Monday, July 30, 2012

Imej terbaharu Yatt dan Diana



PERSONALITI pelakon dan pengacara jelita Yatt Hamzah tidak pernah berubah. Celoteh yang bersahaja dan mulutnya yang diibaratkan bak bertih jagung kerana bercakap tanpa henti cukup mencuit hati sehingga memecahkan kesunyian butik Dian Pelangi, Bangsar, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Namun kini, pemilik nama sebenar Haryati Hamzah, 32, itu mengalami transformasi penampilan yang begitu berbeza. Tiada lagi kelihatan rambutnya yang panjang mengurai dan hitam lebat memandangkan isteri kepada Abdul Mutalib Abdul Shukor, 32, itu sudahpun memakai tudung.

“Diakui ramai pihak menyifatkan hijrah saya ini sekadar mengikut trend seperti kebanyakan artis wanita yang lain. Lebih mendukacitakan ada dalam kalangan mereka menghitung hari setakat mana saya mampu memakai tudung dan menyarungkan pakaian yang menutup aurat.

“Seharusnya peminat dan masyarakat memberi sokongan dan memanjatkan doa supaya kami kekal dengan imej ini. Boleh dikatakan setiap masa saya berdoa kepada-Nya agar terus memperkukuhkan iman agar saya menjadi Muslimah yang baik,” jelas Yatt, yang terbuka hati untuk bertudung sekitar bulan April lalu selepas sujud terakhir solat taubatnya.

Dalam nada tersekat-sekat kerana menahan sebak, Yatt menceritakan pengalaman ngeri yang dialami. Kata Yatt, selepas pulang dari kelas agama yang turut disertai pelakon Irma Hasmie Ibrahim, Siti Nordiana Alias dan Diana Amir, dia menunaikan solat sunat taubat.

Hati terbuka

Sepanjang menunaikan solat tersebut, hati ibu kepada Suci Hanania Malika, 3, itu berasa amat sayu. Dia terbayangkan kesilapan dan kekhilafan diri. Kesayuan itu semakin memeritkan sewaktu melakukan sujud terakhir.

“Saya ternampak visual seksaan api neraka. Rambut saya direntap manakala tubuh badan sakit seperti didera. Ekoran daripada bayangkan itu, saya menangis sepanjang malam sehingga tertidur di atas sejadah.


BULAN Julai ini genap empat bulan Yatt bertudung.


“Ia cukup menakutkan. Tak tertanggung rasanya untuk menahan kesakitan seksaan itu. Maka, pada keesokan harinya, saya terus memakai tudung dan menutup aurat.

“Kebetulan koleksi pakaian sopan itu merupakan kostum untuk drama genre Islamik berjudul Baitul Rahmat yang bakal disiarkan sepanjang bulan Ramadan di stesen TV1,” ujar Yatt yang turut terbuka hati untuk berubah apabila melakonkan watak seorang penjaga di rumah orang-orang tua yang sopan bertudung.

Ketika diajukan soalan tentang fesyen dan kecantikan, Ijazah Kepujian Sarjana Muda Komunikasi Massa (Pengiklanan), Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam, Selangor itu menyatakan rasa cintanya pada bidang itu tetap sama.

Anak kelahiran Muar, Johor, berkenaan selesa memilih busana Muslimah yang tampak trendy tetapi perlu menutup aurat dan tidak menampakan sosok tubuh.

“Berfesyen tetap menjadi keutamaan terutamanya pakaian yang berasaskan nuansa ceria. Kita perlu ubah persepsi bahawa apabila bertudung kita hanya akan menyarungkan jubah rona gelap dan tudung polos.

“Kini di pasaran, lambakan fesyen Muslimah semakin cantik dan menawan. Begitu juga pada seleksi hijab pelbagai corak, fabrik dan rekaan,” katanya yang dilantik menjadi jurucakap tudung D’Haja bersama Irma Hasmie.

Ramadan Diana Amir

Pastinya detik 19 September 2011 sentiasa terpahat dalam memori selebriti Diana Amir memandangkan pada hari berkenaan dia mengambil keputusan berhijab seperti yang dituntut agama Islam.

Penampilannya kini berubah secara total. Dia tidak lagi menyarungkan skirt pendek, baju sendat, legging mahupun dres mini.

Tiada sesiapa memaksa anak kelahiran Birmingham, England itu bertudung. Semuanya lahir daripada keikhlasan dan rasa insaf yang meresap di segenap ruang hatinya.

Bicara Diana atau nama sebenarnya Nurdiyana Amir Hashim, sememangnya sebelum ini dia berniat untuk memakai tudung tetapi hatinya berbelah bahagi kerana memikirkan karier dalam bidang seni akan terjejas.


WARNA kontra menjadi pilihan utama Diana.


Namun, pengalaman dibayangi hari kiamat yang semakin dekat membuatkan Diana berasa gerun dan bimbang. Dia gusar apabila memikirkan ilmu dan bekalan agamanya masih belum mencukupi. Terlalu banyak kelemahan diri perlu diperbaiki apatah lagi mentaati perintah Allah.

“Justeru saya menetapkan pendirian untuk bertudung sepenuhnya. Walaupun bertudung saya masih menitikberatkan aspek rias wajah dan penampilan diri. Saya lebih cenderung memilih busana Muslimah moden, ranggi dan berona kontra atau pastel. Sesekali jubah dan kaftan turut menjadi pilihan.

“Selain itu, kini saya berusaha memperbaiki solat dan mendalami ilmu agama yang selama ini dipandang ringan. Biar sesibuk manapun dengan aktiviti lakonan dan pengacaraan, tiga kali seminggu saya akan meluangkan masa menghadiri kelas agama dan usrah,” jelas graduan Sarjana Muda Pengurusan Sumber Manusia, Universiti Sains Malaysia (USM), Pulau Pinang itu.

Menyentuh aktivitinya pada bulan puasa, Diana yang pernah membintangi filem 7 Petala Cinta, Aku Masih Dara dan drama Impian Sunsilk menyifatkan Ramadan sebagai bulan yang paling ideal untuk bercuti serta muhasabah diri.

Ini bermakna, sepanjang menjalani ibadah puasa anak keempat daripada tujuh orang adik-beradik itu tidak akan menerima sebarang tawaran lakonan kecuali majlis kebajikan dan berbuka puasa bersama golongan yang memerlukan.

“Bukan itu saja, pada tahun ini saya ingin mencukupkan solat tarawih. Saya enggan mengulangi kesilapan lalu. Dek terlalu asyik mengejar populariti dan wang ringgit saya sanggup menerima bermacam-macam tawaran berlakon sehingga mengabaikan tanggungjawab pada solat wajib dan solat sunat tarawih.

“Bagi saya ketika itu, puasa adalah sekadar menahan lapar dan dahaga. Padahal pada bulan pengampunan inilah kita perlu mengejar segala kelebihan dan fadilat yang besar ganjarannya,” tuturnya yang berpeluang mengerjakan umrah buat kali pertama pada 8 Jun lalu.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: