sahaja.
Bagaimana Elly menjaga tubuh agar sentiasa cergas?
ELLY: Elly sangat suka berjoging dan itu adalah aktiviti wajib Elly dalam menjaga kecergasan badan. Selain berjoging, Elly akan cari masa untuk pergi berenang. Jika hari hujan pula, Elly akan naik turun tangga rumah.
Bagi Elly aktiviti seperti inilah yang membuatkan badan kita sentiasa cergas untuk bekerja. Kadangkala bila jarang bersenam, memang terasa malas dan berat untuk bersenam. Tetapi selepas 15 minit bersenam, kita akan mula rasa puas, apatah lagi peluh mula keluar.
Bagaimana pula Elly berdepan dengan tekanan?
ELLY: Elly tidak akan bekerja jika berada dalam keadaan tertekan. Mula-mula sekali Elly akan kumpul tenaga atau 'recharge' dengan tidur terlebih dahulu. Biasanya Elly akan ambil cuti, paling lama pun seminggu untuk berehat sepuas-puasnya, atau pun meluangkan masa bersama keluarga.
PROFIL
NAMA: Sharifah Aida Mazlina Syed Hanafi
PANGGILAN KOMERSIAL: Elly Mazlein
USIA: 31 tahun
TEMPAT LAHIR: Slim River, Perak
KELUARGA: Anak bongsu dari tiga beradik
STATUS: Bujang
FILEM: Janji Diana, Tangkai Jering, Gerak Khas 3 The Movie dan Awan Dania The Movie
DRAMA: Lebih puluhan drama, antaranya Bulan Yang Pertama, Gerak Khas, Sembilu Kasih, Spa Q, Bella, Amanah Karmila, Cinta Batu Belah, Cinta Seorang Penoreh Getah, Kasih Berbunga Lalang, Keliwon, Semanis Janji, Ulek Mayang.
TEATER: Teater Muzikal Sri Mersing, Tun Dr Mahathir 2.
ALBUM: Sutera Kasih (1997), Satu Persatu (1999), Elly (2001), MTV Karaoke Elly Mazlein (2001), Best Of Elly Mazlein (2002) dan Atas Nama Cinta (2005)
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: