Tuesday, July 3, 2012

Nasi minyak kukus sajian istimewa

kambing panggang menjadi sajian istimewa daripada Mastar Muni (tengah) dan Jamilah Shahir (kanan) kepada tetamu pada majlis perkahwinan Zazalina Ghazali dan Mohd. Zaidi Mohd. Bishan.

PADA setiap majlis perkahwinan yang diadakan, tidak lengkap sekiranya para jemputan tidak disajikan dengan hidangan nasi minyak berlaukkan ayam masak merah.

Ini kerana kombinasi kedua-dua hidangan ini seperti sudah menjadi 'tanda dagang' (trade mark) di mana-mana juga kenduri kendara yang meraikan raja sehari.

Bagi penaja jamuan Peraduan Gerbang Cinta Mega-Utusan Malaysia Musim Ke-3, Mastar Catering, kombinasi kedua-dua menu tersebut sentiasa menjadi pilihan tuan rumah untuk dijadikan hidangan utama kepada para jemputan.

Begitupun, bagi setiap pemenang yang ditaja pastinya mengetahui bahawa menu nasi minyak kukus merupakan sajian istimewa dari syarikat katering tersebut.

Untuk itu, sempena majlis persandingan pemenang tempat kedua, Kapten Zazalina Ghazali, 26, dan Leftenan Mohd. Zaidi Mohd. Bishan, 26, pemilik Mastar Catering, Mastar Muni (Wak Mastar), 47, dan isteri, Jamilah Shahir, 43, tidak ketinggalan menyediakan nasi minyak kukus.

Turut disajikan bersama hidangan sampingan lain seperti ayam masak merah, rendang daging Mastar, sambal sotong istimewa Mastar, dalca dan juga acar buah.

Majlis Mohd. Zaidi dan Zazalina diberikan sedikit kelainan kerana ia diadakan dalam Dewan Seroja, Kementerian Pertahanan Malaysia (Kementah), Jalan Padang Tembak, Kuala Lumpur.

"Ada perbezaan apabila hidangan disediakan di dalam dewan dan juga di kampung halaman pasangan pengantin itu sendiri.

"Sekiranya majlis diadakan di kampung, kawasan untuk memasak lebih luas dan saya bebas untuk melakukan apa sahaja.

"Dan jika majlis dilakukan di dalam dewan, ia bukan sahaja mengehadkan pergerakan saya malah kerja-kerja memasak dibuat di rumah," ujarnya.

Bagaimanapun, semua itu tidak pernah dijadikan alasan untuk Wak Mastar menyediakan hidangan yang enak. Malah dia yang berpengalaman hampir 30 tahun dalam bidang katering tetap berusaha memberikan yang terbaik buat pelanggannya.

Yang pasti nasi minyak kukus Mastar Catering menjadi perhatian para tetamu di mana menu tersebut merupakan kepakaran mereka.

Dihidangkan dalam tong kayu dan diletak atas air kukusan supaya kekal panas sepanjang masa. Nasi peroi dalam keadaan panas sebenarnya amat penting supaya setiap tetamu puas hati untuk menikmatinya bersama dengan lauk-pauk.

Pada majlis persandingan yang berlangsung Sabtu lalu itu, Wak Mastar turut menyediakan hidangan kambing panggang, cendol, tapai daun pisang, pelbagai jenis kuih Melayu, buah-buahan dan juga ais krim sebagai pencuci mulut.

Hidangan kambing panggang juga merupakan menu yang sedikit berbeza daripada majlis sebelum ini.

Berbicara lanjut mengenai persiapan untuk majlis tersebut, Wak memberitahu dia mula memasak kesemua hidangan pada malam Sabtu.

Dengan dibantu seramai enam orang pembantu, segala kerja dapat dilaksanakan dalam tempoh masa yang telah ditetapkan.

Sentiasa memastikan lauk-pauk yang disediakan segar, bersih dan tidak tercemar, Wak menjelaskan teknik penyediaan yang bermula daripada pemilihan bahan mentah hingga kepada memasak amat penting.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: