Biarpun barangan dengan label buatan China begitu sinonim dengan kualiti yang rendah, namun usahawan baharu China cuba berjuang untuk mengikis stereotaip tersebut.
|
|
SELEPAS berpuluh-puluh tahun pereka fesyen, Guo Pei mendapat inspirasi untuk setiap koleksi pakaian mewahnya dengan mengembara ke luar negara, namun baru-baru ini wanita itu membuat keputusan untuk beralih sepenuhnya dengan kebudayaan China.
Walaupun tindakan wanita berusia 44 tahun itu seolah-olah mengecilkan inspirasi ke atas busana ciptaannya, namun hakikatnya penekanan kebudayaan tradisi China yang berusia ratusan tahun di atas fabrik fesyen Guo Pei telah mengangkat nilai koleksinya menjadi salah satu label mewah.
Koleksi terbaharu Guo Pei untuk tahun 2012 diinspirasikan daripada imej dan kisah dongeng negara China seperti pakaian berwarna merah dan emas bersisik bersempena dengan Tahun Naga serta pakaian yang disulam dengan tangan.
"Selepas tahun 2008, baru saya sedar betapa saya patutnya berbangga dilahirkan sebagai seorang yang berbangsa China.
"Malah, baru saya mengetahui betapa barangan yang menggunakan inspirasi tradisi lebih bernilai harganya sehingga dikelaskan barangan mewah.
"Semua koleksi busana saya selepas itu cukup untuk menjelaskan apa yang saya mahukan selama ini. Saya menzahirkan setiap koleksi dengan mengangkat martabat negara, budaya dan masyarakat," ujar Guo Pei yang selesa memakai gaun rona putih.
Perjuangan usahawan baharu
|
|
Guo Pei sebenarnya sedang berjuang. Dia dan usahawan baharu China sedang cuba mengangkat nilai produk negara tersebut.
Sejak berabad lamanya, dengan berpuluh-ribu kilang di seluruh negara itu diwujudkan untuk menghasilkan produk-produk murah bagi pasaran global, label Buatan China begitu sinonim dengan barangan tidak berkualiti.
Namun, syarikat-syarikat baharu seperti yang diusahakan Guo Pei, kini menggunakan label tersebut sebagai langkah pemasaran untuk memberi kesedaran kepada generasi baharu negara tersebut mengenai jenama mewah.
Ia juga sebagai usaha untuk membuka mata golongan kaya menerima barangan China mempunyai produk yang juga berkualiti.
"Berabad lamanya, label buatan China sinonim dengan barangan yang tidak berkualiti termasuk cara pembuatannya," jelas Pascal Armoudom yang merupakan rakan kongsi syarikat perundingan, ATKearney yang kini menulis laporan mengenai perkara tersebut.
Menurutnya, pengeluaran produk tidak berkualiti oleh China tercetus pada abad ke-20. China ternyata melalui sebuah transformasi dengan cara berlainan. Kuantiti dan kos simpanan telah bermaharajalela dan bahan-bahan serta mutu pembuatan turut merudum.
"Bagaimanapun, dengan kenaikan ekonomi terkini negara China, perniagaan di negara yang mempunyai populasi penduduk dunia terbesar itu semakin pulih. Kaedah pemasaran mereka juga menunjukkan usaha untuk memberi generasi baharu dengan jenama lebih berkualiti," tambahnya.
Menuju gelombang mewah
|
|
Firma perunding McKinsey menganggarkan, kemewahan pasaran di China mencecah sehingga AS$10 bilion (RM32 bilion) dan dijangka meningkat ke AS$27 bilion (RM86 bilion) pada tahun 2015. Jumlah itu mewakili 20 peratus daripada pasaran mewah global.
Kini, China mempunyai 15 hingga 20 jenama yang terdiri daripada jam, barang kemas, fesyen dan kosmetik yang semakin maju serta mampu bersaing dengan firma luar negara dalam pembentukan sebuah pasaran mewah di dunia.
Jurucakap jenama seperti Wenjun, NE Tiger dan firma kosmetik Herborist memberitahu, mereka menyesuaikan diri dengan teknik kuno dan bahan-bahan produk mereka untuk memenuhi cita rasa moden pengguna China.
Sebagai contoh, Herborist menggunakan herba tradisional China untuk meningkatkan produk kecantikan mereka dan kini mempunyai pendapatan berjumlah AS$300 juta (RM960 juta). Ia menyamai pendapatan sebanyak 900 jabatan penyimpanan di China.
Firma tersebut juga mempunyai cawangan di luar negara dan berada di pasaran global melalui rangkaian kosmetik Sephora.
Sementara itu, NE Tiger turut melakukan perubahan memodenkan pakaian tradisional di China.
Pengasasnya, Zhang Zhifeng turut mengembara ke kawasan kampung untuk mencari teknik fesyen purba yang akan digabungkan dengan jalinan benang emas ke dalam pakaian yang kian pupus untuk dipadankan dengan fesyen masa kini.
Maruah dan patriotisme
Pengendali ReuterPR, sebuah agensi komunikasi di China, Chloe Reuter memberitahu, elemen-elemen patriotik mempunyai potensi besar sekiranya ia diterapkan dalam sesebuah jenama itu.
"Pelanggan kini mementingkan sesuatu kelainan dan mereka juga tidak mudah tertarik dengan promosi-promosi yang ditawarkan oleh jenama-jenama Barat," jelasnya.
Bagaimanapun, penganalisis berpendapat oleh kerana revolusi tersebut masih baharu, kebanyakan pengguna masih sukar untuk mengikis stereotaip bahawa label buatan China agak rendah.
Walaupun terdapat jenama-jenama China mempunyai nilai patriotik dalam setiap produk, masyarakat China yang berkemampuan masih gemar untuk memilih jenama Barat yang sinonim dengan kualiti, simbol dan status.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: