Sunday, July 29, 2012

Minda turbo Azlina


AZLINA kini boleh berbangga apabila jenama DCL yang diasaskannya dikenali di dalam dan luar negara.


WANITA bergelar jutawan ini cukup ramai peminatnya lebih-lebih lagi dalam kalangan pengedar produk kecantikan dan kesihatan, D’Navechee.

Malah, dalam senyap, ramai usahawan kecil yang menyanjungnya sebagai wanita super yang berjaya membina ekonomi ummah berdikari.

Datuk Azlina Che Abdullah, 46, bukanlah nama asing di negara ini. Berasal dari Pasir Mas, Kelantan, beliau yang merupakan Pengasas D’Navechee dan De Classic Life (M) Sdn. Bhd., pernah dinobatkan sebagai Wanita Ikon pada tahun 2008.

Pencapaian wanita ini dalam bidang perniagaan sehingga mampu membina empayar di luar negara sudah cukup kuat untuk melayakkannya menerima pengiktirafan Usahawan Wanita sempena Hari Anugerah Usahawan Industrai, Dewan Usahawan Industri Desa Malaysia (DUID) pada tahun 2011.

“Alhamdulillah, apa yang saya kecapi hari ini hasil usaha gigih, penat lelah, peluh keringat dan air mata darah yang pernah tumpah ketika saya mendaki tangga-tangga kejayaan,” katanya.

Ibu kepada lima cahaya mata hasil perkongsian hidup bersama Datuk Stapa Omar ini turut mengakui, tanpa ujian dan pengorbanan, pasti beliau sekeluarga tidak dapat mengecapi apa yang mereka ada pada hari ini.

Bersyukur dengan cabaran yang pernah ditempuh suatu ketika dahulu, Azlina sedar, hatinya kini lebih cekal dan mindanya semakin positif.

“Bagi yang berfikiran positif, ujian akan diterima sebagai pelajaran untuk menjadikan diri lebih matang, peka dan ampuh dalam berhadapan dengan cabaran.

“Saya juga percaya, jika kita berada dalam lingkungan positif, kita akan jadi positif.

“Namun, itu tidak bermakna kita tidak akan berdepan dengan masalah, cuma kita akan jadi lebih bijak mengawal emosi dan pintar akal dalam menyelesaikan kesukaran yang datang,” jawabnya penuh optimis.

Katanya lagi, apabila Allah menduga dan kita sebagai hamba bersikap reda dan melalui dugaan dengan rasa insaf serta percaya dengan qada dan qadar, kita tidak akan tertekan dengan situasi tersebut,” tambahnya.

Ajak orang jadi kaya

Beliau yang kini mengetuai beberapa syarikat besar seperti D’Navechee, DCL, DAS Travel, Nasi Dagang Ulik Mayang dan DCL Manufacturing, tidak lokek berkongsi resipi kejayaannya.

“Untuk berjaya, kita perlu istiqamah, tahu matlamat kita dan rancang tindakan yang betul.

“Pilihlah rakan-rakan yang sama-sama berfikiran positif dan yakin dengan kemampuan kita untuk berjaya.

“Saya juga yakin, kalau kita bersatu, kita tidak akan mudah patah semangat. Jangan benarkan kata-kata negatif mempengaruhi pemikiran kita.

“Pokok pangkalnya, untuk berjaya, kita perlu bijak merancang masa, isi dada dengan ilmu, fokus, yakin serta bertindak dengan platform yang bagus dan pantas,” ujarnya yang juga merupakan Mentor Usahawan Siswa Malaysia yang dilantik Kementerian Pengajian Tinggi awal tahun ini.

Kini, selain menguruskan perniagaan, Azlina turut bekerjasama dengan nama-nama besar seperti Datuk Dr. Fadzilah Kamsah, Dr. Azizan Osman dan ramai lagi pakar motivasi lain bertujuan mengajak lebih ramai orang supaya mempunyai fikiran yang positif.

“Insya-Allah, kami akan buat siri jelajah ke seluruh negara untuk sampaikan motivasi minda turbo kepada orang ramai.

“Harapan saya selepas ini agar lebih ramai orang kita yang mengenali potensi diri, menyimpan matlamat yang jelas untuk berjaya dan menjadi kaya.

“Berbekalkan pengalaman yang ada, saya harap mampu mengaplikasikannya kepada masyarakat terutamanya mereka yang bersedia untuk berguru dengan saya,” katanya.

Bergelar isteri, ibu, ketua dan usahawan dalam satu masa semestinya menuntut pengorbanan daripada Azlina mahupun keluarganya.

“Saya harus bijak bahagikan masa. Walaupun terkejar-kejar, saya akan pastikan masa yang diluangkan itu benar-benar berkualiti.

“Saya ada suami dan anak-anak, perniagaan, pekerja dan pengedar yang perlu diberi perhatian.

“Ada juga yang bertanya, tidak penatkah? Haruslah saya letih, namun saya sudah lama tanamkan satu prinsip dalam diri saya iaitu jangan biar orang tahu kita penat dan kita ada masalah tapi biarkan orang tahu yang kita sentiasa ada semangat,” luahnya.

Beliau juga sering mengingatkan dirinya sendiri dan rakan peniagawati yang lain supaya jangan sekali-kali memperlekehkan suami walaupun si isteri lebih berjaya.

“Mengalah tidak semestinya kalah bahkan isteri yang mengalah sebenarnya mendapat banyak pahala.

“Kebahagiaan rumah tangga terletak pada cara kita mengendalikan emosi. Gunakanlah kelembutan untuk menawan hati suami, bukannya kekerasan.

“Jangan sekali-kali mencabar ego suami kerana ia hanya memburukkan keadaan.

“Niatkan dalam hati, setiap hari kita akan berikan yang terbaik kepada keluarga, Insya-Allah, keikhlasan itu akan memberi kita ketenangan dan kebahagian.

“Kalau rasa marah pada anak-anak atau suami cakaplah dengan baik, begitulah juga dengan pekerja, pelanggan dan sebagainya, semuanya mesti ditangani dengan kelembutan,” katanya yang tidak boleh tidur jika bermasam muka dengan suaminya.

Memegang prinsip hidup I’m the best (Saya adalah yang terbaik), anak kepada penjual kuih ini telah membuktikan bahawa kejayaan dan kekayaan bukan sesuatu yang mustahil selagi individu itu gigih berusaha dan yakin rezeki Allah ada di mana-mana.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: