TINA TALISA, seorang wartawan penyiaran popular Indonesia pada Isnin lalu mengasak Ariel Peterpan mengenai populariti bekas banduan itu yang hampir menyamai fenomena superstar Michael Jackson.
Pertanyaan Tina itu merujuk kepada bahang populariti Ariel ketika ini yang dinilai media massa Indonesia berada di puncak tertinggi.
Semuanya gara-gara Ariel dibebaskan secara bersyarat selepas dibelenggu kontroversi panjang berhubung skandal video pornografi.
Ariel berkali-kali menafikan bahawa dia merupakan lelaki yang berasmara dengan dua artis wanita ternama Indonesia, Luna Maya dan Cut Tari.
Namun, pemahaman dan penilaian masyarakat Indonesia khususnya individu yang pernah menonton video lucah itu dengan pantas mendakwa, Ariel merupakan lelaki dalam klip yang tersebar luas di internet pada Jun 2010.
Ariel pada sidang media itu tenang memberikan reaksi berhubung persamaan yang disebut Tina mengenai popularitinya seperti yang dilalui Michael Jackson.
Tentu sekali Ariel atau nama sebenarnya, Nazriel Irham sukar menterjemahkan betapa emosinya benar-benar terganggu selama 24 bulan menghuni tiri besi.
Semasa diulit populariti Ariel disanjung ke mana sahaja dia berada namun sebaik dihumban ke penjara, dia hilang semuanya.
Segala kemasyhuran yang dinikmatinya lebih sedekad hilang dalam sekelip mata hanya kerana kedangkalan sendiri.
Namun, dia tenang berhadapan dengan media, tiada rasa malu atau tertekan kerana Ariel juga manusia biasa.
Kata Ariel, dia tidak pernah terfikir akan menjadi selebriti terpenjara.
Bahkan, Ariel sendiri mengaku, amat terkejut kerana berita penahanannya mendapat liputan meluas media sehingga ke luar negara.
"Saya pernah berbincang tentang perkara ini dengan teman-teman Peterpan. Mereka juga tidak sangka dengan apa yang berlaku, terpalit dalam isu ini juga tidak disangka.
"Apa yang boleh saya katakan ialah, selama dalam tahanan saya benar-benar menemui siapa itu teman sejati," kata Ariel sambil mengakui hubungannya dengan anggota Peterpan yang lain sangat akrab seperti saudara sekalipun ketika beliau berstatus banduan.
Terus dipuja
Sebaik pembebasan Ariel daripada penjara Kebon Waru, Bandung Isnin lalu, media massa Indonesia memberikan liputan luar biasa.
Tentu sekali, inilah saat terbaik untuk semua stesen televisyen negara ini menyiarkan laporan panjang lebar mengenai Ariel kerana beliau ialah sumber berita yang boleh mendatangkan keuntungan berlipat kali ganda.
Seluruh rakyat Indonesia mahu melihat wajah terbaharu Ariel selepas sekian lama hidup sebagai banduan.
Laporan secara langsung dari lokasi pembebasan Ariel dilakukan oleh kebanyakan stesen televisyen utama.
Puluhan wartawan dan jurugambar memenuhi pintu masuk penjara serta di bilik sidang akhbar di sebuah hotel di Bandung.
Peminat berpusu-pusu memenuhi pintu masuk penjara berkenaan semata-mata untuk menyambut pembebasan seniman pujaan mereka.
Jangan tidak tahu, terdapat sejumlah peminat setia Ariel yang sanggup berkampung di luar pintu masuk penjara untuk memastikan mereka boleh menatap wajah lelaki berusia 31 tahun itu.
Ada yang datang sejauh Cianjur (Jawa Barat), Purbalingga, Brebes (Jawa Tengah) serta daerah-daerah lain dengan mengenakan baju-T berlogo Peterpan.
Bahkan ada seorang peminat setia Ariel yang sanggup menggadaikan geran motosikalnya semata-mata mahu mendapatkan wang untuk ke Bandung.
Ramai yang mempersoalkan kewajaran Ariel diberi liputan meluas di sebalik namanya yang dalam tergores akibat salah laku berkaitan pornografi.
Kerana itu, kontroversi Ariel dilihat masih belum bernoktah sementelah pada hari pembebasannya ramai pihak di Indonesia yang mengeluh, mengapa dia diangkat sebagai hero.
Suruhanjaya Perlindungan Anak menganggap pembebasan Ariel tidak wajar diberi publisiti.
"Dia bukan ikon yang wajar diangkat, jauh sekali seorang pahlawan. Ariel itu lelaki yang melakukan kesalahan seks," bidas ketua suruhanjaya itu, Arist Merdeka Sirait.
Itu baru kisah pembebasan bersyarat Ariel yang membuatkan ada pihak yang rimas dan kurang senang.
Selepas ini, kontroversi skandal penerbitan video lucah berkenaan dijangka akan kembali hangat apabila pihak berkuasa Indonesia menjangka, Luna Maya dan Cut Tari pula akan dibawa ke muka pengadilan.
Kontroversi itu dijangka berlanjutan lebih lama lagi manakala media tidak akan melepaskan peluang memberi publisiti pada kisah hangat yang boleh melariskan jualan dan meningkatkan rating.
Biar apa tafsiran masyarakat sekalipun, Ariel hanya mampu memanjatkan kesyukuran kerana dibebaskan daripada penjara pada bulan penuh kemuliaan, Ramadan.
Ariel menganggap pembebasan itu merupakan hikmah yang amat besar buatnya selepas menggalas status sebagai banduan selama dua tahun.
"Apa yang tidak kamu sukai belum tentu tidak bagus. Dalam kesulitan ini (hidup dalam tahanan) saya menemui banyak perkara yang positif dalam hidup," luah Ariel yang turut ditemani rakan-rakan Peterpan pada sidang akhbar itu.
Ariel yang tergamam dengan reaksi luar biasa media tempatan dan peminat-peminatnya hanya mampu berterima kasih kerana masih ada yang menyayanginya.
Dalam masa terdekat ini, Ariel mahu mengisi ruang yang ada untuk menenangkan fikiran.
Beliau merayu, agar tidak diganggu buat sementara waktu.
"Saya mahu berehat dan menenangkan fikiran. Saya mahu tenang-tenang dulu. Di mana saya pergi jangan ditanya. Mohon juga jangan dicari saya di rumah orang tua saya," katanya meminta pengertian.
Selepas kembali daripada tempoh berehat, Ariel akan kembali aktif berkarya bersama kumpulannya, Peterpan.
Seperti Hollywood
Menilai semula rentetan perjalanan kontroversi kisah hidup Ariel ini, apa yang boleh dirumuskan mengenai industri hiburan Indonesia ialah, pentas glamor negara ini pada satu peringkat sudah menghampiri apa yang selama ini kedengaran berlaku di Hollywood.
Skandal, kontroversi dan pelbagai cerita gelap serta kisah kejayaan luar biasa yang dinikmati anak-anak seni ini sentiasa mendapat perhatian segenap masyarakat.
Kalau mahu disemak kembali senarai kontroversi yang pernah tercetus di Indonesia, tentu sekali ruangan ini tidak cukup untuk mengisinya.
Pendek kata, dunia glamor Indonesia sarat dengan cerita yang menggemparkan - dari rahsia dalam kain artis sehinggalah ke isu murtad, semuanya ada.
Itu belum lagi kisah fanatik para peminat hiburan di negara ini yang begitu obses terhadap artis-artis pujaan mereka.
Mendengar penjelasan cendekiawan di negara ini, harus diakui kebenaran bahawa hanya hiburan boleh dijadikan sandaran untuk melarikan diri daripada kegelisahan hidup sebilangan besar rakyat Indonesia.
Mendengar lagu yang mengasyikkan, menonton filem ringan yang sarat dengan fantasi atau membaca dan mendengar laporan kisah suka duka artis-artis ternama sudah cukup menggembirakan pemuja-pemuja seni.
Golongan ini hanya mahu menikmati hidup seperti mana yang dilalui orang-orang popular itu.
Sayang sekali, mereka hanya mampu untuk berfantasi kerana keinginan untuk menggapai bintang di langit memerlukan bakat, kesungguhan dan keberanian serta kesanggupan berhadapan dengan ujian dan cabaran.
Segala kriteria-kriteria itu ada pada sebilangan besar artis Indonesia.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: