Tuesday, July 3, 2012

Wan Deejay ceriakan majlis

Sentiasa membuat persiapan dan rujukan setiap kali diberi tanggungjawab mengacarakan majlis.

Lunak suaranya memecah keriuhan majlis membuatkan tetamu yang hadir senyap seketika tercari-cari siapakah empunya suara tersebut.

Situasi itu memang cukup biasa dilalui oleh Ahmad Ridzuan Ahmad Baijuri atau lebih popular dengan panggilan Wan Deejay, setiap kali diberi tanggungjawab menjadi juruacara atau pengacara majlis.

Memang itu pun sepatutnya berlaku kerana katanya, perkataan pertama yang terpacul dari mulut pengacara seharusnya mampu 'memaku' tetamu bagi menarik perhatian mereka terhadap majlis yang akan dijalankan.

Sebagai pengacara berpengalaman, langsung tiada riak gemuruh atau gementar pada wajah dan suara Wan Deejay biarpun khalayaknya ketika itu bukan calang-calang tetamu.

Malah dengan penuh berkeyakinan beliau mengendalikan majlis dengan begitu lancar sambil diselang-seli ungkapan pantun dan bidalan Melayu.

"Sejak di bangku sekolah lagi saya memang suka bercakap. Pantang ada pertandingan bahas atau pidato pasti ada saja muka saya, malah pernah terpilih hingga ke peringkat negeri dan kebangsaan," ujarnya yang merupakan pengacara rasmi Peraduan Gerbang Cinta Mega-Utusan Malaysia dari musim pertama hingga ketiga.

Ketika ini menurut Wan Deejay, selain mengacara majlis perkahwinan dan hiburan, beliau juga banyak menerima tugasan bagi majlis rasmi melibatkan pelbagai peringkat tetamu daripada orang biasa hingga kepada kerabat diraja, orang kenamaan, korporat dan sebagainya.

"Sebenarnya besar peranan pengacara dalam sesuatu acara atau majlis. Mereka boleh diibaratkan sebagai 'nakhoda' mengemudi perjalanan program agar berlangsung dengan lancar dan tersusun.

"Sebab itu seseorang pengacara bukan sekadar pandai bercakap dan suara 'sedap', tetapi perlu juga sentiasa peka dengan situasi sekeliling dan cepat membuat keputusan," katanya.

Menurut Wan Deejay lagi, pengacara yang baik perlu membuat persiapan awal bagi memahami secara keseluruhan perjalanan majlis yang bakal dikendalikan.

Kegagalan berbuat demikian boleh membuatkan tumpuan dan keyakinan ketika mengacara terjejas sekali gus mencacatkan majlis.

"Contohnya dalam majlis perkahwinan, mula-mula saya akan berbincang dan bertanyakan perkara yang berkaitan dengan pihak keluarga pengantin.

"Seorang pengacara memerlukan persediaan dari segi mental serta stamina lebih-lebih lagi apabila membabitkan majlis yang mengambil masa panjang seperti perkahwinan, perasmian dan sebagainya.

"Selain itu waspada dengan protokol dan perlu mengetahui siapa tetamu yang hadir, gelaran tetamu-tetamu kehormat dan nama siapa yang perlu didahulukan," jelasnya yang mempunyai lebih 10 tahun pengalaman menjadi pengacara.

Malah, tambah pemegang Diploma Sains Komputer dari Universiti Teknologi Mara (UiTM), Arau, Perlis ini, tidak kira pengacara amatur atau profesional, mereka harus bersedia dengan skrip supaya perjalanan majlis akan berjalan dengan lancar.

Mahupun begitu, penampilan individu itu juga harus dititik beratkan kerana seorang pengacara akan menjadi tatapan umum dan perlulah sesuai dengan majlis yang dikendalikan.

Wan DeeJay turut menyatakan, kerjaya itu memerlukan seseorang bijak bermain dengan bahasa supaya sedap di halwa telinga.

"Sebagai contoh ungkapan-ungkapan ayat yang cantik, pantun dan sebagainya. Saya pula gemar pada pantun yang kebanyakannya saya cipta sendiri.

"Intonasi suara yang baik dan lunak didengar serta gaya bahasa badan turut memainkan peranan. Perlu diingatkan juga pengacara yang baik tidak meninggalkan majlis selagi acara belum selesai," ujarnya.

Sementara itu, beliau juga meluahkan rasa untuk tidak terikat dengan mengacara majlis perkahwinan sahaja kerana berpendapat skop bidang pengacaraan amat luas dan tidak terbatas.

"Saya tidak mahu dikenali sebagai pengacara majlis perkahwinan semata-mata, sebaliknya bakat yang dianugerahkan Tuhan akan saya luaskan seiring perkembangan kerjaya saya," katanya yang juga boleh mengendalikan bacaan doa jika perlu.

Ini kerana beliau mempunyai latar belakang dari Sekolah Menengah Agama Maahad Al-Ehya Asshariff, Gunung Semanggul, Perak.

Mempunyai pakej serba boleh dalam mengacara ini membawa beliau berjaya dalam bidang tersebut.

Dalam pada itu, beliau juga mengembangkan bakat dalam dunia lakonan dengan membintangi beberapa filem dan drama tempatan.

Wan Deejay berharap ingin terus berkarya dalam dunia pengacaraan dan ingin menjadi pengacara setanding dengan idolanya, Aznil Nawawi dan Adil Abdul Ghaffar.

Sementara itu, bagi yang ingin menggunakan perkhidmatan dan mendengar kelunakan suara Wan Deejay menceriakan majlis boleh menghubunginya melalui 019-3382550 atau melalui emel naza401@gmail.com.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: