Wednesday, August 7, 2013

Ayam kampung bernutrisi tinggi



MELIHAT kepada permintaan ayam yang meningkat secara mendadak terutama menjelang musim perayaan, Ishamuddin Idris, 44, bersama dua rakan kongsi memutuskan untuk menceburi bidang penternakan ayam kampung sejak dua tahun lalu.
Ketiga-tiga mereka bukan calang-calang orang kerana memiliki ijazah dalam bidang berbeza dari luar negara. Uniknya, syarikat mereka dikatakan satu-satunya syarikat di negara ini yang memasarkan ayam secara sejuk beku.
“Kami melihat perniagaan secara sejuk beku ini dapat membantu orang ramai membeli ayam kampung dengan mudah tanpa perlu berkunjung ke pasar,” kata Ishamuddin ketika ditemui di kedai milik mereka iaitu Keluaran Orang Kampung ‘0’ Chemical (Kok0C) yang terletak di Jalan Teknologi, Kota Damansara, Selangor.
Beliau menceburi perniagaan makanan sejuk beku itu memandangkan ia amat berpotensi dan mempunyai pasaran yang luas.
“Perniagaan ini kurang risiko kerana lambat rosak selain mempunyai permintaan yang tinggi di pasaran tempatan,” katanya.
Lebih mengujakan, pihaknya yang kini menternak sebanyak 15,000 ekor ayam menjalankan proses penternakan tersebut tanpa menggunakan sebarang bahan kimia.
Bermula hari pertama anak ayam menetas, ia akan ditempatkan di sebuah reban selama 14 hari sebelum dibebaskan dalam kawasan ladang yang berkeluasan 10 hektar.
Ayam itu dibiarkan mencari makanan sendiri walaupun pihaknya menyediakan makanan setiap hari.
“Pada kebiasaannya, kami akan memberi rumput jenis azola dan kiambang itik sekali gus tidak memerlukan bahan kimia atau ubat-ubatan untuk membesar. Pengguna boleh makan ayam ini tanpa rasa was-was,” jelasnya.

AYAM kampung KokOC ini diternak secara semula jadi tanpa sebarang suntikan.


Dalam pada itu, ayam Kok0C hanya dijual selepas berusia 100 hari iaitu setelah mencapai tahap matang dan berat sekitar 1.3 hingga 1.4 kilogram seekor.
Pembesaran semula jadi
Malah, bagi memastikan pembesaran ayam Kok0C mencapai tahap maksimum, pihaknya menghasilkan antibiotik secara semula jadi melalui penggunaan herba berasaskan tumbuh-tumbuhan yang ditanam sendiri.
Hakikatnya, Ishamuddin tidak perlu merunsingkan kepala untuk mempercepatkan pembesaran ayam kampung dengan suntikan seperti yang biasa dilakukan ke atas ayam daging.
Campuran herba hempedu bumi, daun patawali, daun betik, kunyit dan halia digunakan sebagai antibodi untuk melawan penyakit.
Ia bertujuan memastikan ayam tersebut melalui proses pembesaran secara semula jadi.
Jadi, pemantauan terperinci perlu dilakukan pada setiap hari bagi memastikan proses pembesaran berjalan lancar. Penternakan secara semula jadi itu membolehkan ayam-ayam berkenaan membekalkan nutrisi yang tinggi kepada pengguna.
Dalam pada itu, Ishamuddin juga menyifatkan keluaran ayam Kok0C merupakan ayam mesra alam kerana ia diternak di kawasan hijau selain air yang dibekalkan tidak tercemar.
Air untuk penternakan ayam daging diletakkan dalam kuantiti yang banyak di dalam satu reban.

PENGGEMAR ayam kampung boleh mengunjungi kedai sejuk beku ini yang terletak di Kota Damansara.


“Situasi ini menjadikan ayam daging hidup dalam persekitaran yang kotor dan kekurangan zat makanan,” ujarnya.
Menurutnya lagi, kaedah penternakan itu didapati dengan merujuk kajian yang dijalankan oleh pakar-pakar dalam bidang penternakan dari dalam dan luar negara selain mendapatkan khidmat nasihat daripada Jabatan Perkhidmatan Veterinar.
Menyentuh mengenai rasa, beliau memberitahu, ayam Kok0C mempunyai rasa yang berbeza berbanding ayam di pasaran kerana ia lebih lembut, pejal dan tulang-tulangnya juga lembut.
“Ia lebih sesuai dijadikan sup,” jelasnya yang mendapat sambutan menggalakkan daripada kalangan pelanggan Cina.
Pembungkusan vakum
Mengenai kos pula, Ishamuddin berkata, walaupun kos untuk menternak ayam kampung tinggi, pihaknya menjanjikan harga yang berpatutan.
Ia dijual pada harga RM19 seekor. Walaupun hari ini heboh pasal kenaikan harga ayam konvensional, pihaknya tidak bercadang untuk menaikkan harga.
“Saya rasa harga itu berpatutan terutama menjelang musim perayaan ini,” ujarnya.
Ditanya mengenai pembungkusan, beliau memberitahu, pihaknya menggunakan kaedah pembungkusan vakum.

AYAM kampung ini dibungkus menggunakan kaedah vakum supaya tahan lebih lama.


Cara itu bukan sahaja mengekalkan makanan dalam keadaan tanpa udara malah mengelakkan bakteria dan kulat daripada membiak selain sesuai disimpan di bahagian sejuk beku.
Ayam yang dibungkus dengan plastik jernih itu dapat bertahan sekurang-kurangnya selama sebulan.
Tambahnya, dengan menggunakan kaedah itu, kualiti ayam masih tetap sama walaupun selepas dua minggu.
“Lagipun, jika menggunakan pembungkusan biasa, ayam tidak tahan lama,” jelasnya.
Bagi memenuhi permintaan ayam kampung Kok0C, pihaknya menawarkan perkhidmatan penghantaran ayam terus ke rumah.
Caj sebanyak RM3 dikenakan dan penghantaran hanya dilakukan di sekitar Lembah Klang.
Bagi seorang kakitangan swasta, Nordiana Amelia Muhammad Amir, 35, dia lebih gemar membeli ayam kampung berbanding ayam biasa.
Manis dan lembut
Biarpun harga ayam kampung agak mahal, ia tidak menghalangnya daripada terus membeli ayam kampung.
“Saya rasa daging ayam kampung lebih enak kerana ia manis, pejal dan lembut terutamanya apabila dijadikan sup atau digoreng,” jelasnya.
Namun demikian, anak jati Ipoh, Perak itu mengakui kesukaran untuk mendapatkan ayam kampung menyebabkan dia beralih kepada ayam biasa.
“Jika tiada pilihan, barulah saya akan beli ayam biasa,” katanya sambil tersenyum.
Pendapat Nordiana turut disokong Abdullah Ghani, 57, yang menggemari ayam kampung kerana khasiatnya selain rendah lemak.
Bagaimanapun, kekangan kerja dan sering lewat pulang dari tempat kerja membataskannya untuk menikmati ayam kampung.
Begitupun, dengan adanya ayam kampung sejuk beku, ia membantu warga kota membelinya pada bila-bila masa sahaja.
“Jika sebelum ini ayam kampung hanya boleh didapati di pasar namun, kini ayam kampung juga boleh ditemui di kedai sejuk beku.
“Lagipun, memandangkan harga ayam konvensional yang melambung tinggi, saya rasa lebih elok membeli ayam kampung kerana ia lebih berkhasiat,” jelasnya.
Selain itu, beliau turut mencadangkan agar lebih ramai pengusaha ayam kampung tampil dengan konsep itu memandangkan ayam kampung mendapat permintaan yang tinggi.

1 comment:

  1. Salam, mcm mana saya boleh berhubung dengan ayam kokoc atas?

    ReplyDelete

Tinggalkan Komen Anda Sini: