WAJAHNYA sama, tidak banyak berubah walau usianya sudah mencecah 4 series. Bahasa simbolik berbaur komedi yang sering diguna bagi menggambarkan mereka yang telah berada di usia 40-an.
Seiring kematangan begitu juga tumpuan hidupnya kini. Maizurah Hamzah yang satu ketika dulu adalah aktres dan penyanyi popular yang berasal dari Singapura, kini lebih gemar membicarakan tentang buku hasil penulisannya sebagai fokus utama perbincangan.
Bagi Maizurah, bukan bermakna bidang hiburan dilupakan terus. Cuma dia mahu mencari keseimbangan antara pendidikan dan hiburan. Malah katanya, bidang pendidikan dan hiburan memang sukar dipisahkan terutamanya untuk kanak-kanak pra sekolah.
Perubahan paling ketara ialah pada penampilan ibu kepada empat cahaya mata ini. Beliau kini bertudung dan selesa mengenakan pakaian yang ringkas dan longgar.
Pada pandangan, beliau tetap kelihatan anggun dan sama seperti yang pernah dilihat di kaca televisyen kira-kira 10 tahun dahulu.
Itulah Maizurah yang lebih selesa dengan panggilan Mai. Siapa sangka Maizurah kini penulis dan penerbit buku berkonsep keagamaan khas untuk kanak-kanak prasekolah.
"Sebenarnya saya telah mula menulis buku kanak-kanak sejak 10 tahun yang lalu. Ketika itu anak sulung saya, Zikry Adif Kurnia berusia lima tahun. Memang agak sukar mencari buku bacaan bahasa Inggeris yang sesuai dan menarik untuk anak kecil terutama sekali yang bercorak keagamaan.
"Saya sendiri juga sememangnya gemar membaca dan secara peribadi penggemar buku yang menggunakan ilustrasi menarik dengan warna-warna yang ceria.
"Anak saya pula penggemar komik superhero. Saya terfikir mengapa tidak diterapkan elemen superhero tersebut dalam konsep Islam seperti ucapan bismillah dan zikir yang sudah tentu mempunyai 'kuasa' lebih hebat berbanding superhero barat," jelasnya yang ditemui di Butik Rona Jingga, Bangsar, Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Sejak idea tersebut timbul, Maizurah mula mengumpul bahan malah turut bekerjasama dengan penerbit dan ilustrator bagi memastikan impiannya menjadi kenyataan.
"Buku ini adalah asas sahaja. Saya mahu anak-anak di negara ini mendapat buku yang bercirikan Islam dengan mesej yang baik disampaikan dalam bahasa Inggeris kerana buku jenis tersebut masih belum banyak di negara ini. Saya mahu menambah pilihan ibu bapa yang mahukan bahan bacaan yang baik untuk anak mereka.
"Saya sendiri pernah menjadi guru Bahasa Inggeris untuk anak darjah satu dan dua. Saya dapati ramai anak-anak kita masih belum berkeyakinan untuk bertutur dalam bahasa Inggeris.
"Anak saya juga dulunya tinggal dengan nenek dan datuk yang berkomunikasi dalam bahasa Melayu sepenuhnya. Apabila bersekolah kurang berkeyakinan untuk bertutur padahal mereka tahu berbahasa Inggeris. Sebab itulah salah satu cara untuk menggalakkan anak-anak boleh bertutur bahasa Inggeris ialah menerusi pembacaan," jelasnya.
Maizurah berkata, buku yang ditulisnya boleh digunakan untuk aktiviti drama, kemahiran bertutur terutama di tadika yang berkonsepkan montessori.
"Apa yang disentuh dalam buku ini ialah kemahiran asas hidup anak Muslim, kemahiran sosial yang baik, cara pemikiran dan tindakan yang betul. Buku ini terbahagi kepada dua edisi dan setiap satu mengandungi 16 set.
"Ia lengkap dengan warna dan lukisan yang menarik dengan harga yang berpatutan," katanya yang pernah menjadi tenaga pengajar sukarela di sebuah rumah anak yatim.
Maizurah juga boleh berbangga apabila sebuah tadika Islam di Johor telah bersetuju menggunakan bukunya sebagai salah satu alat bantuan mengajar.
"Saya juga mendaftarkan diri dalam kelas perniagaan, perjalanan untuk menghasilkan buku ini memang panjang, begitu banyak cabarannya.
"Pernah satu masa, buku saya sudah boleh diterbitkan tetapi ilustrator pula menghilangkan diri," katanya.
Akur dengan ketentuan tersebut, Maizurah akhirnya mengambil keputusan menerbitkan sendiri.
"Sekiranya kita mahu membuat satu perubahan maka kita kena betulkan diri kita dahulu kemudian perubahan positif tersebut akan kita kecapi secara perlahan-lahan," jelasnya yang kini menetap di Kuala Lumpur.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: