WAJAHNYA sering terpapar di mana-mana iklan zakat. Di papan iklan besar pinggir jalan, di Internet malah di dada akhbar. Senyumannya penuh bangga. Seakan-akan mahu menggambarkan betapa teruja hati membina masa hadapan dengan bantuan zakat.
Lalu, pertemuan diatur demi mendengar sendiri kisah di sebalik tabir. Rasanya, hampir tidak cukup ruangan ini buat menyingkap segala kenangan silam milik empunya diri.
"Jujurnya, sepanjang hidup, saya tidak pernah merasai nikmat kesenangan apatah lagi kemewahan. Sebutlah, apa lagi kesusahan dan penghinaan yang tidak pernah saya lalui. Dipandang rendah kerana bertemankan sebuah kereta buruk yang layak dikitar semula, menjual nasi lemak dan air soya. Pernah dihalau daripada berniaga dan banyak lagi.
"Semuanya adalah rempah-ratus yang amat mahal bagi saya. Ia akan saya simpan sebagai azimat buat selama-lamanya," demikianlah secoret keperitan hidup Vita Kamis, 43, yang menjadi tamu Jejak Asnaf buat kali ini.
Katanya, dahulu dia bekerja sebagai budak penghantar di sebuah syarikat perkapalan sebelum diterima menjadi kerani akaun di sebuah syarikat saham.
"Kala itu ekonomi negara tidak begitu baik, syarikat itu goyah. Dalam masa yang sama, saya dinasihatkan oleh seorang ustaz agar mencari pekerjaan yang lebih baik, halal dan barakah. Masakan tidak, syarikat itu menjalankan perniagaan yang syubhah. Demi mencari jalan keberkatan, saya pun mengundurkan diri," jelas Vita mengimbau kenangan kira-kira 20 tahun lalu.
Vita mula berniaga dengan dibantu isteri, Haslian Buang, 39. Dengan sedikit modal, dia membeli sebuah kereta terpakai yang amat daif. Dengan modal yang ada itu jugalah Vita mencuba menjual nasi lemak.
"Biasalah, orang miskin selalunya dipandang sebelah mata. Maka, demi mengelakkan rasa malu, saya dan keluarga jarang pulang ke kampung. Biarlah kesusahan itu kami lalui sendiri, walau rindu sentiasa bertamu di hati," ujar Vita penuh emosi.
"Sehinggalah ke tahun 2006, saya disapa oleh seorang pegawai zakat. Waktu itu saya sudah beralih menjual air soya. Saya berhajat untuk memohon bantuan daripada pihak zakat, lalu pegawai itu mencadangkan agar saya dibanci.
"Ternyata, saya layak untuk disenarai sebagai asnaf dan dengan itu jugalah saya layak dibantu dengan segera," jelas bapa kepada tiga anak antara usia lapan hingga 16 tahun itu.
Ternyata, mentari yang teriknya redup dilitup awan menjadi cerah kembali dipuput angin yang bertandang.
Perkenalan Vita dengan Lembaga Zakat Selangor (LZS) tidak sia-sia, kerana dari situlah bermulanya kejayaan dalam sejarah hidupnya.
"Setelah dibantu oleh LZS, saya terfikir jualan air soya saya yang kurang memberangsangkan perlu diubah.
"Setelah berbincang dengan isteri, kami bercadang mencari sesuatu yang lebih menguntungkan lalu terbitlah idea menjual rojak dan tahu bakar pula. Mulai saat itulah, di samping berjualan air soya dan rojak, saya sentiasa mencari dan mencuba resipi baru untuk kuah rojak saya itu.
"Bayangkan, hampir setahun saya mencuba dan terus mencuba dengan pelbagai bahan. Sehinggalah ke suatu hari, pelanggan-pelanggan rojak kami memberitahu kuah rojak yang kami sediakan amat sedap dan berbeza rasanya dengan kuah-kuah rojak lain yang biasa terjual di pasaran.
"Maka, mulai saat itulah, kami serius menjual rojak dengan kuah resipi rahsia kami itu," tambah Vita.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: