SAYA pernah kecewa apabila nama Christopher Nolan tercicir dari senarai Pengarah Terbaik Oscar untuk Inception (2010). Perasaan itu wujud sekali lagi selepas menonton The Dark Knight Rises kerana Nolan sememangnya seorang pengarah bervisi dan mempunyai keupayaan luar biasa.
The Dark Knight Rises tidak membiarkan anda kecewa atau keliru sebaliknya durasi tayangan hampir tiga jam itu dirasakan seperti tidak cukup kerana anda mahukannya lagi.
Jika ada pun perkara yang ingin diadukan ialah penamatnya. Bukan bermakna ia teruk tetapi sebagai filem terakhir trilogi Batman, kisahnya dirasakan belum betul-betul tamat dan terbuka untuk sambungan. Peminat seakan diberi harapan untuk sekuel.
Kerana sifatnya sebagai filem yang penghabisan, The Dark Knight Rises lebih 'besar' dan bercita-cita tinggi daripada dua yang terawal iaitu Batman Begins (2005) dan The Dark Knight (2008). Sesuatu yang pasti tentang Nolan ialah dia sangat pintar 'mengkacukkan' tema psikologi dalam drama dan genre aksi adiwira.
Filem ini bermula lapan tahun selepas cerita dalam The Dark Knight tamat. Gotham City meratapi pemergian Harvey Dent (Two-Face) dan Bruce Wayne bersama alter-egonya, Batman mengambil tanggungjawab untuk mengaku bersalah di atas kematian itu walaupun hakikatnya tidak.
Wayne bersembunyi di dalam rumah agamnya, berasa kesal dan menyalahkan takdir. Sehinggalah Catwoman dan Bane datang menggugat, bukan saja kedudukannya sebagai hartawan tetapi mengancam keselamatan bandarnya.
Nolan beruntung kerana filem ini dibarisi pelakon terkenal. Tetapi apa yang menyebabkan mereka nampak handal ialah kerana lakon layarnya.
Nolan dan tiga penulis skripnya berjaya memukau penonton dengan babak-babak aksi yang melonjakkan adrenalin di samping suntingan kemas dan rekaan produksi seperti set dan props yang canggih.
Lihat saja kereta Batman yang sangat 'out-of-this-world' serta pejabat Wayne di rumah agamnya yang mempunyai kolam besar dan air terjun. Itu belum lagi penjara tempat asal-usul Bane yang dianggap neraka dunia yang mempunyai struktur kolong dan tingkat-tingkat batu yang sangat dinamik binaannya.
Namun apa yang lebih memberi kesan ialah tahap psikologi dan kemanusiaan untuk setiap karakter. Nolan memberi jiwa dan latar belakang yang cukup untuk pembinaan watak-watak ini sehingga penonton dapat merasai dan lebih bersimpati daripada membenci kerana setiap apa yang terjadi pasti ada sebabnya.
Misalnya watak Miranda Tate lakonan Marion Cotillard. Awalnya saya menyangkakan karakter ini seperti terpinggir. Namun di penghujung cerita, penonton akan tahu mengapa wataknya seakan timbul-tenggelam tetapi sebenarnya memberi signifikan yang amat besar.
Michael Caine sebagai Alfred pula, walaupun babaknya tidak banyak, memberi persembahan yang sangat mencengkam. Kesetiaannya kepada Wayne dan keluarga amat menyentuh hati dan inilah persembahannya yang paling beremosi sepanjang tiga filem Batman.
Christian Bale seperti biasa tidak mengecewakan. Barangkali dalam The Dark Knight, Bale sedikit dibayangi dengan persembahan bertenaga Heath Ledger sebagai The Joker tetapi dalam filem ketiga ini, dia 'bangkit' dan menyerlah.
Tidak keterlaluan jika dikatakan Bale adalah interpretasi terbaik untuk watak ikonik itu sejak francais Batman difilemkan. Maaf untuk Michael Keaton, Val Kilmer dan George Clooney. Bale 'memeluk' karakter ini dengan lebih humanistik dan penonton boleh membaca kelemahan di sebalik kekuatannya.
Watak pengancam baru Gotham City, Bane dilunaskan dengan cemerlang oleh Tom Hardy. Walaupun memakai topeng gas (hanya satu babak imbas kembali yang menunjukkan wajahnya), suara dan tingkah laku Hardy menggerunkan.
Usah bandingkan Bane dan The Joker kerana mereka mempunyai misi yang berbeza. Jika The Joker mahu berperang secara psikologi, Bane hanya mahu memusnahkan Wayne dan Gotham. Malah Bane sebenarnya sekadar orang suruhan.
The Dark Knight Rises adalah filem yang gelap, baik dari segi perasaan mahupun rupanya. Tahniah bukan saja patut diberikan kepada Nolan tetapi pengarah sinematografi Wally Pfister, begitu juga komposer Hans Zimmer yang memberikan skor muzik cemerlang, mengatasi dua filem terdahulu.
'Kegelapan' filem ini bagaimanapun diceriakan dengan karakter Catwoman/Selina Kyle lakonan Anne Hathaway. Jika ramai yang sangsi akan kebolehannya membawakan watak itu, sila pergi menonton. Dia menyuntik momen-momen 'comel' dan jenaka secara tidak sengaja dalam gayanya sendiri.
Perhatikan juga Joseph Gordon-Levitt. Peranannya sebagai pegawai polis Blake mungkin dirasakan seperti pembantu saja tetapi tidak mustahil kisahnya sebagai Robin diangkat menjadi filem.
Seperti trilogi The Lord of the Rings (2001-2003), filem ketiganya, The Return of the King adalah penyudah.
Itu pun, kisahnya akan disambung semula menerusi prekuel The Hobbit bermula hujung tahun ini.
Justeru, saya yakin Batman akan kembali. Jika boleh, biarlah Nolan juga yang meneruskannya kelak.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: