KES-kes wanita yang dijangkiti HIV/AIDS bukan lagi satu isu yang boleh dipandang remeh. Pada tahun lepas, sebanyak 9,494 wanita yang berumur 20 tahun ke atas dilaporkan menghidap AIDS.
Dengan peningkatan jangkitan yang mendadak semenjak sepuluh tahun, iaitu tiga kali ganda sebanyak 1.2 peratus pada tahun 1990, 9.4 peratus pada tahun 2000 dan 18.3 peratus pada tahun 2010, jangkitan yang terbanyak dilaporkan ialah menerusi hubungan seks dengan suami sendiri.
Apabila virus HIV ini semakin menular, pastinya golongan ini seringkali menjadi mangsa keadaan.
Jikalau diketahui mereka dijangkiti virus ini, masyarakat bertindak memulaukan mereka menyebabkan mereka terpaksa dihalau dari rumah kerana ada segelintir ahli keluarga yang tidak mahu bertanggungjawab dengan keadaan wanita yang hidup dengan HIV. Ini menyebabkan keadaan golongan ini terumbang-ambing.
Apa yang menyedihkan sekiranya mereka berstatus ibu tunggal dan mempunyai anak kecil, anak itu terpaksa pula diheret ke sana sini untuk mencari perlindungan apatah lagi dalam keadaan mereka tidak mempunyai sebarang pendapatan tetap.
Mahu tidak mahu, mereka terpaksa menyembunyikan status penyakit mereka sendiri atas alasan tidak mahu disingkirkan oleh ahli keluarga.
Berdasarkan kemelut yang dihadapi oleh golongan ini, Rumah Wahidayah diwujudkan dalam usaha untuk membantu golongan wanita, ibu tunggal dan anak-anak mereka untuk meneruskan kehidupan.
Pengerusi Persatuan Wahidayah Malaysia (Pewahim), Norlela Mokhtar, 48, berkata, atas dasar untuk membantu golongan ini, Pewahim telah menubuhkan Rumah Wahidayah (wanita HIV yang telah diberikan hidayah) dalam usaha menyediakan penempatan asas dan selamat bagi wanita dan kanak-kanak yang terjejas akibat epidemik HIV.
Ujar Norlela, Pewahim merupakan satu-satunya pertubuhan wanita HIV di negara ini dan baru sahaja didaftarkan menerusi Pejabat Pendaftar Pertubuhan pada bulan Mei lalu.
Krisis keluarga yang dihadapi menyebabkan golongan wanita memerlukan tempat tinggal apabila dibuang masyarakat.
Malah, Rumah Wahidayah juga merupakan satu tempat yang strategik bagi para pesakit HIV untuk datang mendapatkan bantuan atau menginap sementara selepas mendapatkan rawatan di Hospital Sungai Buloh," katanya ketika ditemui baru-baru ini.
Menurut Norlela, Rumah Wahidayah yang beroperasi 24 jam, tujuh hari seminggu di Bandar Baru Sungai Buloh, Selangor itu memberikan perkhidmatan kepada penghuni secara percuma melalui perkhidmatan kesihatan, keperluan asas dan sokongan yang berterusan.
Tujuan penubuhan Rumah Wahidayah katanya, adalah untuk mengurangkan kesan kemudaratan akibat HIV/AIDS dan menjadi pertubuhan wanita peneraju dalam pengurangan kemudaratan virus itu di negara ini.
Dalam pada itu, selain menjadi pusat penempatan sementara bagi penghuni rumah berkenaan, ia juga menjadi pusat sokongan rakan, kumpulan sokong bantu dan perhimpunan ketika hari-hari perayaan dan seterusnya bertindak sebagai pusat kemahiran buat penghuni dengan memberikan latihan berbentuk kemahiran seperti menjahit, memasak dan membuat kraf tangan," katanya.
Apabila ditanya apakah beza rumah ini daripada rumah-rumah perlindungan untuk penghuni HIV lain, Norlela berkata, seperti rumah WAKE2, di Setapak, Kuala Lumpur yang dibina untuk mangsa HIV yang kebanyakan mangsanya masyarakat gelandangan dan mereka menetap terus di situ.
Begitu juga Rumah Soleha disediakan dengan menyediakan program paliatif kepada mangsa HIV. Namun Rumah Wahidayah lebih berfungsi sebagai penempatan sementara bagi wanita yang tidak terlantar (mampu melakukan kerja) untuk menerima sebarang latihan kemahiran dan kursus-kursus yang ditawarkan selain menguruskan untuk mendapatkan rawatan menepati temu janji di klinik dan hospital.
Setakat ini terdapat empat penghuni di rumah ini dan kita menganggarkan hanya 20 penghuni wanita dan kanak-kanak akan ditempatkan di rumah ini pada satu-satu masa.
Selain rumah ini, kita juga mempunyai wakil cawangan di semua negeri," katanya yang turut memberitahu Rumah Wahidayah masih memerlukan sumbangan berbentuk dana mahupun barangan dalam usaha melengkapkan infrastruktur rumah berkenaan.
Rumah Wahidayah boleh dihubungi di talian 019-2595864 atau 017-3665570.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: