Tuesday, July 3, 2012

Perkahwinan 1 Malaysia

Kehadiran para finalis Peraduan Gerbang Cinta Mega-Utusan Malaysia Musim Ke-3 turut memerihkan majlis persandingan Dinie Fitri dan Nurhafizah.

MAJLIS persandingan pemenang ke empat Peraduan Gerbang Cinta Mega-Utusan Malaysia Musim Ke-3, Dinie Fitri Ridzwan, 26, dan pasangannya, Nurhafizah Mohd. Noor, 24, boleh diibaratkan sebagai persandingan 1 Malaysia kerana dihadiri tetamu berbilang bangsa.

Ini diakui sendiri oleh Dinie Fitri yang begitu gembira kerana kebanyakan rakan sepejabat di CIMB Bank yang terdiri daripada kaum Melayu, Cina dan India hadir memeriahkan persandingannya.

"Saya berasa sungguh seronok kerana semua yang saya jemput dapat hadir ke majlis saya malam ini.

"Selain rakan-rakan saya, rakan pejabat ayah saya juga berbilang bangsa dan mereka turut memeriahkan majlis persandingan ini sekali gus menampakkan ia seperti tema perkahwinan 1 Malaysia," ujar Dinie Fitri ditemui selepas majlis persandingan.

Tambah menggembirakan anak muda ini ialah kehadiran rakan-rakannya sejak sekolah rendah hinggalah ke universiti.

Baginya bukan mudah mengumpulkan semua dalam satu majlis dan amat seronok kerana majlis persandingan ini boleh diibaratkan sebagai majlis pertemuan semula (reunion).

"Bayangkan semuanya dapat berkumpul, menikmati hidangan nasi beriani dengan lauk pauk yang lazat serta kuih muih untuk pencuci mulut sambil bersembang dalam suasana yang sungguh selesa di Kampung Pengantin.

"Malah rakan-rakan saya yang hadir juga memuji majlis ini sungguh meriah dan mereka turut mengambil kesempatan merakamkan banyak gambar peribadi di dalam dan di luar dewan yang indah," jelas Dinie Fitri.

Begitu meriahnya tetamu yang dirai di dewan Kampung Pengantin, Setapak, Kuala Lumpur hingga terpaksa ditambah meja di bahagian luar dewan untuk menampung tetamu yang datang.

Selain keadaan dewan yang cukup terang dan selesa, tetamu juga tidak perlu berpusu-pusu mengambil makanan di satu tempat kerana sebagai penaja lokasi dan jamuan, Kampung Pengantin telah menyediakan enam bahagian bufet.

Majlis pada Ahad, 24 Jun lalu itu, yang diacarakan oleh Wan Deejay sebagai pengacara rasmi peraduan, dimulakan dengan perarakan masuk raja sehari diiringi paluan kompang dan didahului kanak-kanak cilik pembawa bunga.

Pasangan Dinie Fitri dan Nurhafizah memilih persalinan pengantin rona jingga lembut berkonsepkan moden kontemporari hasil rekaan Dios Astana Bridal.

Solekan dan dandanan oleh Aidatul Saliza Mohamad Alias dari Afidah Khamis Make Ups and Stuff membuatkan Nurhafizah tampak berseri ketika melangkah ke pelamin hasil rekaan Izzuddin Karso dari Precious Moments.

Seperti kebiasaan majlis disusuli dengan acara merenjis yang didahului oleh Penolong Ketua Pengarang II Kumpulan Utusan, Ahmad Abd. Hamid dan diikuti ibu bapa kedua-dua pengantin.

Pasangan pengantin dan tetamu kehormat kemudian menuju ke meja makan beradab yang dihias cantik sebelum diikuti dengan acara ketinggalan acara wajib memotong kek perkahwinan.

Selain pembabitan penaja, kejayaan majlis tersebut juga hasil sokongan dan kerjasama keluarga pengantin.

Malah Dinie Fitri juga melahirkan rasa kagum dengan semangat yang ditunjukkan oleh ahli keluarganya yang bersepakat memakai pakaian dari warna yang sama.

Saudara-maranya juga sudah berkumpul di rumah ibunya yang terletak di Cheras, Kuala Lumpur, sehari sebelum majlis berlangsung untuk menghulurkan bantuan mana yang patut.

"Ikatan silaturrahim inilah yang membuatkan saya begitu berbangga kerana dilahirkan dalam suasana kekeluargaan yang erat dan penuh kasih sayang," ujar Dinie Fitri.

Dia yang mengambil cuti kahwin selama dua minggu akan menghabiskan masa bersama isteri termasuk pergi berbulan madu.

Sementara itu, ibu Dinie Fitri, Jamaliah Nor, 47, mengakui amat bersyukur dan seronok kerana tetamu yang hadir melebihi jangkaan.

"Alhamdulillah saya begitu seronok kerana semua tetamu dapat sama-sama meraikan hari bersejarah anak sulung saya.

"Saya juga mahu menyatakan rasa terima kasih yang tidak terhingga kepada pihak penaja yang memastikan semuanya berjalan lancar," ujarnya.

Jamaliah juga melahirkan rasa bangga kerana anaknya merupakan insan bertuah yang mendapat penajaan perkahwinan mencecah puluhan ribu ringgit.

Dengan penajaan ini membolehkan anak dan menantunya memulakan kehidupan selepas berkahwin dengan lebih selesa tanpa kekangan kewangan.

Sementara itu, bapa Dinie Fitri, Ridzwan Mohd. Yunos, 51 , juga menyatakan ucapan penghargaan kepada pihak Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) dan Utusan Malaysia.

Tidak ketinggalan kepada semua penaja iaitu Kampung Pengantin, Afidah Khamis Make Ups and Stuff, D' Sayang Entertaiment, Precious Moments dan Dios Astana Bridal,

Selain itu turut menaja peraduan Mastar Catering, CJ Print, Sri Sutera Travel, Suri Permai Spa dan Utusan Online.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: