Sunday, July 29, 2012

Dua pemain kendali Buggy

JUARA...pemenang kategori Expert bergambar kenangan.
JUARA...pemenang kategori Expert bergambar kenangan.

KEMAMPUAN memecut di laluan tanah merah, berlumpur dan berbukit serta selekoh mencabar sehingga mencecah 90 kilometer sejam (km/j) menjadi daya tarikan utama kereta kawalan radio (RC) jenis Buggy.

Berbanding kereta RC model ‘tradisional’ yang hanya sesuai di litar berturap, Buggy yang semakin mendapat tempat di hati peminat permainan ini boleh dimainkan di setiap jenis permukaan jalan, terutama tanah merah, sekali gus memberi kepuasan maksimum kepada peminat permainan RC.

  • Foto

    PROFESIONAL...laluan pit khas untuk pemain kedua membaik pulih jentera atau mengisi minyak seperti perlumbaan sebenar.

  • Foto

    SUKAR...jalan berbukit menjadi laluan paling sukar dilepasi.

  • Foto

    BERSAING...laluan ‘off road’ menawarkan pelbagai tahap kesukaran.

  • Foto

    BERKUASA...penggunaan gas nitro methane memberikan kuasa tujahan tambahan untuk melalui laluan berbukit.

  • Foto

    JUARA...pemenang kategori Intermediate bergambar kenangan.

  • Foto

    SKIL...cara pengendalian kereta Buggy lebih sukar.

  • Foto

    BIASA...insiden perlanggaran kerap berlaku dalam saingan mengejar kedudukan.

Selain casisnya diperbuat daripada aloi bermutu, kelebihan utama Buggy ialah ia didatangkan dengan sistem pacuan empat roda dan semua roda dilengkapi suspensi tunggal bagi keseimbangan untuk kawalan pemanduan maksimum.

Dengan kemasukan pelbagai jenis model RC beserta komponennya dari luar negara, kini permainan RC bukan lagi untuk golongan berada, sebaliknya mampu dimainkan sesiapa saja.


Pengurus Operasi Iguana RC Sdn Bhd yang memiliki litar ‘off road’ terbesar di Malaysia, Soon Hooi, 35, menolak pandangan segelintir pihak mengatakan permainan kereta RC menelan belanja tinggi dan hanya sesuai untuk golongan berada.


“Jika sekadar dijadikan hobi pengisi masa lapang, kereta RC boleh dimiliki dengan modal serendah RM500. Ada dua jenis kereta RC iaitu menggunakan elektrik (bateri) dan gas (nitro methane).

“Bagi yang baru menceburi hobi ini, saya galakkan mereka cuba jenis elektrik.
Bagaimanapun, untuk RC jenis 1/8 GP Buggy, hanya model menggunakan gas berada di pasaran berikutan cara permainannya yang memerlukan sumber kuasa lebih banyak berbanding RC lain,” katanya.

Menurut Hooi, di beberapa negara seperti Amerika Syarikat dan Eropah, permainan kereta RC bukan sekadar hobi semata-mata, sebaliknya berstatus sukan profesional dan ada banyak siri kejohanan peringkat antarabangsa.

Justeru, dia menyarankan Kementerian Belia dan Sukan memberi lebih perhatian dan pendedahan terhadap usaha mengembangkan aktiviti ini di Malaysia serta menaik taraf statusnya daripada permainan kepada sukan.

“Untuk kit permulaan bermain Buggy, kos diperlukan antara RM1,200 sehingga RM1,600 manakala bagi pemain lebih serius, kos menaik taraf kereta mereka dengan menukar set komponen profesional memerlukan modal sehingga RM5,000,” katanya.

Buggy dikuasakan dengan gas dan menggunakan enjin jenis .21 yang mampu memberi kuasa tujahan sekitar 3.5 kuasa kuda. Penalaan enjinnya juga memerlukan kepakaran dan memerlukan tempoh beberapa tahun untuk mempelajarinya.

Buggy dikawal menggunakan teknologi frekuensi terkini 2.4GHz bagi memastikan kawalan frekuensi tidak bertembung seperti penggunaan frekuensi FM pada alat kawalan terdahulu. Yang menarik, perlumbaan Buggy memerlukan pembabitan dua pemain iaitu pemandu dan pengendali pit.

Tugas pengendali pit mirip ketika perlumbaan Formula Satu iaitu membantu mengisi minyak dan membaikpulih kerosakan kecil ketika perlumbaan untuk memastikan kereta boleh meneruskan saingan.

Biarpun baru beberapa tahun diperkenalkan di Malaysia, Buggy kini memiliki kelompok peminatnya di seluruh negara dan ia terbukti menerusi penganjuran Kejohanan 1/8 Buggy Liga Kebangsaan Malaysia yang diadakan secara tahunan membabitkan lima perlumbaan sepanjang tahun.

Pusingan ketiga kejohanan yang berlangsung pada 23 dan 24 Julai lalu di 3 Stone Park, Lot 3 Jalan Kerjaya (Jalan Glenmarie), Seksyen U1, Shah Alam, Selangor, menyaksikan penyertaan 96 peserta dari seluruh negara serta Singapura.

Untuk kategori Expert, peserta negara, Daniel Law muncul juara menewaskan Ben Panic dari Singapura yang menduduki tempat kedua diikuti seorang lagi wakil negara, Ong Chee Yong.

Manakala lima kedudukan teratas kelas Intermediate didominasi peserta negara, dengan Jarvin Tham muncul juara, diikuti Yap Eu Jin (kedua) dan Barry Bader (ketiga).

Perlumbaan dibahagikan kepada dua kelas iaitu Intermediate (Beginner) dan Expert. Format perlumbaan dibahagikan kepada empat pusingan dengan 10 minit masa diberi untuk setiap pusingan.

“Kelas 1/8 GP Buggy adalah perlumbaan RC paling popular bukan saja di Asia, malah di peringkat antarabangsa kerana ia menampilkan cabaran unik dalam kawalan kenderaan di litar off road, selain ketahanan jenteranya.

“Elemen pemain turut memainkan peranan utama selain kelebihan mekanikal yang mungkin menjadi faktor terpenting dalam perlumbaan di litar berturap.
Berbanding kebiasaan bermain di litar jalan raya, kereta RC jenis ini dimainkan di laluan lebih mencabar,” kata Hooi.

Katanya, selain menyediakan litar jalan raya dan off road, syarikatnya menjual kelengkapan serta aksesori kereta RC bermutu tinggi yang diimport dari beberapa negara seperti Jepun, China, Amerika Syarikat, Finland dan Hong Kong.



INFO:

15 JENIS KERETA DAN TRAK RC

1. 1/10 190mm TC
2. 1/10 200mm GT
3. 1/10 200mm TC
4. 1/10 Buggy Off Road
5. 1/10 Oval
6. 1/10 Truck Off Road
7. 1/12 Electric On Road
8. 1/5 Off Road
9. 1/8 Buggy Off Road
10. 1/8 On Road
11. 1/8 Oval
12. 1/8 Truggy Off Road
13. Mini & Micro
14. Monster Truck
15. Rock Crawler


22 JENAMA ENJIN KERETA DAN TRAK RC

1. Axe Rossi
2. Axial
3. BP Engines
4. Dynamite
5. EB Mods
6. Engine Bearings
7. Go Engine
8. HPI Racing
9. JQ Products
10. Misc Brands
11. Mugen Seiki
12. Novarossi
13. nVision
14. O.S. Engines
15. OFNA
16. RB Products
17. Team Associated
18. Team Losi
19. Team Orion
20. Tecnopower Motor
21. Traxxas
22. Werks Racing


SENARAI PEMENANG KEJOHANAN 1/8 BUGGY LIGA KEBANGSAAN MALAYSIA PUSINGAN KETIGA


EXPERT

1. Daniel Law (Malaysia)
2. Ben Panic (Singapura)
3. Ong Chee Yong (Malaysia)
4. Felix Tan (Malaysia)
5. David Lim (Malaysia)


INTERMEDIATE

1. Jarvin Tham (Malaysia)
2. Yap Eu Jin (Malaysia)
3. Barry Bader (Malaysia)
4. Norul Fikri (Malaysia)
5. Jason Yeo (Malaysia)

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: