Sunday, July 29, 2012

Kesinambungan perjuangan Prism


PARA artis dan karyawan seni mengangkat ikrar setia untuk terus menyokong kesinambungan perjuangan Prism.


SELEPAS lapan kali mengagihkan wang royalti kepada penggiat seni sejak 2001, Performers and Artistes Rights Malaysia Sdn. Bhd. (Prism) akhirnya dibubarkan secara rasmi.

Sehingga tahun lalu, badan tersebut berjaya memungut royalti berjumlah lebih RM4 juta untuk diagihkan kepada 1,306 orang ahlinya yang berdaftar.

Presiden terakhir Prism, Datuk Aziz Bakar menjelaskan bahawa pembubaran itu adalah untuk memberi peluang kepada sebuah badan baharu yang lebih telus dan demokratis demi menjaga kebajikan penyanyi dan pemuzik rakaman.

"Kini terdapat dua badan baharu yang menggantikannya iaitu RPM (Recording Performers Malaysia Bhd.) dan Prism," kata Aziz.

RPM diterajui oleh penyanyi Datuk Sheila Majid, manakala Prism diketuai oleh pemangku pengerusinya, Mohamed Anuar Mohd. Dahlan. Kedua-dua RPM dan Prism masih belum memulakan sebarang kutipan royalti memandangkan keputusan muktamad belum dicapai. Kedua-dua badan itu belum mencapai keputusan muktamad berhubung skop kerja masing-masing.

Jelas Aziz, pihaknya akan memindahkan kesemua aset berkaitan kepada salah satu badan tersebut apabila mengukuhkan kedudukannya dan mempunyai keahlian yang banyak.

"Dalam agenda pembubaran kami, Prism akan memindahkan aset dan infrastruktur yang sedia ada kepada badan yang mewakili majoriti ahli.

"Jika dapat mencapai rancangan itu saya percaya badan yang akan ambil alih peranan Prism akan menjadi sebuah organisasi yang terbaik dan diuruskan secara telus dan berintegriti," kata Aziz.

Beliau berkata demikian ketika majlis berbuka puasa penyerahan royalti kepada ahlinya yang berlangsung di Restoran Seri Melayu, Kuala Lumpur Rabu lalu.

Antara yang menerima cek royalti terakhir tersebut ialah penyanyi Datuk Sharifah Aini, Datuk M. Nasir, Datuk M. Daud Kilau, Datuk DJ Dave, Ramli Sarip, Noraniza Idris, Bandi Amuk dan komposer S. Atan.

Dalam pada itu, pemangku jawatan pengerusi sebuah badan baharu yang menggunakan nama sama, Prism, Mohamed Anuar yang ditemui dalam majlis sama menjelaskan bahawa pihaknya akan berusaha untuk membela hak artis bukan sahaja kepada penyanyi bahkan seluruh penggiat hiburan yang terlibat.

"Perjuangan Prism bukan sahaja untuk menuntut royalti kepada penyanyi tetapi kami juga mahu menuntut akta berkaitan dipinda agar semua orang yang terlibat akan mendapat hak mereka.

"Ini termasuklah pelakon, pelawak, penggiat seni etnik seperti mak yong dan dikir barat serta semua penggiat yang terlibat dalam dunia berkaitan seni dan hiburan.

"Selain itu kita akan berjuang untuk menuntut royalti yang tidak dikutip Prism sepanjang tujuh bulan tahun ini," katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: