Tuesday, July 31, 2012

Lindungi spesies terancam

BERGABUNG...gabungan pelajar dan kakitangan untuk menjalankan usaha memulihara penyu yang semakin terancam.
BERGABUNG...gabungan pelajar dan kakitangan untuk menjalankan usaha memulihara penyu yang semakin terancam.

RAMAI orang tahu penyu adalah sejenis haiwan yang mempunyai cangkerang keras di bahagian belakang dengan kaki pendayung di hadapan.

Ia mampu berenang dengan baik di dalam air, tetapi agak lambat untuk bergerak di daratan antara ciri-ciri yang membezakannya dengan kura-kura walaupun mempunyai bentuk kaki serupa.

  • Foto

    MATLAMAT...peluang melepaskan penyu semula ke laut menjadi kemuncak kepada program berkenaan.

  • Foto

    TERIMA...Malakoff turut menyampaikan sumbangan berbentuk replika cek bagi menyokong usaha yang dijalankan.

  • Foto

    GEMBIRA...peserta menyertai aktiviti mewarna sebagai usaha mendidik mengenai pemuliharaan penyu.

  • Foto

    PELUANG BERHARGA...peserta diberi peluang untuk memegang penyu sebelum dilepaskan.

Penyu memainkan peranan penting dalam ekosistem persisiran pantai dan marin; misalnya mengekalkan kesihatan terumbu karang dan rumput laut yang menjadi habitat pelbagai hidupan di dalamnya untuk kepentingan industri perikanan serta pelancongan.

Ahli sains percaya penyu karah menjaga kesihatan terumbu karang dengan memakan span laut yang dapat membantu mengurangkan masalah terumbu karang tidak mampu bertahan daripada kesan pencemaran, pertumbuhan alga yang banyak, penangkapan ikan berlebihan dan perubahan iklim.


Jika satu ketika dulu penyu banyak dilihat di persisiran pantai, tetapi kini ia sukar ditemui di kawasan yang terkenal dengan kehadiran spesis itu.


Misalnya, penyu belimbing di Rantau Abang, Terengganu juga dilanda kepupusan manakala spesies karah dan lipas yang mendarat di persisiran pantai Perak, Pulau Pinang dan Melaka turut berhadapan risiko terancam.

Menyedari hakikat kepentingan penyu terhadap ekosistem di kawasan setempat, Malakoff Corporation Berhad (Malakoff) menganjurkan program Kenali Penyu, Sayangi Penyu di Pusat Penyu dan Ekosistem Marin (Tumec), Pasir Panjang, Perak sebagai usaha meningkatkan kesedaran pemuliharaan haiwan yang semakin pupus
di negara ini.

Pengurus Loji Janakuasa Lumut Malakoff, Abdul Rahman Hussin berkata, misi utama program berkenaan dilakukan adalah untuk memberi kesedaran mengenai kepentingan pemuliharaan penyu.

“Kami menyedari kepentingan pemuliharaan penyu berdasarkan bilangannya yang hidup dilaporkan begitu membimbangkan.

“Oleh itu, kami mengambil langkah dengan memainkan peranan sebagai peserta yang aktif dan bertanggungjawab dalam usaha memulihara spesies penyu yang semakin terancam,” katanya mengenai program yang menjadi salah satu daripada inisiatif di bawah tanggungjawab sosial korporat Malakoff.

Mendapat kerjasama Tabung Hidupan Liar Sedunia (WWF), seramai 100 peserta yang terdiri daripada kakitangan Malakoff sendiri, pelajar dan guru dari Sekolah Kebangsaan (SK) Segari, SK (C) Pei Min dan SK Tamil Ladang Huntly untuk menjalankan usaha mereka memulihara penyu.

Tambah meriah tahun ini mereka turut menjemput pelajar dari sekolah agama rakyat untuk menyertai program satu hari berlangsung.

Setiap peserta akan menerima beg cenderahati yang mengandungi set alat tulus, botol air serta lampu solar LED untuk memudahkan mereka mengikuti setiap aktiviti yang dianjurkan.

Bagi melaksanakan program yang kreatif dan meninggalkan kesan mendalam kepada peserta, aktiviti mewarna dan pertandingan fotografi turut diadakan untuk menggalakkan mereka lebih memahami mengenai pemuliharaan penyu.

Bertambah menarik apabila peserta dibawa melawat ke lokasi penting untuk melihat perbezaan jenis penyu yang akan naik ke persisir pantai termasuklah daripada spesies penyu karah dan lipas.

Kemuncak program berkenaan adalah setiap peserta diberi peluang untuk melepaskan semula anak penyu ke laut yang sememangnya jarang dirasai mereka.

Sebagai sebahagian daripada usaha terbabit, Malakoff turut menaja pemasangan papan maklumat tambahan dalam Bahasa Inggeris dan Malaysia di sekitar Tumec dengan lebih baik bagi mendidik pelawat mengenai kepentingan pemuliharaan penyu.

Sementara itu, menurut Pengarah Jabatan Perikanan Perak, Sani Mohd Isa yang turut hadir pada program itu, komitmen Malakoff memperjuangkan usaha memulihara penyu harus dipuji.

“Saya mengucapkan tahniah kepada Malakoff kerana komitmen mereka terhadap usaha pemuliharaan penyu yang diperjuangkan untuk tahun kedua berturut-turut.

“Saya berharap akan ada lebih banyak badan lain untuk mengikut langkah proaktif mereka melindungi spesies penyu di negara ini,” katanya yang turut menerima sumbangan berbentuk replika cek bernilai RM10,000 daripada Malakoff sebagai sokongan terhadap usaha yang dijalankan.

Peserta dari SK Kebangsaan Segari, Norhafizah Abdul Halim berkata, peluang untuk mempelajari mengenai spesies penyu begitu bermakna buat dirinya.

“Saya belajar sesuatu mengenai penyu hari ini dan cara yang boleh dilakukan untuk melindungi spesies terancam ini. Ia adalah detik istimewa bagi saya kerana diberi peluang untuk memegang penyu buat pertama kali sebelum melepaskannya ke laut.

“Pengalaman hari ini membuatkan saya sedar betapa pentingnya untuk mula mengambil tindakan membantu memulihara penyu kerana kemerosotan bilangannya.

“Saya pasti akan berkongsi perkara yang dipelajari dengan rakan lain dan membantu memberi kesedaran mengenai punca penyu terancam,” jelasnya begitu gembira dengan pembelajaran baru yang diterimanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: